Halaman

30 September 2011

7 penerbangan dari LTSM bawa 3,129 jemaah zon timur

Oleh FAUZI MOHD

Sebanyak tujuh penerbangan yang membawa jemaah haji ke tanah suci Mekah akan beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini bermula hari ini.




Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, ia melibatkan seramai 3,129 jemaah haji dari zon timur merangkumi tiga buah negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Katanya, penerbangan kedua dari LTSM ialah pada 1 Oktober dan diikuti pada 5 dan 6 Oktober serta 16, 17 dan 18 Oktober.

“Setiap penerbangan yang membawa 447 jemaah itu menggunakan pesawat MAS (Malaysia Airlines) dengan penerbangan terus ke Madinah atau Jeddah,” katanya.



Beliau berkata demikian selepas majlis meraikan keberangkatan 447 jemaah haji pertama dari Kuala Terengganu ke Arab Saudi di LTSM, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha’ari Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri Tepuh, Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah Tabung Haji negeri, Mohammad Mokhzani Mukhtar.

Tambah Khazan, kira-kira 300 kakitangan dari 18 agensi kerajaan termasuk Polis, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu serta Jabatan Kastam dan Imigresen membantu operasi penerbangan haji di LTSM.

“Urusan penerbangan jemaah haji yang masuk tahun keempat itu sehingga kini berjalan dengan lancar dan sempurna,” ujarnya.<!--[if gte mso 9]> Normal 0 false false false EN-MY X-NONE X-NONE MicrosoftInternetExplorer4



Sementara itu, seorang jemaah haji yang ditemui, Mohd. Salleh Mohd. Noor, 71, dari Gong Badak, dekat sini berkata,dia yang berkerusi roda bersyukur kerana akhirnya dapat menunaikan ibadah haji selepas lebih 30 tahun menyimpan hajat.

“Dah lama pak cik tunggu. Masa anak pak cik masih bersekolah lagi, pak cik dah baca buku-buku tentang ibadat haji,” kata warga emas itu yang pergi bersama anaknya, Ahmad Noor Rashidi, 36, yang juga pensyarah Universiti Teknologi Mara kampus Kelantan.

Bagi Nurul Huda Che Deraman, 26, dia yang berasal dari Kesom, Manir, dekat sini itu berasa bertuah kerana berpeluang mengerjakan ibadat itu dalam usia yang masih muda.

“Memang ini hajat saya dari sekolah menengah lagi. Selepas dapat kerja, impian saya untuk tunaikan haji sebelum berkahwin dan membeli kereta,” katanya yang juga kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).