Kapal latihan dan penyelidikan Research Vessel Discovery (RV Discovery) milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dirasmikan Raja Pemaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah merupakan kapal pertama seumpamanya di negara ini.
Kapal bernilai lebih RM15 juta khusus dibina bagi penyelidikan oseanografi dengan kelengkapan terkini setanding dengan kapal penyelidikan luar negara dengan keupayaan belayar sejauh lebih 4,000 batu nautika dan boleh berada selama dua minggu di lautan.
Kapal sepanjang 35 meter dan seberat 300 tan itu dibina pada September 2008 oleh syarikat tempatan, Kay Marine Sdn. Bhd. dan berkemampuan menampung 12 krew kapal dan 23 pelatih pada satu-satu masa dengan menyediakan kabin, ruang makan serta ruang rehat yang selesa.
Naib Canselor UMT Dato' Prof Dr. Aziz Deraman, RV Discovery direka bagi memenuhi keperluan universiti itu dalam meneroka bidang utamanya iaitu oseanografi.
Katanya, ia dilengkapi dengan pelbagai peralatan penyelidikan termasuklah peta elektronik, alat bantuan perjalanan, pengukur kedalaman air, pengukur kemasinan air, pengesan haba dan suhu air di samping alat dengar yang mampu berfungsi walaupun sejauh 30,000 meter di dasar laut.
Tambahnya, ia turut dibekalkan dengan alat beban yang mampu mengangkat dan menurunkan beban seberat lima tan pada satu-satu masa.
‘‘Dalam aspek keselamatan, ia dilengkapi sistem pemadam kebakaran pyrogen, juga kemudahan rawatan air masin untuk bekalan minuman selain makmal kering dan basah serta bilik memproses segala data terkumpul.
“Sebelum ini kita hanya menjalankan kerjasama dengan sebuah universiti di Jepun iaitu Universiti Kargoshima untuk melakukan penyelidikan dasar laut dan ia sememangnya melibatkan kos yang tinggi.
“Dengan adanya kapal penyelidikan ini lebih mudah para penyelidik UMT untuk meneroka kajian-kajian baru di dasar laut,” katanya ketika berucap di Majlis merasmikan Majlis Pelancaran Kapal latihan dan penyelidikan Research Vessel Discovery (RV Discovery) di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, hari ini.
Kewujudan RV Discovery juga dapat memberi pendedahan dan latihan, khususnya kepada pelajar-pelajar jurusan Sains Samudera, Biologi Marin, Sains Nautika, Pengangkutan Maritim serta Teknologi Maritim.