Halaman

16 October 2012

BN boleh menang Wakaf Mempelam jika tarik pengundi muda

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Barisan Nasional (BN) boleh menang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) jika berjaya menarik pengundi muda mengundi calon BN.

Pegawai Pembangunan DUN Wakaf Mempelam Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah (gambar), berkata kini terdapat 24,949 pengundi di kawasan itu dengan 55 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan belia.

“Jika kita (jentera BN) dapat menarik sebahagian besar daripada pengundi muda ini, kita boleh menang di DUN Wakaf Mempelam,” katanya ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong turut hadir bersama-sama kira-kira 180 orang terdiri daripada jentera pilihan raya dan perayu undi DUN Wakaf Mempelam, pada majlis berkenaan.

Haji Wan Mahyuddin berkata, DUN Wakaf Mempelam sudah terlalu lama dimenangi oleh parti pembangkang iaitu kira-kira 34 tahun.

“Kali terakhir kita menang di kawasan ini ialah pada Pilihan Raya Umum 1978,” ujar beliau. Beliau berharap BN dapat memenangi pilihan raya kali ini bagi membolehkan lebih banyak program pembangunan dilaksanakan di kawasan tersebut.

“Menteri Besar (Dato’ Seri Haji Ahmad Said) telah berjanji jika kali ini BN dapat menanwan DUN Wakaf Mempelam, kerajaan negeri akan membina 1,000 unit rumah kos rendah untuk penduduk kawasan ini.

“Saya mahu pengundi di kawasan ini merebut tawaran yang dibuat oleh Menteri Besar dengan mengundi calon BN,” katanya. Menurut beliau, selain projek rumah kos rendah banyak lagi projek lain bakal dilaksanakan kerajaan di kawasan itu jika BN menang pada pilihan raya akan datang.