Keprihatinan 21 penerima zakat di negeri ini yang menyerahkan semula wang bantuan tersebut kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sewajarnya dicontohi.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, wang bantuan zakat itu perlu diserahkan kembali kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu untuk diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja.
Katanya, semua pihak perlu memberi penekanan serius dalam mengagihkan wang zakat, terutama dengan memastikan setiap penerima adalah golongan asnaf.
"Kalau ada yang rasa mereka tak layak terima zakat, mereka boleh semak terlebih dahulu. Jika tak layak, jangan terima wang zakat.
"Kita tak mahu tanggung dosa orang kerana ini bukan kerana belas kasihan tapi ini berkaitan hukum," katanya.
Maidam memperuntukkan RM15 juta bantuan zakat untuk diagihkan kepada 30,000 orang fakir miskin di seluruh negeri bagi persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.
“Tahun ini kita percepatkan pengagihan bagi memberi peluang golongan fakir miskin dapat membuat persiapan menyambut ketibaan Ramadan dan Hari Raya Puasa,” kataya
Katanya, terdapat dua skim pengagihan yang dibuat Maidam iaitu golongan miskin terdiri daripada mereka yang pendapatan isi rumah RM750 manakala fakir pula pendapatan isi rumah RM450 sebulan.
“Bagi yang mempunyai tanggungan empat orang dan ke atas menerima RM450 manakala mereka mempunyai tanggungan tiga orang ke bawah akan menerima RM350,” katanya.