Halaman

18 August 2011

Penerima terharu terima duit raya

Oleh: Suriati Ali



“Maizatul akan guna duit yang diterima daripada Tuanku Mizan ini sebaik mungkin untuk membeli pakaian serta kasut raya dan selebihnya akan di simpan dalam bank.

“Pemberian ini cukup berharga kerana mampu meringankan beban tok dan tokki yang menjaga Maizatul sejak berumur lima tahun , “ kata pelajar Sekolah Kebangsaan Paloh, Mazaitul Farisha Zainudin, 7 yang sudah kematian ibu dan bapa.


Mazaitul Farisha Zainudin, 7

Adik Maizatul antara 390 individu yang menerima bantuan di Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam (17 Ogos).

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan hadir di Majlis anjuran Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM).

Hadir sama Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Sri Laksamana Raja bersama isteri To’ Puan Hajjah Rahimah Awang dan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama Isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud.



Tetamu kehormat lain, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; semua barisan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan beberapa wakil rakyat.

Sebanyak RM120,000 diagihkan kepada 390 penerima di mana warga emas memperoleh wang tunai berjumlah RM250 seorang, baju melayu atau baju kurung; songkok atau tudung; kain pelikat atau kain batik manakala pelajar pula menerima sumbangan RM150 seorang.

Warga emas, Abdullah Othman, 72, berkata pemberian duit raya RM250 ini cukup bermakna bagi dirinya kerana dapat membeli serba sedikit barang keperluan dapur dan menyimpannya untuk digunakan ketika susah atau sakit.

“Raya tahun ini paling bermakna kerana bukan saja dapat duit raya malah turut menerima sepasang baju Melayu, songkok dan selipar,” katanya yang tinggal di Jalan Air Putih, Kemaman.



Seorang lagi penerima, Timah Salleh, 83 dari Batu 7, Dungun, berkata dia terharu dengan sumbangan itu kerana dapat membeli biskut dan barang kelengkapan raya lain.

“Pemberian yang diterima ini cukup bernilai bagi makcik yang tiada pendapatan tetap melainkan menerima bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM300.

“Hendak bergantung kepada pendapatan anak-anak pun, mereka juga orang susah dan mempunyai anak ramai,” katanya.