Isu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memburuk-burukkan negeri Johor, bukan saja membangkitkan kemarahan rakyat negeri itu, tetapi Banginda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut murka.
Isu tersebut yang timbul sejak seminggu lalu kini sampai ke kemuncaknya apabila Sultan Johor yang tidak sepatutnya mencampuri urusan politik, turut meluahkan rasa tersinggung baginda berhubung kelancangan mulut pemimpin pembangkang terhadap negeri Johor.
Mungkin selama ini baginda begitu sabar dengan sikap pembangkang, tetapi kali ini tindakan mereka terlalu melampau dan melangkau had sempadan.
Sebagai ketua negeri, tindakan baginda menegur kelancangan Lim Guan Eng itu amat wajar sekali dan bersebab.
Walau apapun niat Ketua Menteri Pulau Pinang semasa mengeluarkan kenyataan kononnya Johor tidak selamat untuk pelabur, sebagai seorang warga negara Malaysia, Guan Eng tidak sepatutnya berbuat demikian.
Jika benar sekalipun dakwaan itu, ia ibarat ‘menepuk air ke dulang, akhirnya memercik ke muka sendiri” atau “meludah ke langit, akan jatuh ke muka sendiri”.
Apatah lagi jika kenyataan itu bohong (memang bercakap bohong ini amalan rutin pemimpin pembangkang), ia amat dikesali kerana boleh menggugat hasrat Kerajaan Pusat menarik pelabur asing ke Malaysia, termasuk ke negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.
Tindakan Sultan Johor melahirkan rasa tersinggung baginda berhubung yang kini menjadi polemik ini itu amat dipuji dalam usaha melindungi rakyat jelata daripada dianiaya oleh parti pembangkang.
Walaupun Sultan tidak sepatutnya diseret dalam arena politik, tetapi kenyataan Sultan Johor seperti yang dilaporkan dalam akhbar hari ini perlu dipandang serius oleh rakyat, bukan saja di Johor, tetapi di negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.
Sebagai warganegara yang masih waras, kita semua perlu menolak pembangkang, bukan saja DAP, tetapi semua parti yang berpakat dengan DAP, termasuk Pas dan Parti Keadilan.
Seperti nasihat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kepada rakyat Terengganu ketika melawat negeri ini baru-baru ini, “Rugi, serugi-ruginya jika rakyat pilih pembangkang,”.