Halaman

14 October 2012

PP1M bantu pesakit angin ahmar

Oleh: Noraini Jusoh

Nasib pengidap angin ahmar di Terengganu lebih terbela apabila sebuah Pusat Pemulihan 1Malaysia (PP1M) akan diwujudkan di Pejabat Umno Telaga Daeng, Seberang Takir yang bakal beroperasi tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato' Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata pusat pemulihan ini merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk membantu memulihkan pesakit angin ahmar dan mengurangkan kos perubatan yang ditanggung mereka.

“Dengan adanya PP1M ini nanti, penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Takir khususnya dapat menerima rawatan yang sepatutnya dan tidak perlu bersusah ke hospital.

“Saya dapati ramai penduduk di sini menghadapi penyakit angin ahmar, oleh itu diharap penubuhan PP1M dapat dimanfaatkan agar kesihatan diri dan keluarga lebih terjamin,” katanya kepada Teganukita ketika merasmikan Program Touch Point, Majlis Interaksi dan Pelancaran Unjam anjuran Jabatan Perikanan Negeri dengan kerjasama Komuniti Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPEP) Tok Jembal, baru-baru ini.

Untuk rekod, angin ahmar atau strok merupakan antara penyakit yang paling ditakuti oleh golongan dewasa masa kini yang terjadi apabila salur darah tersumbat dan bekalan darah ke sebahagian otak diganggu.

 Apabila bahagian otak tersebut tidak lagi menerima oksigen yang mencukupi, sel-sel otak akan rosak atau mati dan mengakibatkan bahagian badan yang dikuasai oleh bahagian otak itu tidak berfungsi.