Halaman

19 October 2012

Dato’ Wan Hisham cabar wakil rakyat Ladang berdebat

Oleh: Suriati Ali 

 Menyedari Pilihan Raya Umum (PRU) 13 semakin hampir, gerak kerja jentera pilihan raya mula diperkuatkan di seluruh peringkat termasuk bahagian UMNO.

 Agenda setiap bahagian ialah memastikan UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) terus kekal menjadi parti pilihan rakyat selain mengembalikan mandat bagi mendapat majoiriti dua pertiga.

 Tidak ketinggalan UMNO bahagian Kuala Terengganu yang meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, mahu rakyat tidak terikut-ikut dengan dakyah pembangkang yang jelas gilakan kuasa berbanding berbuat kebajikan kepada rakyat.

Umum mengetahui , sepanjang Dato’ Engku Hassan Engku Omar memegang jawatan sebagai wakil rakyat di DUN Ladang, tidak ada bakti yang ditaburkan dan pembangunan dilaksanakan.

Sehingga ke hari ini, jelas tiada satu pun bakti yang dapat dilihat melainkan hanya pandai berceramah dan menabur fitnah terhadap kebaikan yang dilaksanakan kerajaan memerintah.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (PPD) Ladang, Dato' Haji Wan Hisham Wan Salleh , berkata pembangkang tidak sudah-sudah memutarbelitkan isu sama ada projek pembinaan Pangsapuri Ladang Gemilang dengan pelbagai isu dan perkara yang sememangnya tidak benar.

 “Pelbagai sumber digunakan puak itu, termasuk melalui ceramah-ceramah, menyebarkan fitnah dalam laman sesawang dan Sistem Pesanan Ringkas semata-mata mahu menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan memerintah..

 “Apa yang menyedihkan, mereka yang menabur fitnah bukan di kalangan penghuni itu sendiri, sebaliknya puak pembangkang di kawasan DUN Batu Burok,” katanya.

Katanya, tidak guna puak pembangkang memutarbelitkan keistimewaan pangsapuri itu melalui mana-mana saluran tanpa usul periksa.

 “Saya mencabar mereka terutama pemimpin Pas yang menyatakan pembinaan Pangsapuri Ladang Gemilang mendatangkan pelbagai masalah kepada penghuni.

 “Apabila kita bersemuka, mereka boleh bagi tahu kepada saya, apa yang tidak puas hati tentang pembinaan itu, saya boleh jelaskan semuanya berdasarkan fakta,” katanya.

 Katanya, mereka perlu sedar kerajaan bina pangsapuri itu untuk keselesaan rakyat kerana sebelum ini kebanyakan penghuni terpaksa tingggal berhimpit di rumah daif yang dibina di atas tanah milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

 “Kita bina pangsapuri itu lengkap dengan dua kemudahan lif di mana terdapat satu lif besar dan kecil. Jika mereka menyatakan jenazah sukar diturunkan dan terpaksa dikendong, itu hanya kenyataan bohong dan penipuan yang sengaja diwujudkan,” katanya.

 Katanya, berkaitan harga sewa RM300 sebulan yang dikatakan mahal itu adalah tidak benar, ia jauh lebih murah kerana mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

 “Kalau harga sewa sebenar tentulah RM700 atau RM800 sebulan, mereka yang tidak bermampuan dan cukup syarat diberikan pula subsidi bayaran sewa rumah itu.

 “Apabila penghuni itu membayarnya secara teratur dan berdisplin selanjang tiga tahun, ia layak memohon untuk menukar syarat rumah kepada sewa beli,” katanya.

 Katanya, kerajaan terpaksa meletakkan peraturan seumpama itu bagi mengelak pemilik memberi sewa dan menjualnya kepada orang lain atau penduduk luar.