Halaman

18 August 2011

LKIM bantu promosi homestay nelayan

Oleh FAUZI MOHD

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu akan memperluas promosi projek inap desa (homestay) perkampungan nelayan di kalangan pelancong tempatan dan asing bagi menarik lebih ramai mengikuti produk pelancongan berkenaan.

Timbalan Pengarah LKIM negeri, Zali Ibrahim berkata, projek Homestay Persatuan Kawasan Nelayan (PNK) Setiu di Kampung Rhu Sepuluh, Setiu merupakan inisiatif penduduk tempatan yang diselia LKIM bagi menawarkan program penjanaan ekonomi kepada komuniti nelayan.

Menurutnya, penyertaan mereka dalam program itu bukan sahaja memberi pendapatan sampingan kepada nelayan terbabit tetapi masyarakat setempat turut menikmati pelbagai manfaat dengan kehadiran para pengunjung di kawasan itu.

“LKIM dengan kerjasama peserta homestay terbabit giat mengadakan di resort dan hotel yang terkemuka dengan mengagihkan brosur kepada orang ramai yang berkunjung ke pusat pelancongan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Projek Homestay PNK Setiu di bawah seliaan LKIM itu mula dilaksanakan pada akhir 2001 dengan melibatkan 20 peserta nelayan dari Kampung Penarik, Penarik Baru, Rhu Sepuluh dan Bukit Chalok.

Antara aktiviti menarik yang disediakan di homestay itu ialah memancing, menjala, menyusur sungai dan laut, sukan rakyat, dikir barat, lukisan batik dan demonstrasi makanan tradisional.

Tambah Zali, walaupun setakat ini homestay itu telah menerima ramai peserta termasuk pelancong asing dari Amerika Syarikat, Korea dan Jepun, usaha untuk meluaskan lagi promosi kepada orang ramai sentiasa diteruskan.

Dengan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan negeri katanya, peserta homestay diberi nilai tambah dengan mengikuti lebih 10 kursus yang diatur sepanjang tahun termasuk kursus etika, komunikasi dan penampilan diri.

“Kursus-kursus juga akan membantu mereka dengan memberi maklumat terbaru selain menambah pengetahuan mengenai alam semulajadi selain sejarah dan budaya masyarakat setempat,” katanya.