Halaman

26 September 2011

Azlas Jaafar ke Bukit Kepong Sabtu ini



Oleh FAUZI MOHD

Impian Azlas Jaafar, 62, anak kepada Konstabel Jaafar Hassan yang terbunuh dalam tragedi Bukit Kepong, yang sekian lama terpendam untuk menziarahi pusara arwah bapanya buat pertama kali bakal menjadi kenyataan, Sabtu ini.

Ia berikutan persetujuan antara Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki bersama Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail bagi merealisasikan hasrat Azlas itu.

Azlas meluahkan rasa gembira serta mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak-pihak berkenaan yang sudi memberi kesempatan kepadanya menjenguk pusara Allahyarham Jaafar di Bukit Kepong dalam waktu terdekat ini.

"Saya rasa sangat gembira dan terharu kerana ada yang sudi bawa saya ziarah kubur arwah bapa di Bukit Kepong. Saya tak sabar-sabar nak ke sana.

“Saya cukup sedih kerana selama hidup ini tak pernah ziarah kubur arwah bapa dan saya tak pernah tahu di mana letaknya kubur arwah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Azlas, dia akan ditemani anak sepupunya, Zubaidah Omar Law, 21, ke pusara arwah bapanya dengan kemudahan pengangkutan yang disedikan oleh Pejabat Daerah Kuala Terengganu.

Sebelum ini, Azlas turut menerima kunjungan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dan isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud di kediamannya di Kampung Perpindahan Cendering, Kuala Terengganu.

Anak tunggal itu meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau lebih kenali sebagai Mat Sabu yang membela Parti Komunis Malaya (PKM) dalam tragedi Bukit Kepong.