Halaman

19 October 2011

Negeri Sembilan miliki kelebihan dua gol

Oleh FAUZI MOHD

NEGERI Sembilan memiliki kelebihan dua gol untuk dibawa ke perlawanan separuh akhir kedua di tempat sendiri, Sabtu ini.


Dalam perlawanan separuh akhir pertama malam tadi, Negeri Sembilan menudukkan T-Team 4-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.


T-Team yang dilatih Yunus Alif itu ternyata lemas dalam gelombang Negeri Sembilan yang mempamerkan corak permainan agresif.

Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit kelima Suharain Abu Samah menerusi hasil umpanan cantik daripada S.Kunanlan.

T-Team terus menggandakan asakan bagi menyamakan kedudukan yang diperolehi pada minit ke-10 menerusi Indra Putra Mahayuddin hasil lantaran lintang Mohd. Fitri Omar.



Namun, Hairuddin Omar berjaya menanduk masuk gol kedua Negeri Sembilan pada minit ke-25, bagaimanapun dibalas T-Team menerusi jaringan Mohd. Nor Farhan Mohamad pada mini t ke-40.

Kegembiraan T-Team hanya mampu bertahan selama dua minit apabila Hairuddin sekali lagi menyumbat gol untuk Negeri Sembilan pada minit ke-42 sebelum ditambah oleh S.Kunanlan pad a minit ke-50.



Hadir menyaksikan perlawanan itu, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dan isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat.

18 October 2011

JHEAT cari tanah perkuburan terbaik

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sedang membuat penilaian bagi Pemilihan Tanah Perkuburan Terbaik Peringkat Negeri selama dua hari bermula hari ini.

Penolong Pesuruhjaya JHEAT (Qaryah) Bahagian Pengurusan Masjid, Encik Rusydi Mansor berkata, pemilihan dibuat berdasarkan empat aspek yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

Katanya, kawasan tanah perkuburan baik perlu ada pelan (layout) susun atur setiap jenazah yang disemadikan; pentadbiran dan pengurusan termasuk penubuhan khairat kematian; landskap dan kebersihan perlu dijaga rapi.

“Tahun ini sembilan tanah perkuburan yang mewakili daerah Besut (2), Setiu (2), Marang (2), Kuala Terengganu (2) dan Dungun (1) berjaya melangkah kepenilaian peringkat akhir,” katanya ketika membuat penilaian di tanah perkuburan Kampung Bukit Wan, Batu Rakit yang mewakili daerah Kuala Terengganu.

Menurutnya panel hakim terdiri dari wakil Jabatan Perancang Bandar dan Desa (layout), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) (landskap), Jabatan Kesihatan (kebersihan) dan JHEAT (pentadbiran dan pengurusan).

Katanya, keputusan pemilihan dan penyampaian hadiah akan diadakan serentak dengan majlis sambutan Maulidul Rasul pada Februari tahun depan.

Tanah perkuburan terbaik peringkat negeri akan menerima wang tunai RM5,000, RM3,000 (kedua) dan RM2,000 (ketiga) manakala peringkat daerah menerima RM2,000 (pertama), Rm1,500 (kedua) dan RM1,000 (ketiga).


Dua stadium bakal bergegar malam ini

Oleh: Suriati Ali

STADIUM Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu dan Stadium Shah Alam, Selangor bakal bergelora malam ini apabila empat pasukan termasuk dua berstatus ‘gergasi’ membuat perhitungan pada separuh akhir pertama dalam kempen Piala Malaysia 2011.

Mereka mempunyai satu misi yang sama iaitu memburu tempat ke final piala paling berprestij itu.

Terengganu tampil dengan label sebagai pasukan Gergasi Pantai Timur selepas kejayaan menumbangkan musuh tradisinya, Kelantan, Jumaat lalu. Terengganu akan turun selaku pasukan pelawat menentang Selangor yang sinonim dengan gelaran Gergasi Merah Kuning.

Ibarat buku bertemu ruas, pertembungan separuh akhir pertama malam ini turut menjadi gelanggang percaturan buat Irfan Bakti dan P. Maniam dalam merencana skuad terbaik yang terdiri daripada barisan pemain kebangsaan.

Bagi Irfan, dia begitu menghormati reputasi Selangor selaku juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali, namun tanpa ada rasa gentar, mereka bersedia melenyapkan impian pasukan lawan yang memburu ‘Misi 33’.

Katanya, kejayaan menyingkirkan Kelantan tempoh hari adalah amaran awal buat mana-mana pasukan di Malaysia agar lebih menghormati kemampuan Terengganu.
“Sejak dari awal saingan lagi saya sudah katakan yang kami tidak takut untuk bertemu mana-mana pasukan termasuklah Selangor.

“Saya memiliki barisan pemain berbakat dengan corak permainan menyerang yang begitu sistematik. Paling penting, pemain Terengganu tidak sedikit pun gentar dengan sorakan padu penyokong lawan,” katanya..

Di sebalik pujian melambung, jurulatih T-Team, Yunus Alif pula mula merasai debaran apabila anak-anak buahnya akan turun melayan kunjungan Negeri Sembilan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia malam ini.

Tanpa sebarang harapan di awal musim, pasukan yang berpengkalan di Kuala Terengganu itu mula melakar kemasyhuran dengan layak ke separuh akhir, sekali gus menjadi satu-satunya wakil kelab yang berada dalam kelompok empat terbaik.

Kini, T-Team hanya selangkah untuk merasai nikmat final Piala Malaysia dengan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu bakal menjadi saksi kepada cabaran pertama pasukan itu.
Menurut Yunus, tahap keyakinan pemain-pemainnya kini berada pada tahap seratus peratus dan hanya menunggu peluang untuk menjadikan impian mereka satu realiti.
Namun katanya, para pemain juga diingatkan agar tidak terlalu leka di sebalik kejayaan melangkah ke separuh akhir kerana misi menentang Negeri Sembilan bukanlah satu tugas mudah.

“Berada di separuh akhir sudah memberi kepuasan kepada saya, tetapi kami perlu teruskan usaha kami kerana pejuangan pasukan belum selesai.

“Kami sentiasa menghormati Negeri Sembilan kerana mereka merupakan lawan yang kental dengan barisan pemain penuh bakat. Sejarah juga sudah membuktikan pasukan lawan begitu menyerlah di pentas Piala Malaysia sejak beberapa tahun lalu,” kata Yunus


Selepas e-Book guru pula akan mendapat komputer riba

Oleh: Mohammad Ishak


Murid tahun empat dari DUN Kuala Besut menerima e-book daripada Menteri Besar


Beruntung sungguh menjadi rakyat Terengganu, selepas selesai pengagihan e-Book kepada murid tahun empat kerajaan negeri akan meneruskan tanggungjawab memastikan guru yang bertugas di negeri ini mendapat kemudahan laptop percuma.

Seramai 2.300 guru yang mengajar tahun enam di sekolah rendah seluruh negeri ini bakal menerima laptop yang akan diagihkan secara berperingkat mulai minggu depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pengagihan laptop kepada guru terbabit satu lagi usaha kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan dengan menyediakan kemudan teknologi maklumat kepada pendidik.

Katanya, katanya penggunaan IT dikalangan guru juga amat penting supaya mereka dapat menggunakan segala kemudahan teknologi untuk tujuan pembelajaran.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada golongan pendidik dan mereka wajar menyokong segala usaha yang dilakukan kerajaan untuk pembangunan pendidikan.

Ketika ini,katanya, Terengganu mempunyai 23,000 guru yang sedang bertugas di seluruh negeri dan mereka sepatutnya mampu menjadi agen pembangunan pendidikan kerana sentiasa diberi pelbagai kemudahan dan insentif semasa bertugas.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian e-Book kepada 664 murid tahun empat dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, di Sekolah Kebangsaan Seri Nail,Kuala Besut.

Hadir sama pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri YB Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut, ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, ADUN Jabi, Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Besut,A Rahim Jusoh.

Skuad “Penyu”, T-Team bertarung pasukan lawan malam ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Malam ini dua pasukan Terengganu, Skuad “Penyu” dan T-Team akan bertarung lawan masing-masing di peringkat separuh akhir pertama, bagi mencuri peluang ke final Piala Malaysia.

Pasukan Terengganu akan bertemu Selangor di Stadium Shah Alam manakala T-Team melayan pasukan Negeri Sembilan di gelanggang sendiri – Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pastinya permainan pasukan Terengganu dan T-Team akan diiringi doa seluruh rakyat Terengganu yang mahu melihat pasukan adik dan abang itu bermain pada final yang dijadualkan 29 Oktober ini.

Jika kedua-dua pasukan tersebut layak melangkah ke final, sudah tentu akan mencatatkan sejarah tersendiri Piala Malaysia di mana buat pertama kalinya dua pasukan dari negeri yang sama akan bermain pada pertandingan akhir piala berprestij itu.

Pasukan Terengganu yang masih segar dengan rekodnya sebagai juara Piala FA 2011, mempunyai kelebihan untuk menumpaskan lawan, tetapi kehadiran T-Team di peringkat separuh akhir juga tidak boleh dipandang remeh.

Tidak mustahil jika T-Team mampu melakukan kejutan untuk menumpaskan pasukan Negeri Sembilan yang pernah bergelar juara Piala Malaysia.

Ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusoff bertekad untuk membenamkan Selangor di Stadium Nasional malam ini bagi memberi kelebihan kepada pasukannya untuk berdepan dengan lawan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Manakala T-Team pula tentunya akan bermain bermati-matian untuk menang perlawanan malam ini supaya mereka lebih selesa apabila bertandang ke gelanggang lawan di Stadium TAR Paroi, minggu depan dan mencuri peluang untuk ke final.


Projek bakti komuniti beri pengalaman berguna

Oleh; Esah Abdullah

Pengalaman pertama kali menyertai gotong royong, menjayakan sukaneka dan makan masakan ala kampung bersama penduduk setempat kampung menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

Penuntut Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu (KKKT), Efa Safira Bah Nan, 20, berketurunan Asli Suku Semai berasal dari Tapah Perak ini tidak pernah merasai suasana kampung kerana kehidupan yang dilalui jauh berbeza.

“Saya sangat teruja, bila menyertai program ini,” katanya ketika ditemui bersama 110 orang rakannya termasuk dari Kolej Kesihatan Awam Batu Rakit (KKABR) menjayakan Projek Bakti dan Komuniti (PBK) di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit.

“Pendedahan ini sangat berguna kepada kami sebagai bekalan memasuki alam pekerjaan nanti,” kata pelatih KKABR,” Mohd Azizul Nasir,19, dari Kuala Terengganu.

Katanya, kerjasama dan sikap saling membantu serta layanan kepada tetamu yang ditunjukkan oleh penduduk kampung sangat menyentuh hati dan menjadi panduan berguna kepada kami.

Sementara itu, Penyelaras Projek KKABRt, Encik Mohd Shallehen Ibrahim berkata, setiap pelatih perlukan pendedahan mengenai kehidupan dan budaya orang kampung kerana bidang yang diambil memerlukan mereka berhubung rapat dengan komuniti setempat.

“Program ini merupakan modul wajib bagi setiap pelatih KKABR dan KKTR yang perlu disertai oleh setiap mereka yang ingin lulus sebelum menamatkan pengajian,” katanya.




MB lancar Bulan Bahasa Kebangsaan 20 Oktober

Oleh FAUZI MOHD

KERAJAAN Terengganu dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka akan melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 2011 peringkat negeri 20 Oktober ini.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Azmi Ibrahim berkata, majlis berkenaan akan berlansung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu dan akan dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said.

Bulan Bahasa Kebangsaan mula diperkenalkan pada 1999 bertujuan membina jati diri dan memperteguh perpaduan bangsa Malaysia melalui bahasa, kebudayaan dan sastera Melayu.

"Sepanjang program sebulan itu, pelbagai aktiviti berkaitan bahasa dan sastera akan dilaksanakan dengan melibatkan pelbagai lapisan dari murid sekolah hingga orang dewasa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.



Perancis, India labur RM300 juta industri silika di Setiu

Oleh FAUZI MOHD

KERAJAAN Negeri telah meluluskan perusahaan yang melibatkan industri silika di kawasan seluas 20 hektar di Setiu dengan jumlah pelaburan sebanyak RM300 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Dato' Toh Chin Yaw berkata, sehingga kini satu konsortium sudah dibentuk bagi mengusahakan industri berkenaan yang melibatkan pelabur tempatan, India dan Perancis.

Menurutnya, sehingga kini kajian di kawasan lapang sedang giat dilaksanan pihak berkaitan dan dijangka kerja-kerja tanah mula beroperasi selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Kelulusan tanah seluas 20 hektar itu sudah pun dilulus bagi pembinaan tapak kilang dan kita percaya dengan adanya industri silika ini ia mampu menggalakkan aktiviti pembangunan di kawasan Setiu.

“Kita difahamkan kawasan ini mempunyai sumber pasir silika bermutu tinggi yang dapat digunakan bagi menggerakkan pelbagai industri berasaskannya, jika tidak diusahakan kita bimbang ia akan tercemar dan tidak dapat digunakan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan e-book kepada murid tahun empat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, dengan wujudnya operasi industri Silika di daerah Setiu itu, secara tidak langsung mampu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat melalui industri hiliran yang berasaskan bahan itu seperti industri kraftangan berasaskan kaca dan sebagainya.

Malah katanya, pihak konsortium juga sanggup melakukan kerja-kerja penyelidikan, memberi bimbingan dan mencari peluang pemasaran dalam usaha mewujudkan industri hiliran bertujuan memberi faedah kepada masyarakat setempat.

“Selain itu juga, penduduk yang mempunyai sumber silika di kawasan mereka boleh menjual hasil itu kepada kilang memproses dan berpeluang mengusahakan industri hiliran yang akan diwujudkan kelak.

“Kita percaya dalam masa beberapa tahun lagi kita mampu menarik lebih ramai pelabur ke Terengganu dalam bidang akuakultur, pelancongan dan sebagainya,” katanya.

Pada majlis itu seramai 704 murid daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Losong, SK Tengku Ampuan Mariam, SK Padang Hiliran, SK Seri Nilam, SK Cabang Tiga dan SJKC Chung Hwa Wei Sin menerima e-book masing-masing.

17 October 2011

1,468 murid Jabi, Permaisuri terima e-book

Oleh FAUZI MOHD


SERAMAI 1,468 murid tahun empat dari 33 buah sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi dan Permaisuri menerima agihan e-book percuma yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said hari ini.

Dalam dua majlis berasingan, 569 e-book diagihkan kepada murid dari 13 buah sekolah di DUN Jabi bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Selasih, Besut.



Turut hadir pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, YB. Ramlan Ali dan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abd. Malib Abd. Rani.

Daripada jumlah itu, 16 penerima terdiri daripada murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari tiga buah sekolah iaitu SK Anak Ikan, SK Jabi dan SK Tempinis.

Turut bertuah pada majlis itu, dua pasangan kembar dari SK Renek iaitu Wan Amiru Asyikin Wan Mansor dan adiknya, Wan Nur Asyikin serta Muhd. Alimi Ismail dan abangnya, Muhd. Alwi.

Sementara itu, di sebelah petangnya, Menteri Besar meneruskan acara serupa dengan menyampaikan e-book percuma kepada 899 murid dari 20 buah sekolah di DUN Permaisuri.

Majlis yang diadakan di Dewan Besar Pejabat Pelajaran Daerah Setiu itu turut dihadiri ADUN Permaisuri, YB. Abd. Halim Jusoh.

Antara sekolah terlibat, SK Kampung Fikri, SK Kuala Setiu, SK Penarek, SK Mangkok, SK Putera Jaya, SK Guntung Luar, SK Merang, SK Permaisuri, SK Lembah Bidong dan SK Saujana.



Mencuri tumpuan pada majlis itu, tiga pasangan kembar dari SK Putera Jaya yang menerima e-book itu iaitu Mohd. Amir Zaimery dan Mohd. Amir; Afiq Haikal Mohd. Kamal dan Afiq Danial serta Afiq Afzan Ismail dan Afiq Afnan.

Kerajaan Negeri Terengganu tidak menghadapi masalah kewangan


Oleh: Mohammad Ishak



YB Dato'Mazlan menyampaikan sijil APC di Pejabat Daerah Besut


Kerajaan Terengganu tidak menghadapi masalah kewangan serius untuk membiayai pelbagai projek pembangunan dan membayar elaun serta gaji kakitangan negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri,Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, dakwaan pihak tertentu yang membangkitkan isu kerajaan negeri menghadapi masalah kewangan adalah tidak benar dan sengaja diada-adakan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, perkara itu tidak timbul sebaliknya semua urusan dapat berjalan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah dan kakitan awam negeri terus menerima bayaran gaji seperti biasa.

“Apa yang berlaku ialah ketua jabatan diminta supaya bertindak bijak mengawal kewangan jabatan masing-masing,” katanya.

Dato’ Mazlan berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sijil Persekitaran Berkualiti (5S) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Daerah Besut, di Kampung Raja,pagi tadi.

Pada majlis itu Mazlan menyampaikan sijil berkenaan kepada Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan 16 kakitangan pejabat daerah dan pejabat tanah daerah yang menerima sijil terbabit.

Katanya, kakitangan kerajaan negeri ini sudah menunjukkan khidmat yang cemerlang selaras dengan kehendak kerajaan yang bermotokan “ Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Beliau itu slogan itu sudah sebati dengan kakitangan awam negeri dan mereka kini mampu menjalankan tugas lebih berkesan dan memenuhi kehendak rakyat.

Katanya, penerimaan sijil berkenaan sebagai satu pengiktirafan kepada kakitangan terpilih dan mereka perlu menunjukkan teladan baik kepada rakan lain dengan menjalankan tugas secara jujur,ikhlas dan bertanggungjawab.