Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mewajibkan saudara baru mengikuti kelas fardu ain anjurannya bagi membolehkan mereka menerima elaun khas sebanyak RM240 sebulan.
Yang Dipertuanya, Dato' Mazlan Hashim berkata, langkah itu bagi memastikan mereka dapat mendalami pengetahuan mengenai Islam dan mengukuhkan pegangan hidup beragama.
Menurut beliau, selain itu, ia memberi manfaat kepada mereka dari segi kewangan dan tidak merasa terpinggir selepas menganut agama Islam kerana sentiasa dalam lingkaran rakan-rakan.
Katanya, setiap daerah disediakan dengan kelas bimbingan agama kecuali di daerah Besut mempunyai dua buah kelas termasuk kelas pembelajaran al-Quran yang diadakan tiga kali seminggu.
"Mereka yang mengikuti kelas itu akan dibayar elaun khas RM20 pada setiap sesi dan sekiranya mengikuti kesemua kelas tersebut, akan dibayar elaun penuh RM240 sebulan.
"Tempoh bayaran elaun itu dihadkan selama lapan tahun bagi setiap mualaf dan mereka akan dikenal pasti semula sama ada mampu berdikari atau sebaliknya," katanya baru-baru ini.