Ahmad bertanyakan sesuatu kepada seorang pesakit sambil diperhatikan Dr A Rahman dan Nordiana
Program Ehsan Ramadan anjuran Puteri Umno Negeri Terengganu berjaya mendekatkan pemimpin kerajaan negeri ini dengan rakyat apabila mereka saling bertemu sambil beramah mesra dengan pesakit yang dirawat di hospital.
Menerusi program itu Puteri Umno memilih semua hospital daerah seluruh negeri ini untuk dikunjungi pemimpin yang diketuai sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan pemimpin setempat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen hadir sama pada program berkenaan.
Ketua Penerangan Puteri Umno Malaysia, Datuk Nordiana Shafie berkata, pihaknya menganjurkan program berkenaan bagi mendekatkan pemimpin dengan rakyat terutama menjengok mereka yang sedang dirawat di hospital.
Menurutnya, selepas Dungun dan Besut semalam rombongan berkenaan mengadakan lawatan ke Hospital Setiu (HS) dan bakinya akan menyusul sebelum berakhir Ramadan ini.
Ahmad yang hadir bersama isteri turut disambut Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Indistri Asas Tani Negeri, Asha’ari Idris dan ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh.
Pada majlis itu Ahmad turut melakukan lawatan ke wad sambil menyampaikan sumbangan hamper, makanan dan wang kepada 55 pesakit yang sedang dirawat di hospital berkenaan.
Nordiana berkata, jentera Puteri Umno negeri lain turut mengadakan program sempena Ramadan tetapi mengikut keperluan dan kepentingan penduduk negeri terbabit.