Halaman

17 October 2012

Kerajaan sedia segala kemudahan rakyat-MB

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengajak semua rakyat sentiasa bermuhasabah diri, insaf dan bekerja keras menentang usaha sesetengah pihak yang suka mempermainkan hukum Allah dengan mengeluarkan fatwa mengikut naluri sendiri.

 “Bulatkan tekad dan ikhlas dalam perjuangan menegakkan kebenaran serta redha dengan qada’ dan qadar-Nya,” katanya ketika berucap di majlis Perjumpaan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu bersama Menteri Besar di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, contoh terdekat apabila tidak membenarkan wanita menyertai pertandingan tilawah al-Quran untuk memelihara aurat seorang wanita Islam tetapi membenarkan wanita bersuara lantang di pentas ceramah.

“Saya harap kita sama-sama berperanan memberi penjelasan dan membuka minda masyarakat agar bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah berhenti merancang dan menghulur bantuan,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada sebab lagi rakyat marahkan Kerajaan BN kerana telah berikan segala keperluan yang rakyat perlukan sama ada rumah, tanah, bantuan bulanan, bantuan pelajaran, e-book, dana raya, dana remaja dan banyak lagi.

“Setiap perjumpaan bersama rakyat saya sering bertanya apa lagi yang mereka mahu dan hari ini saya nak tanya sekali lagi apa lagi yang kerajaan boleh bantu,” ujarnya dihadapan kira-kira 1,000 anggota APMT seluruh negeri.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha memberi yang terbaik kepada rakyat dan mempunyai empat sumber utama untuk membiayai pembangunan rakyat pada masa hadapan.

“Sumber utama adalah minyak dan gas diikuti kilang besi waja yang akan bertambah satu lagi bulan depan menjadi tiga kilang dan dua sumber baru iaitu industri berasaskan biojisim dan sektor pelancongan di Tasik Kenyir yang membuka peluang ribuan pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya.

Malah katanya, dalam tempoh empat tahun kerajaan berjaya mengagihkan 19,000 lot tapak perumahan dan kawasan pertanian kepada rakyat yang memerlukan.

 “Kita negeri pertama perkenalkan dana raya dan dana remaja dan kini diikuti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang juga diagihkan kepada remaja berusia 21 tahun ke atas oleh Kerajaan Pusat,” katanya.

Katanya, kerajaan BN adalah yang terbaik sentiasa menjaga kebajikan rakyat bermula dari buaian hingga ke liang lahat.

“Marilah sama-sama kita bergerak sederap, berjalan seiring dan jangan sekali-kali mempertikai calon yang ditentukan oleh pucuk kepimpinan tertinggi parti pada pilihan raya akan datang sebaliknya berilah sokongan agar BN terus berkuasa di negara ini,” katanya.