Halaman

16 October 2012

Agensi pelancongan perlu ada khidmat pemandu pelancong

Oleh; Esah Abdullah

Agensi pelancongan yang tidak menyediakan khidmat pemandu pelancong semasa membawa pengunjung secara berkumpulan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000.

Pengarah Pejabat Kemententerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria berkata, mereka yang terlibat dalam industri pelancongan perlu mengambil berat dengan perkara ini.

 “Menjadi satu kesalahan seandainya agensi pelancongan yang membawa pelancong secara berkumpulan tidak menyediakan pemandu pelancong samada ada pelancong domestik mahupun luar.

“Mereka boleh dikenakan denda RM1,000 di bawah Akta Industri Pelancongan. Antara sebab, agensi terlibat tidak menyediakan perkhidmatan tersebut, mungkin adalah untuk menjimatkan kos,” katanya. kepada media di majlis suaikenal ‘Payang Walk’ kepada penggiat industri pelancongan negeri Terengganu di Rebana Hall, Primula Beach Hotel (PBH).

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), Encik Wan Mohd Sofian Wan Ishak.

Menurutnya, ada kelebihan apabila sediakan khidmat pemandu pelancong kerana banyak maklumat dan info tentang negeri Terengganu dapat disampaikan sepanjang perjalanan ke destinasi menarik di negeri ini.

Beliau berharap agensi pelancongan tidak memandang remeh perkara itu, walaupun tidak boleh memaksa pelancong yang datang secara bersendirian untuk menggunakan khidmat pemandu pelancong semasa datang ke sini.

Katanya, perkara itu juga perlu difikirkan untuk jangka masa panjang, jika perkhidmatan yang disediakan baik, sudah tentu pelancong tidak serik untuk mengunakan lagi agensi terlibat.

Menurutnya, sehingga ini terdapat 88 orang pemandu pelancong yang telah mengikuti paling kurang tiga siri kursus dalam tempoh setahun dan 130 agensi pelancongan berdaftar di negeri ini.