Halaman

27 September 2011

Dato’ Muda dilantik Pengerusi Pemantau Umno Terengganu

Oleh:Kamarudin Mat Akib

Bekas Ketua Umno Bahagian Marang, Dato’ Muda Mamat, dilantik sebagai Pengerusi Pemantau Umno Terengganu, menggantikan Allahyarham Dato’ Awang Jabar, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, minggu lalu.

Pelantikan Dato’ Muda yang berpengalaman luas dalam bidang politik, diputuskan pada mesyuarat pengurusan Badan Perhubungan Umno Negeri yang dipengerusikan Pengerusinya, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Pejabat Umno Negeri, malam kelmarin.

Beliau yang pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan sudah dimaklumkan mengenai pelantikan tersebut dan surat pelantikan akan dihantar dalam tempoh terdekat.

Pemilihan Dato’ Muda dibuat berdasarkan pengalaman beliau mengatur strategi merampas kerusi Parlimen Marang daripada Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, pada Pilihanraya Umum 2004.

Allahyarham Dato’ Awang Jabar meninggal dunia pada 20 September lalu setelah kereta dinaikinya bertembung dengan Perodua Alzar di Kampung Alur Tuman, Kelulut, kira-kira jam 7.10 pagi.