Halaman

10 September 2011

Klinik gigi bergerak dapat sambutan rakyat

Oleh: Mohammad Ishak


Kakitangan klinik gigi bergerak sedang memberi rawatan kepada seorang pesakit.

Perkhidmatan Klinik Gigi Bergerak yang disediakan Jabatan Kesihatan Terengganu yang memberi khidmat secara percuma kepada rakyat negeri ini mendapat sambutan daripada orang ramai.

Klinik berkenaan yang mengunakan dua kenderaan khas yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan sama seperti di klinik gigi mula diperkenalkan kepada penduduk terutama di kawasan luar bandar awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, kerajaan membelanjakan hampir RM 2 juta untuk menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Katanya, kemudahan itu disediakan bagi membantu penduduk negeri ini mendapat khidmat rawatan dan pemulihan gigi secara percuma.

Menurutnya, seorang doktor dan lima pembantu pergigian termasuk pemandu disediakan bagi setiap unit kenderaan yang akan memasuki kampung setiap daerah mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau berkata, ketika ini semua kenderaan khas itu ditempatkan di Kuala Terengganu akan menjelajah ke setiap daerah untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai.

“Sejak diperkenalkan klinik berkenaan ternyata mendapat sambutan dan sokongan daripada penduduk negeri ini,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga merancang untuk membuka Klinik 1 Malaysia yang akan ditempatkan di setiap daerah bagi memberi perkhidmatan kepada rakyat Terengganu.

MB melawat anak polis yang terlibat dalam peristiwa Bukit Kepong di Chendering.











09 September 2011

Terengganu lulus 5,167 lot tanah melalui 64 skim RTB

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri telah meluluskan 64 skim permohonan tanah melalui Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) sejak 2008 sehingga Julai lalu kepada rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu 13 skim permohonan telah diluluskan pada 2008, 22 skim pada tahun 2009, 21 skim pada tahun 2010 dan lapan permohonan sehingga Julai lalu.

Katanya, ia melibatkan 5,167 lot tanah secara keseluruhan di semua tujuh daerah di Terengganu.

Menurut Dato' Seri Ahmad, daerah Marang mencatatkan jumlah kelulusan tanah yang tertinggi dengan 1,741 lot melalui 15 skim permohonan sehingga Julai lalu.

"Manakala di Besut kita menerima 10 skim permohonan sejak 2009 dan 2010, namun kita hanya meluluskan sembilan permohonan melibatkan 564 lot.

"Bagi daerah Dungun kita tidak menerima sebarang permohonan pada 2008, namun pada 2009 kita meluluskan dua skim melibatkan 62 lot manakala pada tahun lalu kita hanya meluluskan dua daripada tiga skim dengan 224 lot keseluruhan diperuntukkan," katanya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar memaklumkan sebanyak 553 lot diagihkan kepada penduduk di Hulu Terengganu setelah Kerajaan negeri meluluskan 10 skim permohonan yang dibuat sehingga kini.

Beliau berkata, setiap pemohanan yang diajukan perlu mematuhi prasyarat permohonan tanah yang telah dikeluarkan sebelum ini termasuk bagi status tanah haram.

Kerajaan Negeri katanya, telah bersetuju meluluskan satu lot baru di Kemaman dan lokasinya akan dikenal pasti. Sehingga kini sebanyak 744 lot telah diluluskan menerusi sembilan skim permohonan dibuat dan satu ditolak pada 2008.

"Di Kuala Terengganu dua permohonan diluluskan melibatkan 42 lot melibatkan perumahan pada 2008 dan pada 2009 ada 4 permohonan dengan 312 lot diluluskan.

"Tahun 2010 ada lapan skim melibatkan 327 lot dan satu skim pada tahun ini melibatkan 17 lot menjadikan 698 lot secara keseluruhan," ujarnya.

Sementara itu kata Dato' Seri Ahmad, daerah Setiu hanya tiga skim di pohon pada 2008 dan 2009 dengan melibatkan 643 kelulusan lot tanah diberikan kepada penduduk di daerah itu.

Katanya, jumlah keseluruhan ini tidak termasuk kelulusan yang telah diumumkan sebelum ini termasuk tapak tanah pertanian, tanah haram dan tapak rumah yang diluluskan.

"Setiap tapak rumah yang diluluskan, kerajaan hanya mengambil premium 10 peratus daripada jumlah nilai harga semasa.

"Sekiranya tanah haram kerajaan negeri hanya mengambil 15 peratus daripada jumlah harga semasa, manakala sekiranya skim tanah itu ada penolakan, kita hanya ambil 25 peratus," katanya.

Sebelum ini katanya, Kerajaan negeri mewujudkan polisi baru dalam urusan menukar syarat tanah sebagai usaha memantapkan lagi pentadbiran yang sebelum ini dilihat mengambil masa terlalu lama hingga mencecah setahun.

"Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2011, Kerajaan negeri telah meluluskan 613 permohonan dan hanya meluluskan 55 daripada 399 permohonan bagi tanah haram," jelasnya.


Perhimpunan pertama dan terakhir buat Yusoff Mohd. Amin

Oleh FAUZI MOHD

Bekas calon Perikatan Dewan Undangan Negeri kawasan Setiu dalam Pilihan Raya Umum 1959, Yusoff Mohd. Amin, 74, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Calok Kedai di sini, kira-kira pukul 10 pagi 6 September lalu.

Allahyarham yang pernah bertugas sebagai Penyelia Kemas Parlimen Kuala Nerus dan Setiu dan mempunyai sembilan anak, 33 cucu dan 6 cicit itu meninggal akibat sakit tua.

Menurut anak ketujuhnya, Nazri, 44, semasa hayatnya, Allahyarhambukan sahaja terbabit dalam pelbagai kegiatan politik malah turut berkerjasama menjayakan pelbagai program Badan Bukan Kerajaan (NGO) di daerah Setiu.

Nazri yang bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai termasuk pemimpin masyarakat yang hadir menziarah jenazah dan mengucpakan takziah.

Katanya, jawatan terakhir bapanya ialah Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Setiu selain pernah diberi kepercayaan berkhidmat dalam Majlis Daerah Setiu, Pertubuhan Peladang Setiu serta beberapa pertubuhan belia semasa zaman mudanya.

"Susur galur perjalanannya dalam politik dan khidmat kepada masyarakat sangat panjang. Bermula apabila dia dipilih sebagai calon Perikatan pada usia 22 tahun.

"Walaupun tewas kepada calon PAS, Daud Samad yang dilantik sebagai Menteri Besar pada ketika itu, semangatnya terus kental untuk berbakti dengan mengasaskan UMNO Cawangan Gong Terap sebelum menyertai pergerakan pemuda UMNO Bahagian pada ketika itu," katanya ketika ditemui wartawan Teganukita di rumah arwah bapanya, petang semalam.

Kata Nazri, pemergiannya cukup menyentuh hati kerana sebelum itu adik kepada bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Allahyarham Dato' Abdul Ghani Mohd. Amin itu sempat melaksanakan impiannya mengumpul kaum keluarganya pada hari raya ketiga lalu.

Ujarnya, setelah tiga tahun arwah berusaha, buat pertama kalinya, hampir 1,500 ahli keluarga keturunan Tok Bilal Ali dari generasi ketiga hingga keenam berkumpul dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Sivik Kampung Gong Terap Calok.

Tok Bilal Ali dikatakan hidup sekitar 1900-an yang dipercayai mengasaskan Kampung Bukit Calok, yang berkembang menjadi Kampung Penarik ketika itu.

Keturunan Tok Bilal Ali diteruskan oleh Mat Amin (Tok Bilal Mat Amin) yang akhirnya meninggal dunia pada tahun 1991 ketika berusia lingkungan 80-an.

"Perjumpaan keluarga berkenaan bagi memberi pendedahan kepada generasi baru Tok Bilal Ali tentang susur galur keturunan keluarga agar jati diri dapat diterapkan di dalam jiwa mereka.

"Saya tidak sangka acara ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ahli keluarga dan amat gembira kerana ramai ahli keluarga Tok Bilal Ali berkumpul," katanya.

Kata Nazri, itulah kerja terakhir ayahnya sebelum pergi buat selama-lamanya.

Maljlis Sambutan Hari Raya Pejabat Penerangan Besut meriah

Oleh: Mohammad Ishak


Dr A Rahman (tengah) bersama Ab Rahim (kiri) dan Hamidah pada majlis sambutan Hari Raya anjuran Pejabat Penerangan Besut.

Mood untuk menyambut Hari Raya dikalangan umat Islam negeri ini semakin menebal apabila banyak malis sambutan yang diadakan pihak tertentu termasuk Pejabat Kerajaan terus mendapat sambutan daripada orang ramai.

Pejabat Penerangan Daerah Besut, tidak ketinggalan menganjurkan majlis sambutan Hari Raya bertujuan memberi peluang penduduk daerah itu menyertainya selain beramah mesra dengan pemimpin setempat.

Bertempat di perkarangan pejabat berkenaan di Kampung Raja, Besut, majlis yang diadakan itu walaupun sederhana tetapi ia tetap meriah dengan kehdiran ramai tetamu termasuk pemimpin kerajaan.

Paling mengembirakan penganjur apabila Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, hadir sama memeriahkan majlis.

Selain beliau, Pegawai Daerah Besut, Ab Rahim Jusoh serta pegawai kanan kerajaan daerah itu bersama kakitangan lain tidak ketinggalan memberi sokongan dan hadir menjayakan majlis yang diadakan pada setiap tahun itu.

Pegawai Penerangan Daerah Besut, Halimah Awang Chik, berkata majlis sambutan itu bertujuan merapatkan hubungan antara kakitangan jabatan dengan penduduk daerah itu terutama pemimpin komuniti.

“Majlis seumpama ini sebenarnya menjadi acara tradisi kepada pejabat itu kerana pada setiap tahun ia diadakan untuk meraikan orang ramai,” katanya.

NGO buat laporan polis terhadap Mat Sabu

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman



Sembilan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) membuat laporan polis petang semalam berhubung kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu, yang menyatakan pengganas komunis dalam kompeni ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang membunuh anggota keselamatan serta keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero Malaya.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Bukit Payong, kira-kira jam 3.30 petang. Dalam laporan polis itu mereka meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Mereka membuat laporan tersebut berhubung kenyataan Mat Sabu seperti yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 27 Ogos yang menyatakan kenyataan berkenaan yang disifatkan menimbulkan kemarahan pelbagai pihak, termasuk waris anggota keselamatan yang terlibat dalam kes itu.

Antara NGO yang membuat laporan polis tersebut ialah Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT), Majlis Belia Daerah Marang, Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu, Belia MAYC Kawasan Marang, Belia 4B (M) Kawasan Marang, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Marang, Kelab Gym 1Malaysia Daerah Marang, Persatuan Silat Daerah Marang dan Pesatuan Benteng Daerah Marang.

Pemimpin NGO yang hadir termasuk Pengerusi MBNT, Mat Yusof Mat Ali; Pengerusi MBDM, Zaidi Muda dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri, Saiful Bahri Dato’ Baharuddin.




08 September 2011

MB rai 96 pelajar ke luar negara

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman




Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meraikan meraikan 96 pelajar Terengganu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, hari ini.

Pelajar tersebut akan mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di tiga negara iaitu United Kingdom (11 orang), Rusia (66 orang) dan Jordan (19 orang).

Turut hadir pada majlis itu ialah Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Haji Aziz Mamat.



Kerajaan Negeri melalui YT memperuntukkan sebanyak RM4 juta sebagai wang pendahuluan diri pelajar seberang laut Sesi 2011, dengan sebahagian besarnya akan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Moscow, Rusia dan Jordan serta London.

Terdapat empat pelajar cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia iaitu Mohd Firdaus Samsudin yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford, Lau Jia Cheng (Universiti Cambridge), Ester Ng Feng Ying (Kings College, London) dan Kharina Abdullah (London School of Economics).



“Kerajaan Negeri mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua anak-anak Terengganu yang cemerlang. Kalau dapat cemerlang lagi, kita mungkin akan pertimbangkan untuk beri biasiswa,” kata Menteri Besar.

“Cuma satu pesanan saya, agar mereka belajar bersungguh-sungguh dan tidak terlibat dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan pelajaran mereka. Kalau mereka yang gagal, siapa yang rugi,” tambahnya.



Lebih 500 tetamu hadir jamuan Aidilfitri Ukom

Oleh: Suriati Ali

Tetamu yang hadir pada Majlis Jamuan Aidilfitri anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di Jalan Pejabat, hari ini disajikan dengan pelbagai hidangan tradisional yang menyelerakan.



Jamuan yang bermula jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang diadakan di perkarangan pejabat Ukom dan dihadiri lebih 500 tetamu daripada pelbagai jabatan dan agen si kerajaan, swasta dan media massa.

Hidangan nasi minyak, laksa Terengganu, sate ayam, ketupat, tapai, air batu cendol, keropok lekor, bihun goreng dan biskut raya menjadi menu utama setiap kali jamuan jabatan itu diadakan pada setiap tahun.

Tetamu yang hadir secara berperingkat-peringkat di layan mesra oleh `tuan rumah’ Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong bersama seluruh kakitangan lain.






Tetamu kehormat yang hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, YB Alias Abdullah dan ketua-ketua jabatan.







form>

60 kakitangan JHEAT terima APC

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 60 kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerima pengiktirafan sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2011 yang diadakan di Dewan Auditorium, JHEAT, di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, 34 adalah wanita yang menerima wang tunai RM1,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.

Pesuruhjaya JHEAT, Mohd. Rozali Saleh berkata, penghargaan itu bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan mereka kepada organisasi selepas berjaya memperoleh kualiti prestasi perkhidmatan terbaik sepanjang tahun.

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut bukan sekadar inisiatif menghargai kakitangan malah sebagai motivasi kepada mereka untuk menghasilkan prestasi kerja terbaik.

"Pencapaian ini jelas membuktikan penerima sudah menunjukkan prestasi kerja berkualiti serta komitmen tinggi dalam menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat awam," katanya.

Antara penerima APC yang diraikan, bekas Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail, Shamsani Abdullah, Irwan Mat Din, Muhamad Khasmizan Abdullah, Tuan Rahana Tuan Syed, Wan Faizah Wan Husin dan Zaini Awang.

Turut diraikan 10 kakitangan JHEAT yang bakal bersara pada tahun ini termasuk Abdul Rahman Abdullah, Mohd. Yusof Musa, Ghani Sulong, Ibrahim Hitam dan Che Minah Mohamad.

Pilih penyertaan untuk wakil Terengganu

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) memilih sebanyak 19 penyertaan dalam pertandingan Keceriaan Merdeka 2011 peringkat negeri bagi mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan.

Program bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan menyemai semangat patriotik yang dikendalikan jabatan itu berakhir semalam (8 September).

Pertandingan dibahagikan kepada kategori bangunan swasta, pintu gerbang, kampung tradisional, sekolah, bangunan kerajaan, taman perumahan dan kediaman.

Penolong Pengarah JPNT, Mohd Iskandar Jaafar memberitahu, pasukan panel penilai sudah 'turun padang' membuat penilaian bermula semalam di mana Besut merupakan kawasan pertama dilawati.

Ia melibatkan Pejabat Majlis Daerah Besut, Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud II, Taman Perumahan Pelagat Tiga dan Kampung Tradisional Gong Gucil, Jertih.

"Panel penilai akan membuat penilaian dalam beberapa aspek, termasuk kreativiti, jumlah pemasangan Jalur Gemilang, hiasan pintu gerbang, banting, tugu dan keindahan kawasan sekitar," ujarnya.

Beliau berkata, pasukan penilai pertandingan akan membuat penilaian terakhir di daerah Kemaman yang sudah diadakan semalam.

Bagi kategori sekolah lima buah sekolah akan dinilai termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kerteh, SK Tengku Bariah, SK Landas di samping Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga.

Taman perumahan yang dinilai termasuklah di Bukit Guntung dan Bukit Sawa Marang, Perumahan Awam Kos Rendah Ajil manakala bagi kediaman individu melibatkan Mohd Ridzuan Mohamad (Meraga Beris Kemaman), Che Ku Maznah Awang (Pengkalan Pandang Kemaman) dan Tengku Chik Tengku Ngah (Beladau Kolam, Kuala Terengganu.