Halaman

16 October 2012

Sektor huluan petroleum sumbang RM87 bilion KDNK

Oleh: Aida Abd Rahman

Dato' Haji Mazlan Ngah
Aktiviti huluan petroleum dan gas mewakili RM87 bilion atau 13 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sementara aktiviti hiliran termasuk industri petrokimia pula menyumbang RM24 bilion atau 1.8 peratus daripada KDNK.

Selain aktiviti huluan dan hiliran, industri minyak dan gas turut melibatkan aktiviti pertengahan dan hiliran.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata aktiviti huluan meliputi cari gali, pembangunan dan pengeluaran sumber minyak dan gas.

Katanya, aktiviti pertengahan dan hiliran pula terdiri daripada pengangkutan minyak dan gas, ke penapisan dan pemprosesan sehingga ke pemasaran dan perdagangan produk akhir.

“Syarikat Minyak Nasional (Petronas) memainkan peranan utama dalam mengalakkan pertumbuhan industri melalui pembangunan sumber minyak dan gas selain mewujudkan peluang bagi syarikat tempatan untuk membina kapasiti dan kemampuan mereka di sepanjang rantaian nilai itu.

 “Bagi segmen pertengahan, ianya terdiri daripada talian paip, pengangkutan dan aset logistik lain yang kebanyakannya dikawal oleh Petronas dan syarikat minyak yang beroperasi di Malaysia di mana ia menyumbang purata RM3.2 bilion setahun,” katanya.

 Katanya, di segmen hiliran pula, dua zon utama petrokimia bersepadu ditubuhkan di Kerteh, Terengganu dan Gebeng, Pahang yang mana zon itu menarik pelaburan asing terutamanya dari Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun, seperti Dow Chemical, BASF and Idemitsu yang melengkapi pelaburan daripada Petronas.

Pelaburan ini termasuk pengeluaran bahan petrokimia seperti polipropilena, asetil dan lain-lain bahan.

Beliau berkata, terdapat juga kilang penapisan yang dikendalikan oleh Petronas iaitu di Kerteh, Terengganu dan di Sungai Udang, Melaka, serta oleh Shell dan ExxonMobil, kedua-duanya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurutnya, industri perkhidmatan dan peralatan telaga minyak di Malaysia, yang menyokong terutamanya kegiatan huluan pula menyumbang RM1 hingga 2 bilion kepada KDNK ketika ini.

Katanya, perkhidmatan dalam sektor ini seperti gerudi darat, gerudi luar pesisir, geofizik, kejuruteraan dan pembinaan, pemasangan dan pembuatan peralatan, fabrikasi dan pemasangan struktur luar pesisir serta pengendalian dan penyelenggaraan.

 

No comments: