Halaman

16 August 2011

Masjid Pagar Ubi terima sumbangan dari TNB

Oleh: Suriati Ali



Sumbangan RM2,000 yang diagihkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada tabung Masjid Kampung Pagar Ubi cukup bernilai kepada jemaah yang ingin mendapatkan lebih keselesaan di rumah ibadat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid, Zakaria Mohd Ali berkata, wang yang disumbangkan itu akan diguna sebaik mungkin terutama membaiki kebocoran kubah masjid hampir 10 tahun.

“Sepanjang 10 tahun, masjid ini berkeadaan demikian, dan apabila hujan, terpaksa meletakkan besen atau baldi bagi mengelak kawasan sekelilingnya basah.

“Walaupun nilai RM2,000 masih tidak mencukupi untuk melakukan kerja-kerja membaiki kubah masjid yang bocor, tetapi dia tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat melakukan sedikit pembaharuan,” katanya sempena Ihya Ramadan TNB Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di masjid berkenaan.

Menurutnya, walaupun berlaku kebocoran di dalam masjid itu, ia tidak menghalang jemaah untuk melakukan ibadat serta program berbentuk agama di dalamnya kerana hanya sebahagian kecil sahaja mengalami kebocoran.

“Kalau dikira saf jemaah, lebih kurang lima atau enam orang terpaksa berundur sekiranya berlaku hujan,” katanya.

Beliau turut berharap, mana-mana pihak yang ingin membantu menyelesaikan masalah berkenaan, dapatlah berbuat demikian supaya Rumah Allah yang mampu memuatkan 1,000 jemaah itu berada dalam keadaan sempurna.

Sementara itu, Naib Presiden Pembahagian TNB, Hussin Othman berkata, program berkenaan diadakan sebagai langkah pihaknya mendampingi rakyat terutama di Kampung Pagar Ubi, Tepoh.

“Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihak TNB,” katanya.