Halaman

19 August 2011

Anak Yatim Dan Orang Miskin Diberi Sumbangan Raya



Seramai 96 orang anak yatim dan 73 orang miskin diraikan dalam majlis berbuka puasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai bersama Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said yang diadakan dipekarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Chukai, Kemaman.

Riak wajah gembira jelas terpancar diwajah anak yatim yang menerima sumbangan duit raya disampaikan sendiri oleh Menteri Besar bersama isteri beliau dan diiringi ADUN Chukai Dato’ Mohamed Awang Tera bersama isteri. Sementara orang miskin pula menerima sumbangan keperluan harian dan duit raya.

Ketika berucap majlis berkenaan Dato’ Seri Ahmad berkata, rakyat negeri Terengganu perlu bersyukur dengan pelbagai sumbangan yang kerajaan negeri berikan terutama kepada golongan yang tidak bernasib baik seperti anak yatim, ibu tunggal, fakir miskin dan sebagainya.

“Selain sumbangan subsidi kerajaan negeri, rakyat dinegeri ini juga turut menikmati kemudahan subsidi kerajaan pusat seperti petrol, gula, dan gandum.

“Bagaimanapun, apa yang saya kesalkan apabila subsidi barangan dikurangkan ada antara peniaga sewenang-wenangnya mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan terutama harga makanan dan minuman, ” katanya.

Sehubungan itu, Dato’ Seri Ahmad menyeru peniaga Malaysia perlu mencontohi peniaga di Thailand walaupun tidak menikmati subsidi untuk barangan keperluan tetapi mereka masih mengekalkan harga murah yang tidak membebankan pengguna.