Halaman

17 October 2012

Pas tidak tepati ajaran Islam

Sudah jadi kebiasaan bagi penyokong dan pemimpin PAS setiap kali berbalah pendapat sesama Islam, mereka akan mengambil pendirian mendahulukan kepentingan politik kepartian, walaupun ia tidak menepati anjuran Islam yang mahu umatnya berlapang dada dalam menerima perbezaan pandangan.

Sikap bongkak dan perilaku taksub pada parti yang ditonjolkan penyokong dan pemimpin PAS dalam banyak hal membabitkan kepentingan ummah seakan sudah satu lumrah berkemungkinan berkait rapat dengan asal usul penubuhan PAS itu sendiri yang lahir dari perasaan dendam dan irihati.

Penyokong PAS mahupun pemimpin mereka sentiasa mencari alasan untuk memperlihatkan pendirian mereka dalam sesuatu isu adalah betul dan tidak pernah silap manakala apa sahaja yang diusahakan UMNO dipropagandakan sebagai salah dan tidak pernah betul di mata mereka.

Bila saja UMNO tampil dengan pelbagai program pembangunan Islam seperti penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa, Tabung Haji, membina masjid dan surau, tidak bertangguh lagi PAS segera menggerakkan jenteranya bertujuan memperlekehkan segala usaha tersebut kononnya tiada nilai di sisi Allah s.w.t.

Di awal penubuhan Tabung Haji, Bank Islam dan UIA, tidak sedikit kata nista dan tuduhan jahat dilemparkan kononnya itu semua sekadar wayang Kerajaan Pusat pimpinan BN untuk menarik sokongan umat Islam yang di dakwa semakin telah beralih arah kepada PAS.

Tidak cukup dengan itu, ada pula yang lancang mulutnya menghukum sesiapa sahaja yang mengerjakan haji dengan menggunakan khidmat Tabung Haji maka ibadah hajinya tidak sah dan perlu dilaksanakan sekali lagi.

Sedangkan sejak Tabung Haji beroperasi secara rasmi pada 1963, badan itu yang paling banyak berjasa membantu umat Islam merencanakan wang tabungan mereka, membantu menguruskan perjalanan dan penginapan sehinggalah selesai terlaksana ibadah haji di Kota Suci Mekah.

Jika benar penubuhan Tabung Haji itu hanyalah wayang atau haram berurusan dengannya, apa perlu penyokong PAS menumpang rezeki di sana?

Atau sebenarnya segala tuduhan sebelum ini hanyalah omong kosong politik kepartian dek kerana benci dan iri hati dengan kebijaksanaan pemimpin UMNO dalam menguruskan hal ehwal kemaslahatan umat.

Demikian juga bila Bank Islam dan UIA ditubuhkan, bukan sedikit propaganda dimainkan pemimpin PAS yang menghasut umat Islam supaya meyakini kedua-duanya itu hanyalah 'senjata politik baru' UMNO untuk melemahkan pengaruh PAS.

Inilah tabiat buruk pemimpin PAS sejak sekian lama, malu untuk mengakui jasa bakti UMNO dalam membangunkan umat Islam dan meningkatkan imej agama.

Begitu juga bila UIA mula beroperasi, ramai pemimpin PAS mendakwa penubuhannya semata-mata untuk meningkatkan imej Islamik UMNO.

Beberapa tahun berlalu selepas itu, UIA banyak menghasilkan produk anak muda yang pro PAS malah ada kalangan pemimpin PAS sekarang pun datangnya dari universiti itu.

Semua yang saya ceritakan ini membuktikan PAS bukanlah sebuah parti Islam sebagaimana kerap dipropagandakan oleh pemimpin mereka.

PAS hanyalah sebuah parti politik yang memperalatkan Islam demi manfaat peribadi, puak dan parti.

Sikap taksub kepada parti menyebabkan pengikut dan penyokong PAS dibutakan mata hati hingga mereka gagal melihat kenyataan yang sejak lebih 60 tahun usia PAS, hanya air liur dan kecelaruan fikiran sahaja yang dapat disumbangkan olehnya kepada umat dan negara.

 

No comments: