Tuan Haji Shamsuddin menyampaikan hadiah kepada Puan Sanisah Harun, antara pemenang kuiz.
Seramai 60 orang pendengar setia Radio Terengganu (Tfm) telah terpilih menenangi hadiah program kuiz Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Terengganu (MPPT) anjuran bersama Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) dan Tfm.
Program yang bersiaran selama sebulan (Julai) di Tfm menawarkan hadiah berupa barangan elektrik seperti pembakar roti, seterika dan dapur gas.
Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong berkata, penganjuran kuiz berkenaan sebagai menguji tahap kefahaman terhadap konsep MPPT yang diperkenalkan kerajaan negeri.
“Usaha ini juga sebagai galakkan kepada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menambah ilmu pengetahuan dengan menawarkan ganjaran semasa menyertai kuiz,” katanya.
Katanya, program ini juga diharap mampu membuka minda rakyat negeri ini tentang konsep MPPT dan seterusnya menjadi bahan bicara dalam perbualan harian pendengar radio.
Seorang pemenang, Puan Sanisah Harun, 37, dari Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit menganggap dirinya amat bertuah kerana memenangi hadiah berupa dapur gas.
“Saya mendail hingga berbelas kali baru dapat dan kebetulan jawapan saya menepati kehendak penganjur, tapi sebelum itu saya mencari maklumat terlebih dahulu,” katanya ketika datang menuntut hadiah di pejabat Ukom hari ini.
Puan Maimunah Othman menerima hadiah yang disampaikan oleh Tuan Haji Shamsuddin.
Puan Maimunah Othman, 44, dari Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit pula memuji langkah pihak penganjur menyediakan ganjaran kepada pemenang kuiz yang sekali gus membuka ruang berfikir kepada pendengar Tfm.
“Dengan adanya kuiz, pendengar Tfm bukan sekadar mendapat hiburan sebaliknya mendapat info yang boleh mempertajamkan minda kita,” katanya.
Sementara itu, Penerbit Rancangan, Encik Rizallimi Mohammed berkata, sambutan yang diterima daripada pendengar terhadap kuiz MPPT sangat menggalakkan.
“Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti suri rumah, remaja lepasan sekolah dan juga pelajar yang gemar mencabar minda mereka untuk berfikir sambil berhibur,” katanya.