Halaman

18 October 2012

Stadium Sultan Mizan sedang dibaiki

Stadium Sultan Mizan sedang dibaiki Kerja membaiki Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, yang runtuh pada 2 Jun 2009 sudah dimulakan sejak 8 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato’ Za'abar Mohd Adib, berkata fasa pertama pembaikan itu melibatkan kos sekitar RM13 juta.

"Kerja-kerja fasa pertama itu akan mengambil masa selama tujuh bulan, bagaimanapun ia tidak termasuk pembaikian fasa kedua iaitu melibatkan bumbung utama stadium itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco, di Kuala Terengganu, semalam.

Kerja membabitkan pembaikan struktur termasuk tempat duduk penonton serta sistem pendawaian elektrik dan pembekalan air.

Katanya, kerja pembaikan fasa pertama turut melibatkan padang bagi memastikan stadium itu dapat diguna untuk tujuan latihan bola sepak dan sebagainya sementara menunggu kerja membaiki siap sepenuhnya.

Beliau berkata buat masa ini kerajaan negeri belum dapat menentukan kos keseluruhan pembaikan stadium itu.

Ini kerana katanya kos akan bergantung kepada struktur dan bentuk bumbung yang baru. SSMZA yang dibina dengan kos kira-kira RM292 juta, runtuh pada pagi 2 Jun 2009 setahun selepas siap dibina. Stadium itu sempat diguna sebagai antara pusat gelanggang Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu pada 2008.