Halaman

27 September 2011

Bayam Anggur, menarik dan berkhasiat

Oleh; Esah Abdullah



Berbatang lembut warna ungu kemerahan dan berdaun hijau berbentuk hati, menarik serta berkhasiat itulah Bayam Anggur atau Remayong dan nama saintifiknya Basella Rubra.

Ia ditanam secara komersial atau suka-suka sebagai tanaman hiasan serta tergolong dalam keluarga sayuran di bahagian daun dan pucuk muda namun boleh dijadikan jus ungu yang diperah untuk mengubati sakit mata.

Kandungan zat pemakanan bayam ini bagi setiap 100 gram (g) adalah air (91g) protin (2.2g), lemak (0.3g), karbohiderat (3.9g), fiber (1.3g) dan tenaga (112g) manakala kandungan vitamin pula sangat tinggi iaitu vitamin A (1,686 – 6,400 IU), vitamin C (26 – 166 mg), kalsium (16-117 mg), ferrous (91.2-3.1 mg) dan berat setiap 1,000 biji benih ialah 30-40g.

Tumbuhan ini mempunyai jangka hayat pendek, renek dengan panjang mencapai enam meter ini juga boleh dibuat sup yang dicampur dengan cendawan, masak tumis serta goreng dicampur ikan masin.

Di Indonesia bayam anggur ini juga terkenal dengan panggilan Binahong, ianya mempunyai khasiat seperti mempercepatkan pemulihan bagi ibu selepas bersalin, melancarkan peredaran darah, mencegah strok, melancarkan pembuangan air kecil dan air besar serta diabetes.

Cara penggunaannya dengan mengambil daun, akar dan batang direbus dan diminum airnya atau dimakan secara langsung dengan cara mengunyah beberapa helai daun muda.

Manakala untuk ubat luaran, setelah ditumbuk halus sapu pada bahagian sakit seperti lenguh-lenguh badan serta menghaluskan kulit jika diamalkan berterusan.

Kajian mendapati tanaman yang berasal dari India Selatan ini turut ditanam di negara ini dan paling menarik pokok ini boleh ditemui di perkarangan pejabat Unit Komunikasi Negeri yang dijaga rapi sebagai hiasan.