Halaman

27 September 2011

MB ‘turun padang’ beri semangat skuad “Penyu”

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan ‘turun padang’ malam ini bagi menyaksikan skuad ‘Penyu’ beraksi menentang pasukan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Dalam kesibukan menjalankan tugas harian, Menteri Besar tidak lupa untuk memberi sokongan kepada para atlet dan pemain bola sepak negeri ini agar mereka mencapai kejayaan dalam bidang sukan, sekaligus mengharumkan nama Terengganu.

Kehadiran peminat nombor satu pasukan tuan rumah itu sudah tentu menjadi ‘pembakar semangat’ kepada Terengganu untuk menumpaskan Negeri Sembilan, seterusnya muncul juara Kumpulan B bagi kempen Piala Malaysia.

Jika Terengganu yang merupakan juara Piala FA 2011 menang malam ini, ia tentunya lebih manis kerana mereka berjaya membalas dendam atas kekalahan 0-1 kepada pihak lawan di Stadium Paroi, Seremban, dua minggu lalu.

Kemenangan ke atas Negeri Sembilan juga dianggap penting kerana ia bakal memudahkan laluan pasukan Terengganu pada peringkat suku akhir nanti, seterusnya menggapai impian untuk muncul juara Piala Malaysia.

Secara kasarnya Terengganu sudah pun menempah tiket ke suku akhir, tetapi ia tidak bermakna anak buah Irfan Bakti boleh bermain sambil lewa bagi melengkapkan jadual perlawanan semata-mata.

Jurulatih pasukan Terengganu itu memberi jaminan akan menurunkan barisan terkuat pada malam ini bagi memastikan pasukan kita mengutip tiga mata penuh.

Beliau dijangka menurunkan pemain Harimau Muda, Faizal Muhammad atau Hasmizan Kamaroddin bagi menggantikan pemain pertahanan tengah, Mazlizam Mohamad yang masih dilanda masalah kecederaan.


Bakal Haji Diraikan di Majlis Sambutan Aidilfitri Dun Telemong 2011

Oleh: Mastura Jamal Din



Seramai 61 orang bakal haji daripada kawasan DUN Telemong telah diraikan oleh YB Haji Rozi Mamat selaku ADUN Telemong dalam satu majlis baru-baru ini.

Pusat Khidmat Masyarakat DUN Telemong turut mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidil Fitri walaupun di penghujung Syawal serentak dengan program tersebut.

Bakal-bakal jemaah Haji di nasihatkan supaya menjaga keselamatan ketika mengerjakan ibadah haji dan hendaklah sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak Tabung Haji demi kebaikan masing-masing.

Di samping kesihatan perlu dititik beratkan supaya ibadah haji dapat diselesaikan dengan sempurna dan mendapat haji yang mabrur.

Bakal-bakal jemaah haji diraikan dengan pemberian cenderahati daripada YB Haji Rozi Mamat dan juga YB Haji Mohd Nor Othman, Ahli Parlimen Hulu Terengganu.



Sempena sambutan majlis hari raya yang di adakan serentak dengan program meraikan bakal-bakal haji ini,seramai 20 orang pelajar-pelajar PDK Tengkawang turut diraikan dengan pemberian duit raya oleh ADUN Telemong YB Haji Rozi Mamat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah YB Hj Mohd Nor Othman Ahli Parlimen Hulu Terengganu dan isteri,Toh Puan Hajah Halijah Ali iestri kepada YBM Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang, Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu,ketua-ketua jabatan serta pengerusi-pengerusi JKKK dalam DUN Telemong.

Tuah jadi anak Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

“Saya rasa bertuah dilahirkan di negeri ini yang banyak menyediakan kemudahan pembelajaran termasuk pemberian insentif berupa wang sebagai galakan belajar kepada kami,” kata Kwan Lee Wam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut.



Kwan Lee Wam ditemui ketika menerima bantuan pendidikan pelajar yang bakal menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) penghujung tahun ini yang disampaikan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Wisma Darul Iman petang semalam.

“Saya terharu kerana kerajaan sangat ambil berat mengenai kebajikan kami para pelajar dengan menyediakan banyak kemudahan dan bantuan supaya kami dapat belajar dengan selesa,” kata Wan Shiou Hwei pelajar Tingkatan Enam Atas SMK Sultan Sulaiman yang tinggal di Kampung China, Kuala Terengganu.



Ahmad Musa Ahmad Razali pelajar SMK Sultan Sulaiman turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang sangat perihatin, menyediakan pelbagai bantuan dan galakan bagi memastikan kejayaan kami.

“Ramai kawan saya di negeri lain mencemburui kami yang mendapat perhatian istimewa kerajaan negeri dari pelbagai sudut dan saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk memenuhi impian negeri serta harapan kedua orang tua,” katanya.



Prem Nathan a/l Loganathan pelajar SMK Tengku Bariah Pasir Panjang juga berazam untuk mendapat keputusan cemerlang dalam STPM nanti.

“Saya akan buat yang terbaik untuk memenuhi harapan kerajaan dan keluarga yang ingin melihat kami muncul sebagai bangsa yang bermaruah suatu hari nanti,” katanya yang tinggal di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, kerajaan membelanjakan puluhan juta setahun untuk pembangunan pendidikan sama ada dalam bentuk bantuan, galakan serta menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran.

“Kita akan beri sama rata tanpa mengira status dan fahaman politik keluarga pelajar demi untuk masa depan aset penting negara yang akan menjadi pewaris kepada kepimpinan akan datang,” kata Dato’ Seri Haji Ahmad.

Kerajaan telah membelanjakan RM8.48 juta membabitkan 8,486 pelajar Tingkatan Enam Atas sejak Program Bantuan Pendidikan ini diperkenalkan pada 2008.



Sehubungan itu dalam majlis petang semalam seramai 2,156 pelajar STPM 2011 dari 51 SMK seluruh negeri menerima RM1,000 seorang membabitkan kos RM2,156,000.




JKNT nafi dakwaan `pilih kasih’

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan tiada keadilan berkaitan agihan bantuan kerajaan negeri bagi setiap hospital daerah di Terengganu.

Pengarah JKNT, Dr Nordiyanah Hassan berkata, pihak berkaitan tidak wajar mengeluarkan kenyataan termasuk hanya memberi perhatian kepada Hospital Kemaman dalam soal agihan peruntukan tanpa mencari maklumat tepat.

Katanya, setiap bantuan yang dikeluarkan kerajaan negeri akan diagihkan mengikut keperluan terdesak atau tertentu kepada setiap hospital daerah di negeri ini.

“Pihak kami mengakui peruntukan yang dibelanjakan bagi di hospital sama ada untuk membeli peralatan, menyediakan kemudahan, infrastruktur, menyelenggara atau sebagainya agak tinggi sehingga mencecah jutaan ringgit bagi setiap tahun.

“Apa yang dibelanjakan ini adalah untuk kepentingan dan keselesaan pesakit semata-mata terutama mereka yang berpendapatan rendah,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Dr Nordiyanah berkata, mereka yang mempunyai sebarang masalah mengenai perkhidmatan mana-mana hospital daerah di negeri boleh menghantar sebarang aduan kepada beliau melalui alamat e-mail nordiyanah@moh.gov.my.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Haji A Rahman Mokhtar, berkata kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM2 juta setahun menerusi skim kebajikan sosial perubatan bagi membantu rakyat yang tidak berkemampuan membiayai rawatan.

“Sebanyak 82 peratus sudah dibelanjakan dengan 3,165 pesakit mendapat manfaat daripada keseluruhan RM10 juta yang disediakan sepanjang empat tahun bermula 2007 lalu.

“Antara peralatan yang disediakan bagi manfaat pesakit termasuk kaki palsu, mesin oksigen, implant, lampin pakai buang, bekalan susu khas yang melibatkan jumlah perbelanjaan RM8.6 juta,” katanya.

Katanya, pada masa sama, pihaknya turut mengeluarkan belanja sebanyak RM7.6 juta bagi membeli pelbagai peralatan untuk kegunaan Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi tahun lalu.


500 pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan berseminar

Oleh: Mohammad Ishak


Pengarah JPNIN Terengganu Tukimin Sarlan

Seramai 500 ahli dan pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari seluruh negeri ini akan menyertai seminar sehari bertempat Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, esok.

Seminar anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu itu
akan bermula jam 10.30 pagi dan berakhir jam 1.00 tengahari.

Pengarah JPNIN Negeri, Tukimin Sarlan berkata, dua pembentang kertas kerja berkaitan keselamatan akan menyampaikan ceramah masing-masing sempena seminar berkenaan.

Antara pembentang terbabit ialah Penolong Pengarah Bhagian Pembangunan Komunit, Ibu Pejabat JPNIN, Muhamad Razali dengan tajuk “Peranan Skim Rondaan Dalam Menangani Masalah Sosial,.

Manakala sesi kedua pula bertajuk “Kerjasama PDRM dan Komuniti Mencegah Gejala Sosial dan Jenayah,” yang akan disampaikan oleh Ketua Polis Negeri Terengganu,Datuk Jamsah Mustapa.

Menurut Tukimin, selesai seminar satu majlis Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Strategik antara JPNIN dengan PDRM akan diadakan.

Sesi pertama antara Pengarah JPNIN Terengganu dengan Ketua Polis Negeri. Manakala sesi kedua antara Semua Pegawai Perpaduan Daerah dengan semua Ketua Polis Daerah (KPD).

Majlis akan disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar, mewakili Yang Amat BerhormatDatuk Seri Menteri Besar Terengganu.

Katanya, seminar itu bertujuan untuk memgukuhkan interaksi di kalangan pemimpin RT dan PDRM serta mempertingkatkan lagi jaringan kolaborasi antara JPNIN dan PDRM ke arah keberkesanan pelaksanaan Skim Rondaan Sukrela (SRS) ke arah menurunkan kadar jenayah setempat.




Dato’ Muda dilantik Pengerusi Pemantau Umno Terengganu

Oleh:Kamarudin Mat Akib

Bekas Ketua Umno Bahagian Marang, Dato’ Muda Mamat, dilantik sebagai Pengerusi Pemantau Umno Terengganu, menggantikan Allahyarham Dato’ Awang Jabar, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, minggu lalu.

Pelantikan Dato’ Muda yang berpengalaman luas dalam bidang politik, diputuskan pada mesyuarat pengurusan Badan Perhubungan Umno Negeri yang dipengerusikan Pengerusinya, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Pejabat Umno Negeri, malam kelmarin.

Beliau yang pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan sudah dimaklumkan mengenai pelantikan tersebut dan surat pelantikan akan dihantar dalam tempoh terdekat.

Pemilihan Dato’ Muda dibuat berdasarkan pengalaman beliau mengatur strategi merampas kerusi Parlimen Marang daripada Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, pada Pilihanraya Umum 2004.

Allahyarham Dato’ Awang Jabar meninggal dunia pada 20 September lalu setelah kereta dinaikinya bertembung dengan Perodua Alzar di Kampung Alur Tuman, Kelulut, kira-kira jam 7.10 pagi.


Kelas fardu ain, elaun bulanan RM240 untuk mualaf di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mewajibkan saudara baru mengikuti kelas fardu ain anjurannya bagi membolehkan mereka menerima elaun khas sebanyak RM240 sebulan.

Yang Dipertuanya, Dato' Mazlan Hashim berkata, langkah itu bagi memastikan mereka dapat mendalami pengetahuan mengenai Islam dan mengukuhkan pegangan hidup beragama.

Menurut beliau, selain itu, ia memberi manfaat kepada mereka dari segi kewangan dan tidak merasa terpinggir selepas menganut agama Islam kerana sentiasa dalam lingkaran rakan-rakan.

Katanya, setiap daerah disediakan dengan kelas bimbingan agama kecuali di daerah Besut mempunyai dua buah kelas termasuk kelas pembelajaran al-Quran yang diadakan tiga kali seminggu.

"Mereka yang mengikuti kelas itu akan dibayar elaun khas RM20 pada setiap sesi dan sekiranya mengikuti kesemua kelas tersebut, akan dibayar elaun penuh RM240 sebulan.

"Tempoh bayaran elaun itu dihadkan selama lapan tahun bagi setiap mualaf dan mereka akan dikenal pasti semula sama ada mampu berdikari atau sebaliknya," katanya baru-baru ini.

Homestay Teluk Ketapang wakili Zon Timur

Oleh FAUZI MOHD

Homestay Teluk Ketapang dipilih untuk mewakili Zon Timur bagi Anugerah Ilham Desa peringkat kebangsaan yang dijangka berlangsung akhir bulan ini.

Pengerusinya, Md. Azmi Abd. Aziz berkata, Homestay Teluk Ketapang adalah antara lima inap desa di seluruh negara yang dinilai bagi anugerah itu.

Katanya, ia termasuk sebuah kampung dari Sarawak (projek manik), Sabah (projek ikan bubu laut), Kedah (projek ladang getah) dan Negeri Sembilan (projek baja organik).

Program Homestay Teluk Ketapang dijayakan oleh 31 penduduk di perkampungan yang berhampiran dengan pantai, muara dan pulau-pulau kecil sekitarnya.

Anugerah Ilham Desa diperkenalkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi menghargai kampung-kampung yang mengetengahkan projek melibatkan penduduk secara berkelompok untuk menjana kegiatan ekonomi setempat.

26 September 2011

Kerajaan belanja RM8.4 juta untuk pelajar STPM

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan telah membelanjakan RM8.48 juta membabitkan 8,486 pelajar Tingkatan Enam Atas sejak Program Bantuan Pendidikan diperkenalkan pada 2008.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, bantuan material RM1,000 seorang ini sebagai galakan dan juga untuk membeli keperluan pembelajaran mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Saya bangga sejak program ini diperkenalkan, prestasi pelajar kita amat memberangsangkan dan di harap tahun ini kita mampu jadi juara kali keempat berturut-turut,” katanya di majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Yayasan Terengganu (YT) kepada Pelajar STPM 2011 di Wisma Darul Iman petang ini.



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof.

Katanya, ini masuk tahun keempat kerajaan beri bantuan di mana kali pertama (2008) seramai 2,330 pelajar diikuti 2,168 orang (2009) dan tahun lalu bilangan penerima seramai 1,826 orang.



Katanya, kerajaan akan lakukan apa saja untuk memberi tambah nilai dalam pendidikan justeru menyedari hanya dengan ilmu pendidikan yang cemerlang mampu merubah landskap ekonomi negeri dan negara.

“Zaman persekolahan adalah masa terbaik pelajar mencorakkan hala tuju kehidupan masing-masing manakala kerajaan hanya mampu memberi bantuan dan galakkan, usaha ada ditangan pelajar sendiri,” katanya.



Menteri Besar kemudiannya telah menyampaikan wang tunai RM1,000 seorang membabitkan 2,156 pelajar yang akan menduduki STPM penghujung tahun ini daripada 51 buah Sekolah Menengah (SM) seluruh negeri dengan kos RM2,156,000.




Majlis Aidilfitri KPKK dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali

Lebih 2,000 tetamu yang hadir di Majlis Aidilfitri Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Negeri Terengganu dihidangkan dengan pelbagai juadah tradisional Terengganu yang cukup menyelerakan.



Lebih 10 menu antaranya termasuk nasi dagang, ketupat pulut, laksa Terengganu, laksa Penang, sate ayam, lemang dan rendang menjadi pilihan tetamu di majlis yang diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama memeriahkan majlis Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Majlis yang diadakan dengan kerjasama lapan jabatan di bawah KPKK itu turut diserikan dengan nyanyian lagu Aidilfitri.