Halaman

20 October 2012

Empat Sumber Utama Menjana Ekonomi Negeri

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Dato'Seri Haji Ahmad Said ketika memberi ucapan dasar
Pembengkelan Sub Manifesto BN Terengganu.
Terengganu di bawah Barisan Nasional (BN) mensasarkan empat sumber utama bagi menjana ekonomi negeri iaitu membabitkan minyak dan gas, bijih besi, bio teknologi dan pelancongan.

Kesemua ini akan menjadi sumber pendapatan yang terpenting bagi negeri Terengganu untuk kepentingan rakyat, kata Pengerusi BN Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said.

Menurutnya yang juga Menteri Besar Terengganu, hasil sumber minyak dan gas boleh menyumbangkan sekurang-kurangnya RM2 billion setahun.

Minyak dan gas Terengganu masih boleh bertahan lagi walaupun kandungan karbonnya semakin tinggi, memerlukan kos yang tinggi untuk pemprosesannya.


"Terbaru syarikat carigali telah menandatangani kontrak dengan Petronas untuk selama 25 tahun lagi menjalankan proses cari gali itu di luar pantai Terengganu," kata Dato' Seri Ahmad Said ketika menyampaikan ucap utama di Perbengkelan Sub Manifesto BN Terengganu untuk Piliharaya Umum (PRU) ke 13 di Ri-Yaz Heritage, Duyong Terengganu.

Manakala bijih besi masih banyak kandungannya di Bukit Besi di samping penemuan di suatu kawasan baru di negeri ini yang agak banyak kandungannya.

“Dianggarkan masih ada kira-kira 50 juta tan metrik kandungan besi di Bukit Besi,” katanya. Manakala dari segi pelancongan, Tasik Kenyir akan jadi tasik bekas cukai Ogos 2015, yang ketiga di dunia selepas tasik di Switzerland dan Itali.


Sumber keempat katanya ialah Taman Polimer kilang yang berasaskan bio teknologi dan kimia yang jumlah pelaburan sehingga RM7 billion dengan lebih 10 ribu peluang pekerjaan.

 

21,610 pelajar Kelas KAFA khatam Quran

Sebahagian 21,610 pelajar kelas al-Quran dan fardu Ain (KAFA) berjaya khatam al-Quran.
Oleh; Esah Abdullah

Seramai 21,610 pelajar Kelas al-Quran dan fardu Ain (KAFA) dari tahun satu hingga enam seluruh negeri berjaya khatam al-Quran tahun ini berbanding 20,133 pelajar tahun lalu.

Majlis khatam al-Quran telah diadakan serentak hari ini di lapan Parlimen iaitu Besut (3,186), Setiu (2,653), Kemaman (2,349), Dungun (2,555), Hulu Terenggau (1,933), Marang (2,551) dan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Batu Rakit (6,383).


Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang merasmikan majlis khatam bagi Parlimen Kuala Terengganu di stadium Tetutup Kompleks Sukan Gong Badak turut berlintas langsung bersama YB Haji Rozi Mamat yang merasmikan majlis di Hulu Terengganu dan Dato’ Haji Mohamad Awang Tera bagi Parlimen Kemaman.

Pada majlis itu adik Nur Hidayah Azmidi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Jaya Setiu menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Peperiksaan Kelas KAFA (UPKK) Peringkat Negeri yang membawa pulang wang Tunai RM500, medal dan sijil penghargaan.

Manakala adik Umairah Ramli dari SK Teluk Pasu mendapat tempat kedua dan adik Muhammad Nor Haikal Abdul Rahman dari SK Alor Peroi Besut tempat ketiga masing-masing menerima RM400 dan RM300, medal serta sijil penghargaan.


Turut menerima penghargaan adalah tujuh pelajar terbaik UPKK Peringkat Parlimen (RM200 setiap seorang) , tujuh buah sekolah terbaik UPKK (RM500) dan sekolah terbaik Khatam al-Quran (RM500) yang dimenangi SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu.

Hadiah-hadiah pemenang telah disampaikan oleh Menteri Besar disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri YB Haji Muhammad Ramli Nuh; Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail; wakil Ketua Pengarah jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Haji Ali Mohamad dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Haji Rozali Salleh.

 

SUK hadir makan malam sempena Sultan Mizan Cup 2012

Dato' Haji Mazlan Ngah bersama penaja dan peserta Sultan Mizan Cup 2012.
Oleh: Kamarudin Mat Akib

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, menghadiri majlis makan malam sempena Sultan Mizan Cup 2012 di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong, malam ini.

 Pada majlis itu juga para penaja kejohanan tersebut turut menyerahkan cek masing-masing bagi menjayakan kejohanan berkenaan yang akan bermula petang esok.


Hadir sama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ketua-ketua jabatan, peserta kejohanan dan wakil syariklat-syarikat yang menaja kejohanan berkenaan.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijadualkan menyempurnakan ‘flag off’ kejohanan itu pada jam 5 petang esok.

 

19 October 2012

600 nelayan Besut terima elaun sara hidup

Oleh: Mohmmad Ishak

Seramai 600 nelayan daerah Besut menerima bayaran elaun sara hidup yang disampai secara tunai kepada nelayan terbabit hari ini.

Majlis yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda Besut, Kampung Raja itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Kemajuan Ikan Malaysia (LKM),Datuk,Mohd Khaidir Hamzah.


Pengagihan wang sara hidup bernilai RM200 sebulan yang sebelum ini dimasukkan ke dalam akaun penerima kini diberikan secara tunai bagi memudahkan nelayan terbabit.

Mohd Khaidir berkata, nelayan pembayaran elaun sara hidup itu sepatutnya ditamatkan pada 2010 tetapi kerajaan membuat pertimbangan untuk meneruskan elaun berkenaan kerana prihatin terhadap golongan nelayan.

Menurutnya, Perdana Menteri,Dato’ Seri Najib Tun Razak yang prihatin dengan nasib nelayan bersetuju untuk meneruskan pemberian elaun itu kerana tidak mahu nelayan menghadapi masalah menyara hidup keluarga.

Beliau berkata, dalam pembentangan bajet 2013 Perdana Menteri juga mempuruntukan RM230 juta untuk membantu nelayan di seluruh negara.

Selain memberi subsidi disel dan elaun sara hiduk kerajaan melalui LKIM juga menyediakan kemudahan membaik pulih rumah nelayan.

Sehubungan itu,60,000 nelayan seluruh negara kini menikmati pelbagai kemudahan yang disalurkan oleh kerajaan untuk membantu golongan terbabit.

Tulisan jawi adalah alat wacana ilmu

Oleh; Esah Abdullah

Penggunaan tulisan merupakan tahap peningkatan tamadun manusia yang bergerak dari zaman ke zaman dan tulisan Arab telah sampai ke alam Melayu sejak kedatangan Islam serta memberi sumbangan besar terhadap perkembangan bahasa Melayu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda berkata, fungsi tulisan jawi adalah sebagai alat kepada wacana ilmu dalam khazanah penulisan Islam di Nusantara.

“Adalah tidak tepat seandainya tulisan jawi dipandang rendah dengan alasan teks, manuskrip dan kitab-kitab lama yang menjadi khazanah bangsa tidak menawarkan sebarang ilmu yang berunsur sains dan teknologi,”.

 “Tulisan jawi adalah warisan budaya ilmu yang tidak seharusnya dibiarkan lenyap terutama di kalangan generasi baru yang kebanyakannya tidak berpeluang untuk mempelajarinya,” katanya, di majlis perasmian
 Karnival Semarak Jawi Kebangsaan 2012 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Kuala Terengganu hari ini.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Pengarah Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan, Haji Wan Mohd Zaki Wan Abdullah.

Majlis perasmian dilakukan oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Awam Negara Dato’ Raslin Abu Bakar mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Dato’ Sri Kamaruddin Siaraf.

Turut hadir Pengarah Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Haji Mohamad Mat Yasin dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.

“Kita akui kepentingan sains dan teknologi dalam misi pembangunan negara tetapi aspek peradaban dan keilmuan yang berteraskan agama, budaya dan sejarah harus diberi keutamaan,” katanya.

Tambahnya amat malang sekali jika generasi akan datang terpaksa mewarisi satu sistem masyarakat yang maju tetapi dangkal terhadap nilai-nilai peradaban dan budaya bangsa sendiri.

 “Generasi sekarang akan dicap sebagai penderhaka bangsa kerana mengabaikan warisan tulisan jawi yang merugikan kita semua kerana khazanah penulisan pusaka peninggalan nenek moyang kita adalah dalam tulisan jawi,” katanya.

Katanya, masyarakat kini lebih cenderung mempelajari bahasa dan tulisan asing sedangkan tulisan jawi terabai dan seolah-olah dipinggirkan.

“Saya harap agar karnival yang diadakan ini mampu memulangklan impak yang positif kepada semua dalam usaha memertabatkan kembali tulisan jawi sebagaimana era kegemilangannya,” katanya.

 

Dato’ Wan Hisham cabar wakil rakyat Ladang berdebat

Oleh: Suriati Ali 

 Menyedari Pilihan Raya Umum (PRU) 13 semakin hampir, gerak kerja jentera pilihan raya mula diperkuatkan di seluruh peringkat termasuk bahagian UMNO.

 Agenda setiap bahagian ialah memastikan UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) terus kekal menjadi parti pilihan rakyat selain mengembalikan mandat bagi mendapat majoiriti dua pertiga.

 Tidak ketinggalan UMNO bahagian Kuala Terengganu yang meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, mahu rakyat tidak terikut-ikut dengan dakyah pembangkang yang jelas gilakan kuasa berbanding berbuat kebajikan kepada rakyat.

Umum mengetahui , sepanjang Dato’ Engku Hassan Engku Omar memegang jawatan sebagai wakil rakyat di DUN Ladang, tidak ada bakti yang ditaburkan dan pembangunan dilaksanakan.

Sehingga ke hari ini, jelas tiada satu pun bakti yang dapat dilihat melainkan hanya pandai berceramah dan menabur fitnah terhadap kebaikan yang dilaksanakan kerajaan memerintah.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (PPD) Ladang, Dato' Haji Wan Hisham Wan Salleh , berkata pembangkang tidak sudah-sudah memutarbelitkan isu sama ada projek pembinaan Pangsapuri Ladang Gemilang dengan pelbagai isu dan perkara yang sememangnya tidak benar.

 “Pelbagai sumber digunakan puak itu, termasuk melalui ceramah-ceramah, menyebarkan fitnah dalam laman sesawang dan Sistem Pesanan Ringkas semata-mata mahu menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan memerintah..

 “Apa yang menyedihkan, mereka yang menabur fitnah bukan di kalangan penghuni itu sendiri, sebaliknya puak pembangkang di kawasan DUN Batu Burok,” katanya.

Katanya, tidak guna puak pembangkang memutarbelitkan keistimewaan pangsapuri itu melalui mana-mana saluran tanpa usul periksa.

 “Saya mencabar mereka terutama pemimpin Pas yang menyatakan pembinaan Pangsapuri Ladang Gemilang mendatangkan pelbagai masalah kepada penghuni.

 “Apabila kita bersemuka, mereka boleh bagi tahu kepada saya, apa yang tidak puas hati tentang pembinaan itu, saya boleh jelaskan semuanya berdasarkan fakta,” katanya.

 Katanya, mereka perlu sedar kerajaan bina pangsapuri itu untuk keselesaan rakyat kerana sebelum ini kebanyakan penghuni terpaksa tingggal berhimpit di rumah daif yang dibina di atas tanah milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

 “Kita bina pangsapuri itu lengkap dengan dua kemudahan lif di mana terdapat satu lif besar dan kecil. Jika mereka menyatakan jenazah sukar diturunkan dan terpaksa dikendong, itu hanya kenyataan bohong dan penipuan yang sengaja diwujudkan,” katanya.

 Katanya, berkaitan harga sewa RM300 sebulan yang dikatakan mahal itu adalah tidak benar, ia jauh lebih murah kerana mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

 “Kalau harga sewa sebenar tentulah RM700 atau RM800 sebulan, mereka yang tidak bermampuan dan cukup syarat diberikan pula subsidi bayaran sewa rumah itu.

 “Apabila penghuni itu membayarnya secara teratur dan berdisplin selanjang tiga tahun, ia layak memohon untuk menukar syarat rumah kepada sewa beli,” katanya.

 Katanya, kerajaan terpaksa meletakkan peraturan seumpama itu bagi mengelak pemilik memberi sewa dan menjualnya kepada orang lain atau penduduk luar.

 

GM peladang kerjasama agensi pertanian hidupkan semula projek fertigasi

Oleh: Aida Abd Rahman

Syarikat GM Peladang Sdn Bhd merintis usaha menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa), Jabatan Pertanian Terengganu, Lembaga Pertubuhan Peladang Terengganu dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu bagi menghidupkan kembali projek fertigasi di negeri ini tidak lama lagi.

 Penasihat GM Peladang Ghazal Muda, berkata berdasarkan kajian syarikat itu, hampir 90 peratus daripada 180 pengusaha tanaman frigat di Terengganu gagal meneruskan projek itu disebabkan pelbagai masalah.

"Atas faktor itu kita menganjurkan bengkel bagi mengenalpasti punca masalah projek itu gagal dilaksanakan dengan jayanya selain langkah penyelesaian kepada masalah itu.

 "Selepas ini, kita harap dapat menghasilkan satu projek perintis dan mengenal pasti jenis tanaman berpotensi untuk dikomersialkan dari segi kos pengeluaran, pemasaran dan potensi pendapatan," katanya.

 Beliau berkata projek tanaman frigat dimulakan kerajaan negeri pada pertengahan 2007 dengan 180 peserta menerima modal awal RM57,600 seorang.

 

18 October 2012

Tolak Pakatan Rakyat jika mahu Melayu.Islam dan Raja kekal

Oleh: Mohammad Ishak 


Rakyat negeri ini diajak menolak calon Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum ke 13 (PRU13) jika mahu bangsa Melayu,Agama Islam dan Raja menjadi tonggak kepada pemerintahan negara ini.


Sebaliknya, jika rakyat menyokong pembangkang keadaan negara akan menjadi porak peranda kerana pembangkang akan menolak ketuanan Melayu dan Agama Islam sebagai teras kepada negara Islam seperti Malaysia.

Bekas Ahli Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berkata, PRU13 amat penting kepada orang Melayu beragama Islam bagi meneruskan pemerintahan di negara ini.

Katanya, perjuangan pemimpin Pakatan Rayak (PR) akan meminggirkan agama Islam dan Raja-Raja Melayu sebaliknya mereka akan membentuk sebuah negara republik jika mendapat kuasa.

“Kita tidak rela Malaysia akan kehilangan Raja dan agama Islam sebagai agama rasmi negara kerana sudah termaktub dalam perlembagaan,” katanya pada majlis penerangan isu-isu semasa di Kampung Alur Lintah,dekat Jertih.

Bekas pemimpin kanan Pas itu juga berharap, pengundi khususnya orang Melayu sedar dengan usaha pemimpin PR yang berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri dan jika peluang itu diberikan keadaan negara akan menghadapi masalah besar.

Beliau berkata,Pas satu ketika dahulu berjuang atas prinsip Islam sudah tersasar daripada perjuangan asal kerana takut kepada PKR dan DAP.

Perjungan Pas juga sudah terpesong jauh daripada matlamat asal sebaliknya berangan-angan untuk menawan Puterajaya sedangkan jika mereka menang jawatan Perdana Menteri diberikan kepada orang lain dan tidak diambil daripada pemimpin Pas.

Yakin pegawai tadbir mampu laksana tugas tanpa kira fahaman politik

Oleh: Suriati Ali 

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin pegawai tadbir di seluruh negara melaksanakan tugas masing-masing secara profesional tanpa terikat dengan fahaman politik di negeri masing-masing.
Wajah-wajah negarawan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika hadir pada Seminar Pemantapan Profesionalisme, Transformasi, Budaya Kerja & Pemikiran Pegawai Tadbir di Kuala Terengganu.
Katanya, sehubungan itu, mereka yang kini bertugas di negeri dikuasai pembangkang akan memberi sokongan tidak berbelah bagi sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya menawan kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Seminar Pemantapan Profesionalisme, Transformasi, Budaya Kerja & Pemikiran Pegawai Tadbir di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.


Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said dan pegawai-pegawai tadbir negeri.

 Lebih 800 pegawai tadbir dari empat negeri iaitu Terengganu, Johor, Kedah dan Kelantan pada program yang berlangsung selama empat hari dan berakhir 20 Oktober ini.


Tun Dr Mahathir berkata sikap segelintir penjawat awam dan pegawai tadbir yang memilih parti pembangkang selepas bersara, perkara itu kita tidak boleh halang kerana hak masing-masing.

 “Mungkin sewaktu bergelar penjawat awam, dia sudah memilih parti pembangkang, itu kita tidak pasti.

“Apa yang penting mereka perlu menjalankan tugas hakiki mengikut kehendak pertadbiran negeri dan pemerintah,” katanya.


 Menurutnya, satu hakikat yang semua orang kena terima ialah persepsi rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) sekarang ini semakin baik berbanding semasa Pilihan Raya Umum tahun 2008.


Dengan pelbagai inisiatif yang dirangka Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, golongan muda mula kini dapat menilai kesungguhan kerajaan untuk mencorakkan masa depan negara yang lebih meyakinkan.

 Perubahan persepsi ini berlaku berikutan inisiatif mentransformasikan negara menerusi Program Transformasi Politik, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, yang telah membuahkan hasil dan dapat dirasai sendiri oleh rakyat.

 

Melestari pembudayaan tulisan jawi

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Dato' Reslin Abu Bakar (dua dari kanan) melawat gerai pameran selepas merasmikan  Karnival Semarak Jawi Kebangsaan 2012 di Pusat Dagangan Terengganu.
Oleh; Esah Abdullah

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) telah melaksanakan 102 program dan aktiviti di samping lima penerbitan bertunjangkan tulisan jawi bagi menyemarak dan melestari pembudayaan tulisan jawi di negara ini.

 Ketua Setiusaha KPKK, Dato’ Sri Kamaruddin Siaraf berkata, pelaksanaan program ini bukan setakat memertabatkan penggunaan tulisan jawi sebagai tulisan warisan bangsa malah bertujuan memantapkan pelestarian tulisan ini dalam jati diri bangsa Melayu.


Katanya penerbitan yang dicetak dan diedarkan kepada masyarakat ialah buku tatih jawi, majalah semarak jawi, perisian k-jawi dan akhbar jawi Utusan Melayu di samping program lain seperti persidangan, bengkel klinik dan pameran tulisan serta aktiviti berskala kecil iaitu menulis esei, pantun jawi dan pertandingan mewarna jawi.

 “Program pembudayaan bukan saja tertumpu kepada karnival semata-mata sebaliknya turut melaksanakan pelbagai aktiviti yang bersesuaian untuk semua peringat umur dan bangsa,” katanya ketika merasmikan Karnival Semarak Jawi Kebangsaan 2012 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Kuala Terengganu hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dato’ Raslin Abu Bakar.

Turut hadir Pengarah Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan, Haji Wan Mohd Zaki Wan Abdullah; Pengarah Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Haji Mohamad Mat Yasin dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.


Katanya, negeri Terengganu merupakan negeri pertama tahun ini yang dipilih bagi zon Pantai Timur untuk menjayakan program ini dan julung kalinya dianjurkan oleh PNM dan PPAT dan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini membabitkan penyertaan 70 gerai jualan dan pameran.

 “Kita harap program ini dapat melahirkan masyarakat ‘melting pot’ yang berkongsi kebudayaan sama kerana tulisan jawi bukan sahaja milik jiwa Melayu malah terdapat bangsa lain seperti Cina, India dan bangsa asing yang begitu menjiwai tulisan ini,” katanya.

Selain itu katanya, program ini berperanan memupuk kecintaan serta melahirkan generasi yang berkaliber di dalam menguasai peranan membaca dan menulis jawi sepanjang hayat.

Beliau seterusnya mengharapkan penglibatan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pengajian awam dan swasta serta pengiat tulisan jawi melestarikan penggunaan tulisan ini dengan mengadakan aktiviti di premis masing-masing.

Pada majlis itu, empat orang pengiat jawi dan khat menerima sijil penghargaan masing-masing iaitu Haji Hamdan A.Rahman, 73 dari Batu Pahat Johor; Nik Muhammad Nik Abdul Kadir,30 dari Kelantan; Encik Gan Awang @ Abdullah Baliseh dan Haji Mohammed Yusof Abu Bakar.