Halaman

19 August 2011

JPJ Terengganu tingkat rondaan sepanjang musim perayaan

Oleh FAUZI MOHD



Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu akan meningkatkan rondaan di kawasan berisiko kemalangan maut dan operasi penyamaran di seluruh negeri sepanjang musim perayaan Aidilfitri nanti.

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, sebanyak 25 pasukan rondaan akan bertugas di laluan utama di negeri ini dan seramai 138 anggota akan dikerah bertugas dengan mengadakan penguatkuasaan 24 jam bermula 14 Ogos hingga 14 September.

Penguatkuasaan juga katanya, akan ditingkatkan di kawasan kemalangan maut iaitu Km58, Jalan Jerangau-Jabor, Km61, Jalan Marang-Dungun dan Km54, Jalan Sungai Tong-Permaisuri, katanya.

"Kesemua jalan tersebut mencatat jumlah kemalangan maut yang tinggi saban tahun, berikutan itu, pengguna jalan raya diharap memandu dengan berhemah, banyak bersabar dan berhati-hati," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Musim Perayaan Aidilfitri 2011 di sini, semalam.

Selain itu, katanya JPJ juga menempatkan anggota penguatkuasa di terminal bas utama di Terengganu untuk pemeriksaan rutin bersama-sama pihak polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Penguatkuasaan secara penyamaran sebagai penumpang bas juga akan diteruskan, selain mengambil tindakan ke atas ulat tiket di terminal bas dan juga lapangan terbang," katanya.

Bilik Kawalan JPJ Terengganu yang boleh dihubungi menerusi talian 09-6222023 akan beroperasi 24 jam kecuali pada Hari Raya pertama dan kedua.