Halaman

14 August 2011

Program Semarak Ramadan meriah



Oleh FAUZI MOHD

Peniaga bazar Ramadan Pekan Manir bertuah apabila menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Dato’ Mohd. Said sempena program Semarak Ramadan Berita Harian-AmIslamic kelmarin.

Kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu itu bersama Pengurus Besar Jualan AmIslamic, Dato’ Zainal Abidin Mohamad dan Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainor Said diserikan dengan penyerahan kemeja T, apron, air mineral sumbangan AmIslamic Bank.

Manakala, Berita Harian turut mengagihkan 500 naskah akhbarnya secara percuma kepada peniaga dan pengunjung bazar itu.

Dalam program itu, AmIslamic turut menymbangkan wang tunai RM5,000, beras dan kurma kepada 50 anak yatim serta ibu tunggal dari kariah Kampung Bukit Baru, manakala Berita Harian menyerahkan sumbangan RM2,000.

Sesi gotong-royong bermula di Masjid Al-Ikhlas di Kampung Banggol Tuan Muda, dengan acara menyembelih lembu sumbangan AmIslamic seawal pukul 8 pagi, diikuti acara memasak juadah berbuka puasa bersama penduduk kampung.

Kemuncak program itu, lebih 500 penduduk setempat menghadiri majlis berbuka puasa di masjid berkenaan yang turut disertai Dato’ Abdul Rahin dan pemimpin masyarakat setempat yang lain.