Halaman

14 August 2011

Pas usah jadi ‘lalat hijau’ selama-lamanya

Oleh: Pencari Keadilan

Rupanya ada yang melenting apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengeluarkan kenyataan Pas Terengganu diibaratkan seperti 'lalat hijau' yang sering membawa penyakit kepada masyarakat.

Tetapi, ternyata ramai yang menyokong kenyataan tersebut kerana sememangnya pemimpin parti itu gemar sekali menghamburkan dakwaan palsu dan tuduhan yang tidak berasas.

Sewaktu membuat kenyataan itu, Menteri Besar berkata, setelah usaha pemimpin Pas mahu memburukkan kepimpinan Barisan Nasional tidak berkesan, sebaliknya mereka kini sibuk 'membedil' Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk dijadikan isu.

Pemimpin Pas mengeluarkan pelbagai tohmahan kepada SPR dan mendakwa badan bebas yang mengendalikan perjalanan pilihan raya di negara ini, berkomplot dengan BN.

Jika benar dakwaan pemimpin Pas itu, sudah lama BN dapat menawan semula negeri Kelantan selepas ia kalah pada Pilihan Raya Umum 1990.

Jika benar juga dakwaan itu, BN tidak akan gagal dalam sebahagian besar pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU 12.

Apa yang sebenar berlaku di Terengganu, ialah Pas yang membawa pengundi “import” atau lebih dikenali sebagai “pengundi hantu”.

Setiap kali pilihan raya, banyak bas dari luar datang ke Terengganu membawa pengundi hantu bagi mengundi calon-calon Pas. Mereka biasanya datang lebih awal bagi mengelakkan diri mereka dikesan oleh pihak berkuasa.

Pengundi hantu ini akan mengundi calon-calon Pas, khususnya Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang. Inilah antara taktik kotor yang dilakukan oleh Pas sejak zaman berzaman, tetapi mereka sengaja buat-buat tidak tahu mengenai perkara itu.

Sebaliknya pemimpin Pas yang semakin terdesak kini lantang membuat tuduhan kononnya SPR berkomplot dengan BN mewujudkan pengundi hantu bagi memenangkan calon tertentu.

Inilah kerja pemimpin Pas dan keadaan ini mendorong Menteri Besar untuk melabelkan mereka sebagai ‘lalat hijau’.

Sepatutnya pemimpin Pas menghentikan perbuatan tidak bermaruah itu dan bertaubat mulai sekarang. Mereka juga tidak sepatutnya membiarkan diri mereka menjadi tunggangan DAP selama-lamanya.