Halaman

14 August 2011

50 Penduduk miskin dari DUN Kota Putera terima sumbangan

Oleh: Mohammad Ishak


Tengku Baharuddin menyampaikan sumbangan makanan kepada seorang penduduk sambil diperhatikan oleh YB Muhammad Pehimi

Seramai 50 golongan miskin dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, menyifatkan diri mereka bertuah kerana dikunjungi seorang kerabat Raja yang sanggup turun padang menemui mereka sempena Ramadan tahun ini.

Kehadiran Seri Paduka Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmood bersama rombongan ahli Kelab Permotoran Teranggang (KPT) sesuatu yang ditunggu oleh penduduk kerana bukan mudah untuk bertemu dengan seorang kerabat raja.

Tengku Baharuddin yang juga presiden kelab berkenan bersama 12 penunggang motosikal berkuasa tinggi tiba di Dewan Kampung Tembila dan disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof.

Sempena kunjungan bersejarah itu, Tengku Baharuddin turut menyampaikan sumbangan makanan kepada golongan berkenaan untuk kegunaan sepanjang bulan Ramadan.

Muhammad Pehimi, bagi pihak pennduduk berkata pihaknya amat bangga dengan kunjungan rombongan KPT ke kampung berkenaan sambil menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk kampung.

“Saya menganggap penduduk amat bertuah dan mencatat sejarah tersendiri kerana seorang kerabat raja sangup turun padang dan bersama-sama penduduk kampung,” katanya.

Katanya, penduduk sanggup bersabar menunggu kehadiran rombongan semata-mata ingin melihat ahli KPT yang aktif menjalankan aktiviti kemasyarakatan di negeri ini.

Muhammad Pehimi berkata, dengan pemberian sumbangan makanan itu ia dapat membantu mengurangkan beban golongan terbabit terutama bagi melaksanakan ibadat puasa tahu ini.