Halaman

25 September 2011

Pelajar Tahun Empat mula terima e-Book

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 1038 orang murid Tahun Empat daripada 12 buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menerima pengagihan pertama e-Book daripada Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam majlis yang diadakan di Stadium Negeri Gong Badak. hari ini.



Dijangkakan lebih 23,000 murid Tahun Empat seluruh negeri akan menerima e-Book sehingga akhir tahun ini sebagai persiapan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri akan terus meletakkan sasaran e-Book sebagai pelengkap bagi pendidikan pelajar-pelajar di sekolah rendah di negeri ini.

“Biarpun pelbagai cerita dan spekulasi negatif timbul mengenai e-Book, segala kebaikan teserlah juga akhirnya”, katanya di majlis Pelancaran Penyerahan e-Book Pelajar Tahun Empat Peringkat Negeri dan DUN Tepoh 2011.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin.

Katanya, jelas sekali pemberian ini, prestasi pembelajaran murid tahun lima dan enam terus meningkat di mana Terengganu berjaya mengekalkan juara dalam keputusan peperiksaan awam (UPSR dan PMR).

“Cakap-cakap dan spekulasi yang timbul hanya daripada orang-orang yang tidak boleh menerima kebaikan yang telah kerajaan buat untuk meningkat taraf pendidikan pelajar di negerini,” katanya.

Dato’ Sri Haji Ahmad berkata, hanya dengan pendidikan mampu merubah landskap negeri dan negara dan apa yang kerajaan buat semata-mata untuk melihat anak-anak negeri ini setanding dengan negeri lain.

“Kerajaan membelanjakan lebih RM100 juta untuk e-book dan sehingga ini lebih 72,000 pelajar telah menerimanya dan menjelang akhir tahun akan meningkat kepada lebih 95,000 pelajar,” katanya.

Katanya, kerajaan juga akan menambah Kelas Maya kepada 32 kelas di 32 buah sekolah seluruh negeri menjelang akhir tahun ini.

“Kita harap semua pelajar di negeri ini mampu menguasai IT apabila memasuki tingkatan satu serta cemerlang dalam pendidikan masing-masing,” katanya.