Halaman

28 September 2011

LTHT kendali tujuh penerbangan haji tahun ini

Oleh; Esah Abdullah



Lembaga Tabung Haji Terengganu (LTHT) akan mengendalikan tujuh penerbangan terus ke Tanah Suci melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, bermula 30 September ini.

Pengarah LTHT, Encik Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata, kira-kira 3,100 jemaah terutama dari Terengganu, Kelantan dan Pahang akan terbang melalui lapangan terbang di negeri ini.

Katanya, setiap penerbangan dijangka membawa seramai 447 jemaah menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dengan penerbangan terus ke Madinah dan Jeddah.

"Penerbangan pertama dari Kuala Terengganu KT4 dijangka berlepas kira-kira jam 11.35 pagi terus ke Madinah,’’ katanya selepas mengadakan taklimat dan meninjau mengenai persiapan operasi penerbangan haji kepada petugas di LTSM di sini, pagi ini. Hadir sama Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Ahmad Ramli Mahmood.



Kira-kira seramai 300 kakitangan daripada 18 agensi kerajaan termasuk Polis, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam, MAB, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Penerbangan Malaysia, Kastam dan Imigresen bagi membantu operasi penerbangan haji di LTSM di sini.

Beliau berkata, penerbangan kedua dari LTSM ialah pada 1 Oktober,diikuti pada 5 dan 6 Oktober serta 16, 17 dan 18 Oktober.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan jemaah supaya membaca dengan teliti jadual penerbangan yang diterima bagi mengelakkan terlepas peperbangan dan merancang perjalanan bagi mengelakkan kelewatan tiba untuk melapor diri.

Katanya, tahun ini merupakan tahun ke empat Tabung Haji mengendalikan jemaah daripada LTSM sejak tahun 2008 dengan lima penerbangan dan pada tahun lalu sebanyak tujuh penerbangan.

Beliau berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya juga, kerajaan negeri akan menyediakan kira-kira 3,000 makanan percuma kepada jemaah dan keluarga yang mengiringi jemaah setiap kali penerbangan di LTSM.

Menurutnya, kira-kira 1,800 jemaah dari negeri ini berpeluang menunaikan farhu haji pada tahun ini.