Halaman

29 September 2011

Tidak akan maaf sampai bila-bila.

Oleh; Esah Abdullah



“Saya tidak akan memaafkannya sampai bila-bila, kerana kekejaman yag dilakukan pihak komunis, saya menjadi anak yatim ketika usia tiga tahun,” kata pesara polis Encik Mansor Endut, 67, dari Kampung Pasir Tinggi, Bukit Payong, Marang.

Katanya, ketika kejadian beliau masih kecil dan tidak mengerti apa-apa tetapi ibunya telah bercerita perkara sebenar yang berlaku kepada ayahnya ketika beliau berumur tujuh tahun.

Ketika kejadian ayahnya Allahyarham Endut Abdul Rahman bertugas sebagai guru di sebuah estet Kuala Pilah, Negeri Sembilan sementara beliau tinggal bersama ibu di Terengganu.

“Bila ibu cerita ayah mati kerana ditembak komunis, saya jadi marah dan berazam untuk membalas dendam,” katanya ketika ditemui di majlis Bicara Media bersama Bekas Anggota Polis anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di Hotel Permai, Kuala Terengganu petang semalam.

Encik Mansor menyertai pasukan keselamatan pada 1 Mac 1967 ketika berusia 23 tahun semata-mata kerana ingin membalas dendam di atas kematian ayahnya.

“Memang saya berdendam ketika itu, maklumlah darah muda tapi bila usia semakin matang, sebagai rakyat yang cintakan tanah air menjadi tanggung jawab saya untuk pertahankan negara daripada ancaman pihak komunis,” kata bapa kepada tujuh anak berusia 19 hingga 37 tahun.

Selama 31 tahun menjadi anggota keselamatan dengan menganggotai Skuad 67 serta bertugas di merata tempat termasuk di Depo Polis Kuala Lumpur, beliau berbangga dapat menghabiskan separuh usianya untuk berbakti kepada negara, walaupun tidak pernah bertempur dengan komunis seperti yang dicita-citakan ketika mula berkhidmat.

Seorang lagi bekas anggota polis yang ditemui, Encik Sharom Aziz, 75, dari Wakaf Tapai, Ajil turut mencerita pengalaman beberapa penyeksaan dilakukan oleh komunis terhadap orang kampung ketika beliau bertugas di Sungai Pertau, Hulu Pahang sekitar 1966.

“Pernah berlaku di depan mata saya, seorang penjaja roti ditembak hingga terburai isi paha kerana tidak memberi roti bila diminta oleh kumpulan mereka, pendek kata jika sesiapa bantah cakap akan kena tembak,” kata pesara polis serta bapa kepada tiga anak berusia 38 hingga 46 tahun.

Katanya, walaupun sudah lama tinggal pasukan anggota keselamatan tetapi semangat kepahlawanannya tidak pernah luntur serta mudah ‘naik darah’ bila ada orang cuba mengangkat perjuangan komunis sebagai hero.

Encik Sharom mula terbabit dalam pasukan keselamatan pada 1954 sebagai Polis Tambahan dengan gaji RM114 sebulan dan bersara setelah berkhidmat selama 38 tahun.