Halaman

14 August 2011

Program kayuhan singgah sahur


Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Pemuda UMNO Perhubungan Negeri Terengganu mempunyai cara tersendiri mendekati masyarakat dengan mengadakan Program Kayuhan Singgah Sahur/Ambang Merdeka 2011 pada 16 Ogos ini.

Ketuanya, Encik Saiful Bahari Dato’ Baharuddin berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka turut serta bersama kira-kira 500 pemuda akan mengayuh basikal sambil mengagihkan juadah untuk bersahur kepada mereka yang bertugas malam.



“Ini termasuklah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengawal keselamatan dan petugas hospital kerajaan dan klinik swasta sekitar bandaraya,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, kayuhan akan bermula di Taman Awam Batu Buruk mulai jam 11 malam dan dijangka berakhir dua pagi dengan membawa juadah seperti nasi goreng, kurma dan air zamzam untuk diagihkan.

“Mereka yang menyertai program ini merupakan ahli-ahli Kelab Remaja Terengganu yang menjadi benteng dan pewaris generasi akan datang,” katanya.

Sehubungan itu katanya, mereka diberi pendedahan sedikit demi sedikit mendekati pelbagai golongan masyarakat dengan cara turun padang beramah mesra serta menghulur bantuan kepada yang memerlukannya.

katanya, usaha ini sebahagian daripada pendedahan awal kepada mereka untuk menjadi seorang pemimpin yang peka dan menjaga kebajikan rakyat.