Halaman

16 October 2012

Terengganu tuan rumah Mesyuarat Agung Tahunan MKJR ke-53

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu bakal menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan raya (MKJR) ke-53 yang dijadualkan berlangsung di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu pada 2 hingga 4 November ini.

Menurut jurucakap, perasmian mesyuarat itu akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato' Yahya Khatib Mohamad di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada 3 November, jam 9 malam.

 “Mesyuarat berkenaan bagi membincangkan isu-isu keselamatan jalan raya di Malaysia melalui seminar dan juga pembentangan kertas kerja.

“Melalui resolusi yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan ini, segala keputusan dan cadangan akan dibawa ke Kabinet Malaysia untuk dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan,” katanya.

Katanya, pada penghujung mesyuarat, ahli MKJR Malaysia akan memilih tuan rumah bagi mesyuarat agung seterusnya. Pada mesyuarat agung tahun lalu yang berlangsung di Perak pada 2 hingga 3 Disember memilih Terengganu sebagai tuan rumah kali ini.

MKJR diwujudkan bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan menjalankan kajian keselamatan jalan raya.

Peranan lainnya termasuk menyelaras tindakan seperti meningkatkan tahap kesedaran keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya, menyebarkan informasi berkaitan keselamatan jalan raya, memastikan kejuruteraan jalan selari dengan aspek keselamatan jalan raya, memberi nasihat kepada kementerian pengangkutan dalam hal berkaitan keselamatan jalan raya serta menyelaras tindakan keselamatan jalan raya oleh mana-mana jabatan , pertubuhan, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan.