Halaman

25 May 2012

PB Square hampir 46 peratus siap

Oleh: Suriati Ali

Kompleks mega Paya Bunga Square (PB Square) milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di bandar raya ini kini mencapai hampir 42 peratus siap.

PB Square yang berharga RM120 juta dan mengandungi kompleks perniagaan, hotel dan pejabat yang dijangka siap pada Julai 2013.

Pengurus Besar PMINT Dato’ Haji Osman Muda berkata apabila siap kelak kompleks itu akan mengandungi 1 blok hotel 19 tingkat dengan 199 bilik, ruang pejabat, premis perniagaan empat tingkat dan tempat letak kereta tiga tingkat.

"Projek itu yang buat sementara ini dinamakan Paya Bunga Square merupakan pertama seumpamanya di negeri ini dan akan menjadi mercu tanda PMINT," katanya kepada sidang media di pejabatnya, semalam.

Hadir sama, Pengurus Bahagian Pentadbian & Sumber Manusia PMINT, Haji Wan Adnan Wan Deraman dan Timbalan Pengurus Besar Perancangan dan Pembangunan PMINT, Haji M Harith Hassan.

Kompleks itu sedang dalam proses pembinaan di belakang pejabat PMINT di Jalan Masjid Abidin dan bersebelahan dengan perhentian bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Dato’ Haji Osman berkata langkah PMINT membina kompleks itu bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembangunan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar raya.


Dato' Dr Hasan Ali di Pasar Borong Gong Pauh, malam ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Orang ramai dijemput membanjiri ceramah perdana yang bakal mendedahkan isu semasa yang menarik dan hangat disampaikan bekas Exco Kerajaan Pas Selangor, Dato’ Dr Hasan Ali, pada malam ini (25 Mei) jam 9.00 malam.

Ceramah Perdana Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam yang bertemakan `PRU 13.. Rakyat Penentu’ akan berlangsung di Tapak Pasar Borong, Gong Pauh, Kuala Terengganu.

Dato’ Dr Hassan Ali yang juga Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor akan mengupas sedalam-dalamnya isu berkaitan dan `membuka pekung’ pembangkang yang pastinya akan memberi gambaran kepada rakyat `wajah sebenar’ pemimpin pembangkang.


Ceramah beliau juga turut mendedahkan mengenai kemelut dalaman antara Pas dengan PKR dan DAP sejak dulu sehingga kini.

Malah, dalam satu siri ceramah beliau sebelum ini, Dato’ Dr Hasan mendakwa 72 peratus kepimpinan Pas kini dikuasai oleh golongan sekular yang sanggup 'tidur sekatil' dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, sejumlah 28 peratus lagi adalah golongan ulama yang sanggup mengenepikan perjuangan asal Pas semata-mata mahu menyokong Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang bercita-cita mahu menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.




24 May 2012

PPT tampil pelbagai aktiviti tradisional

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan menganjurkan Pesta Pantai Terengganu (PPT) 2012 bertempat di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu bermula esok (25 Mei) hingga 3 Jun.

Program yang bakal berlangsung selama 10 hari itu akan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada jam 8.30 malam esok.

Pada malam itu, Dato’ Seri Haji Ahmad akan diarak masuk ke tapak program dengan menaiki beca berhias, diikuti gendang nusantara kesenian Besut dan pelbagai adat kemelayuan lain.

Tembakan bunga api dalam tempoh 15 minit berlatarbelakang pancaran cahaya bunyi turut dipersembahkan sebagai tanda gimik perasmian pesta itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata lebih 50,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu dijangka hadir bagi memeriahkan program itu.

Katanya, sasaran itu mampu dicapai kerana PPT diadakan sempena cuti sekolah di mana lebih ramai pengunjung dapat meluangkan masa bersama keluarga berbanding pada hari biasa atau waktu bersekolah.

“Pelbagai aktiviti kebudayaan dan permainan tradisonal yang jarang dilihat genarasi sekarang akan dipamerkan semata-mata mahu menarik minat pengunjung selain ingin mengembalikan nostalgia lampau.

“Pengunjung sewajarnya mengambil peluang seumpama ini bagi melihat pertunjukan seperti silat, gasing terbang, dikir barat, masakan kuih tradisional dan paling menarik cara membuat emping ubi,” katanya kepada Teganukita.


Mohd Zuhairie terharu terima RM20 ribu

Oleh: Suriati Ali

Bekas pemain bola sepak Piala Presiden Pasukan T.Team, Mohd Zuhairie Ahmad Tarmizi, 22, terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri yang sudi menyumbang sejumlah RM20,000 kepada beliau.

Beliau yang putus semua jari kanan akibat digilis pengisar tebu ketika berniaga air tebu di Bazar Ramadan, Marang pada 7 Ogos tahun lalu, berazam menggunakan wang itu sebaik mungkin bagi menambahkan modal perniagaan keluarga yang kini membuka kedai makan.

“Wang yang diperoleh ini cukup berharga kerana saya kini tidak dapat melakukan aktiviti lain kecuali membantu keluarga berniaga di warung,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Insentif di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang semalam.

Majlis yang dirasmikankan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan Presiden PSTNT, Encik Shapian Ali.

Menteri Besar turut mengagihkan RM95,000 kepada Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) kerana berjaya menjulang nama Terengganu pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Khir Johari di Manjong, Perak, 4 hingga 8 April lalu.

Seramai 19 pemain termasuk pegawai menerima insentif itu di mana setiap individu memperoleh RM5,000.

Manakala, bekas pemain bola sepak kebangsaan yang berjaya mangharumkan nama Malaysia pada Kejohanan Olimpik Musim Panas pada 1972, Encik Harun Jusoh dan bekas pemenang pingat emas Sukan Sea, Encik Abdul Razak Ismail, menerima pakej umrah 2012 yang masing-masing bernilai RM6,800.

Ketika menceritakan kejadian lalu, Mohd Zuhairie yang bermain di posisi pertahanan pasukan T.Team ketika itu, berkata dia yang membantu abang (Mohd Zulhaimie Ahmad Tarmizi) berniaga air tebu memasukkan ruas-ruas tebu ke dalam pengisar, kira-kira jam 5.30 petang.

“Namun tanpa disangka, secara tiba-tiba tangan kanan tersangkut dan termasuk ke dalam mesin itu lalu digilis.

“Saya terus menjerit sekuat hati kerana terlalu sakit, tetapi malangnya tiada siapa yang dengar kerana bunyi enjin pengisar itu terlalu bising,” katanya.

Beliau yang panik melihat tangannya berlumuran darah cuba mematikan suis mesin itu namun tidak berjaya kerana kedudukannya agak jauh.

“Saya masih tidak perasan lima jari saya putus sehinggalah saya dapat tarik keluar tangan kanan," katanya.


Lima Anak Terengganu tersenarai ke Olimpik

Oleh: Aida Abd Rahman

Lima anak Terengganu menjadi atlet yang disenarai pendek untuk menyahut cabaran beraksi dalam acara lebuh raya di temasya Olimpik London Julai ini.

Pelumba berkenaan, Mohd Zamri Salleh dan adiknya Mohd Harrif Salleh (Terengganu Pro Asia Cycling Team), Mohamad Adiq Hussainie Othman dan Anuar Manan (Champion System) serta Amir Mustafa Rusli (Drapac Professional Cycling).

Menurut, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Encik Abu Samah Abdul Wahab. Negara mungkin menyenaraikan tiga pelumba basikal lebuh raya, termasuk dua pelumba simpanan ke Sukan Olimpik London pada Julai.

Katanya, keputusan mengenai penyertaan Malaysia pada temasya itu bagaimanapun akan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan PKBM, pertengahan Jun ini.

Menurutnya, ketua jurulatih berbasikal negara John Beasley akan turut dipanggil menghadiri mesyuarat jawatankuasa pemilihan itu.

"Kami juga akan meminta laporan pelumba-pelumba berkenaan daripada pengurusan pasukan TSG, Champion System dan Drapac. Daripada maklumat yang diterima, jawatankuasa berkenaan akan membuat keputusan," katanya.

Pada November 2011, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengeluarkan senarai penyertaan secara merit bagi acara lebuh raya lelaki untuk Sukan Olimpik London.Malaysia adalah antara empat negara Asia selain Jepun, Hong Kong dan Indonesia yang dipilih secara merit.

Penyertaan itu merupakan peluang kedua untuk skuad berbasikal lebuh raya negara beraksi di Sukan Olimpik selepas edisi 1972 di Munich, Jerman.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad meminta supaya nama pelumba yang bakal membawa cabaran negara dalam acara lebuh raya di Sukan Olimpik London tidak dijadikan bahan spekulasi.

"Walaupun sebelum ini diuar-uarkan bahawa Mohamad Adiq Hussainie dan Mohd Harrif bakal dipilih, kita ada lima pelumba yang disenarai pendek.

"Sebenarnya peluang untuk pelumba-pelumba itu masih terbuka. Kalau kita sudah sebut-nyebut nama pelumba tertentu sebelum keputusan dibuat, bagaimana perasaan pelumba lain," katanya.

Beliau berkata pelumba yang dipilih dijadual menjalani latihan bersama skuad berbasikal trek kebangsaan di Belgium sebelum berlepas ke London.





Bantuan persediaan pelajar ringan beban keluarga

Oleh; Esah Abdullah

Pemberianbantuan ini sangat bermakna sebagai melengkapkan dirinya menjadi salah seorang warga kampus seperti yang dicita-citakan sejak kecil.

“RM750 itu sangat besar ertinya kepada saya bagi meringankan beban keluarga untuk membeli barang-barang keperluan sebelum terbang ke Bintulu Sarawak bulan depan,” kata Muhammad Nur Aiman Mohd Nawi, 18, dari Kampung Pasir Akar, Jertih, Besut.

Sebagai anak seorang pemandu kenderaan di Pejabat Kesihatan Besut serta ibu hanya suri rumah sepenuh masa, kewangan merupakan perkara utama yang difikirkan bila mendapat tawaran belajar ke Sarawak.

“Saya bersyukur bila kerajaan beri bantuan persediaan pelajaran ini dan ia tentu turut mengembirakan semua rakan sebaya saya,” katanya, yang akan mengikuti pengajian peringkat diploma di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bintulu, Sarawak.

Bagi Fatin Nabilah Mohd Ramli, 18, dari Kampung Durian Penjara, Marang akan menggunakan wang pemberian kerajaan ini untuk membeli untuk menjadi penghuni kampus.

Anak sulung daripada empat beradik ini, ingin memberi contoh terbaik kepada adik-adiknya dalam mengejar ilmu pengetahuan agar menjadi insan berguna pada keluarga, negeri dan negara.

Walau pun ayahnya, Mohd Ramli Mohamad seorang penjawat awam yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Marang serta ibunya Faridah Hasan seorang pendidik di Sekolah Kebangsaaan Bukit Jejulong, Marang, namun ia diajar menghargai masa serta mementingkan pelajaran.

Fatin Nabilah mengambil jurusan Diploma Pertanian di UPM Sarawak dan sepanjang tempoh pengajian (tiga tahun) akan memberi tumpuan kepada pelajaran dan tidak akan terabit dengan aktiviti luar yang boleh merosakkan masa depannya.

“Saya sedar harapan ibu bapa dan kerajaan yang membuat banyak pelaburan bagi memastikan kami dapat belajar dengan selesa,” katanya ketika ditemui di majlis penyampaian Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak petang semalam.

Majlis berkenaan telah dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sekali gus menyampaikan bantuan serta menyalami kesemua 2,577 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi dan diploma bagi sesi 2012/2013.





Beri tumpuan kepada pelajaran-MB

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said terus memberi peringatan kepada semua pelajar tajaan kerajaan agar tidak menyertai sebarang aktiviti yang tidak berfaedah sepanjang berada di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara sebaliknya beri tumpuan kepada pelajaran.



“Sepanjang tempoh pengajian jangan ada yang cuba menyertai mana-mana program yang bercanggah dengan undang-undang,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu ke Institusi Pengajian Tinggi Peringkat Matrikulasi dan Diploma Sesi 2012/2013 di Stadium Tertutup Gong Badak, petang semalam.



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Encik Zakaria Yusof.

Katanya, biar pun sudah berulang kali memberi peringatan ini tetapi kerana sayangkan masa depan mereka (pelajar), tumpuan kepada pelajaran lebih penting dari perkara lain yang tidak berfaedah.

Beliau menambah, kerajaan akan bertegas serta menarik balik pinjaman jika terbukti mereka melanggar perjanjian dan perkara sedemikian telah berlaku terhadap sembilan pelajar tajaan YT yang menuntut di Mesir baru-baru ini.

“Saya ingin melihat anak-anak Terengganu terus cemerlang dalam pelajaran, hanya dengan ilmu pengetahuan saja kita dapat mengubah landskap negeri dan negara,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya menyampaikan bantuan persediaian kepada 2,577 pelajar yang berjaya menyambung pengajian diperingkat Matrikulasi dan Diploma ke Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung dan Sarawak membabitkan peruntukan RM1.5 juta.

Pelajar yang mengikuti pengajian peringkat matrikulasi menerima RM500 seorang dan diploma RM750 di mana seramai 1851 orang (matrikulasi) membabitkan perbelanjaan RM925,500 dan716 peringkat diploma (RM537,000) serta masing-masing lima orang peringkat matrikulasi dan diploma di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bintulu, Sarawak.






Penyu hampa dijinak sang Kijang

Oleh: Aida Abd Rahman

Beraksi dalam keadaan padang basah di tempat lawan, Terengganu yang berusaha bangkit untuk menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke masa tambahan terpaksa tunduk kepada Kelantan dengan keputusan 3-2 untuk mara ke suku akhir pusingan kedua Piala AFC, malam tadi.

Peluang skuad Penyu dinafikan Kelantan dengan perbezaan satu jaringan dalam pertembungan kalah mati selepas perlawanan tertangguh kira-kira 40 minit akibat hujan lebat, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Pada separuh masa pertama, Kelantan terlebih dahulu berpesta gol dengan jaringan 3-0 hasil jaringan bekas pemain T-Team berasal dari Wakaf Tapai, Marang, Norfarhan Muhammad pada minit ke-2 dan minit ke-18.

Sementara gol terakhir Kelantan hasil sentuhan Mohd Rizal Fahmi yang menceriakan penyokong tuan rumah Red Warriors pada minit kecederaan sebelum tamat separuh masa pertama.

Biarpun dibezakan dengan jurang tiga jaringan, anak buah Peter Butler tidak menyerah kalah untuk memberi tentangan sengit pada separuh masa kedua. Akhirnya gol pertama menjelma menerusi pemain tengah, Ismail Faruqi Ashaari pada minit ke-56.

Ketika perlawanan berbaki 10 minit, Terengganu menjelmakan gol kedua menerusi sepakan penalti penyerang import Liberia, Francis Forkey Doe.







Khidmat Masyarakat 1Malaysia Kuala Nerus di SMK Bukit Tunggal

Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus akan menganjurkan program Khidmat Masyarakat 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal Jumaat ini.

Program sehari yang bermula pukul 8 pagi itu, digerakkan dengan kerjasama Yayasan Felda dan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pejabat itu dalam satu kenyataan memberitahu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri akan merasmikan program tersebut yang bakal turut dilawati Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said pada sebelah petangnya.

Melalui program yang turut dimeriahkan dengan jamuan rakyat, orang ramai boleh menjalani pemeriksaan kesihatan percuma, pemeriksaan mata dan menderma darah di samping pertandingan mewarna untuk kanak-kanak. - FAUZI MOHD.


Tradisi kemeriahan Pekan Budaya Kemaman kembali menjadi tumpuan

Oleh FAUZI MOHD

Tradisi kemeriahan Pekan Budaya kembali menjadi tumpuan warga Daerah Kemaman dengan menyaksikan 44 penyertaan gerai pameran dan perkhidmatan bertempat di Padang Astaka, Chukai bermula malam ini.

Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman berkata, program selama seminggu itu antara lain mahu memperlihatkan perkembangan dan perubahan lanskap ekonomi serta sosial di daerah berkenaan.

Menurut beliau, selain menjadi medan pelbagai agensi kerajaan dan swasta mempromosi produk dan perkhidmatan, peluang mengetengahkan produk baru usahawan tempatan turut mendapat tempat.

"Program tahunan ini bukan sekadar pentas melabuhkan kekayaan seni dan budaya orang tempatan, malah ia memberi ruang kepada agensi dan jabatan kerajaan untuk bertemu dengan ramai orang dengan harapan ia mampu menyelesaikan masalah rakyat.

"Pengunjung turut berpeluang mengintai peluang kerjaya di pelbagai gerai pameran yang disediakan serta maklumat berkaitan institusi kemahiran dan pengajian tinggi," katanya pada majlis perasmian program itu yang disempurnakan Menteri Bessr, Dato' Seri Ahmad Said.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamad Awang Tera, ADUN Kemasik, YB. Ir. Rosli Othman.

Pada majlis itu, Dato' Seri Ahmad turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan gerai terbaik yang diungguli Majlis Perbandaran Kemaman, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Kedua), Jabatan Perhutanan (Ketiga), Jabatan Kerja Raya (Keempat) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (Kelima).

Selain menyaksikan persembahan kebudayaan daripada Suktra dan pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Menteri Besar turut dibawa melawat gerai pameran yang disertai isteri beliau, To' Puan Seri Norliza Mahmud.


< a onblur. ="try {parent.deselectBloggerImageGracefully();} catch(e) {}" href="http://teganukita.blogspot.com/">