Halaman

18 August 2011

MBNT anjur program ceramah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) dengan kerjasama Radio Malaysia Terengganu (Tfm) menganjurkan Program Ceramah al-Hidayah Nur Ramadan di Masjid Rawai, Bukit Payong, pada setiap hari Khamis sepanjang bulan Ramadan ini.

Program tersebut dikendalikan dua penceramah iaitu Ustaz Abdul Halim Awang dari Universiti Zainal Abidin (Unisza) dan Ustaz Dr Zulkefli Muda dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Pengerusi MBNT Mat Yusof Mat Ali, berkata ceramah tersebut yang disiarkan secara langsung melalui TfM dihadiri kira-kira 300 orang pada setiap kali ia diadakan.

“Selain penduduk tempatan, para pelajar dari beberapa sekolah berhampiran turut dibawa ke masjid berkenaan untuk mendengar ceramah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, program itu merupakan antara program kerohanian yang diadakan MBNT bagi mengisi masa umat Islam sepanjang bulan Ramadan kali ini.

“Kita akan bekerjasama dengan Tfm pada masa akan datang bagi menjalankan program yang bercorak kerohanian,” ujarnya.