Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sedang giat menarik kemasukan lebih ramai pelajar asing dari rantau ini khususnya dari Thailand bagi menyambung pengajian di universiti itu.
Naib Canselornya, Prof. Dato’ Dr. Alias Daud berkata, para pelajar itu akan diambil bagi mengikuti program diploma dan ijazah dalam bidang Pengajian Islam, Usuluddin dan Syariah.
Menurutnya, peluang itu diberi kepada pelajar miskin terutama dari Thailand memandangkan peluang seumpama itu tidak terdapat di negara asal mereka.
Pada masa sama, katanya, UniSZA turut menerima permintaan pelajar dari Singapura untuk menyambung pengajian mereka di universiti itu.
“Buat masa ini kita ada lima pelajar dari Thailand dan dua dari Singapura yang sedang menuntut di UniSZA.
“Kita akan tambah jumlah pelajar ini berdasarkan KPI (Indeks Prestasi Utama) yang menetapkan lima peratus pelajar luar negara menuntut di universiti di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan zakat daripada Bank Islam di UniSZA Kampus Kota di sini baru-baru ini.
Dr. Alias berkata, pihaknya juga menjangkakan pengambilan lebih ramai pelajar dari dua negara berkenaan akan mula dilaksanakan pada semester depan.
Menurutnya, buat masa ini, para pensyarah serta dekan dari kedua-dua belah pihak sudah mengadakan lawatan sambil mengenal pasti bidang pengajian mengikut kesesuaian.
“Kita juga sedang dalam proses mengiktiraf kelulusan institut pengajian di sana (Thailand serta Singapura) sebelum para pelajar dari negara berkenaan meneruskan pengajian di sini (UniSZA),” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya dimaklumkan ramai pelajar di kedua-dua negara berkenaan berminat untuk meneruskan pengajian di UniSZA di samping kos pengajiannya yang murah.