Halaman

14 October 2012

Tekun beri pinjaman kepada 3,326 pemohon

Oleh:Noraini Jusoh

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Terengganu memberi pinjaman berjumlah RM28.03 juta kepada 3,226 peminjam yang layak dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengurus TEKUN negeri, Encik Mohd Ghazali Husain, berkata jumlah pemohonan untuk memohon pinjaman perniagaan dengan pihaknya sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

“Bagi sembilan bulan pertama sahaja lebih RM28 juta pinjaman telah dikeluarkan berbanding hanya RM27 juga bagi tempoh setahun lepas.

“Pihak kami sentiasa memproses permohonan bantuan pinjaman perniagaan yang dikemukakan oleh orang ramai dari semasa ke semasa khususnya peniaga kecil dan penjaja,” katanya ketika dihubungi Teganukita hari ini.

Tujuan utama TEKUN memperkenalkan bantuan pinjaman perniagaan atau Sistem Pembiayaan Perniagaan (SPP) adalah untuk membantu mereka memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan sedia ada.

Menurut Mohd Ghazali, TEKUN mengamalkan konsep pembiayaan yang memudahkan orang ramai untuk membuat pembayaran balik.

“Pemohon yang membuat pinjaman antara RM500 sehingga RM50,000 diberi tempoh antara sebulan dan lima tahun untuk membuat bayaran balik dan caj perkhidmatan hanya empat peratus,” ujarnya.

Antara syarat asas yang perlu dipenuhi untuk memohon SPP adalah mesti warganegara, Bumiputera berumur antara 16 hingga 65 tahun dan 18 hingga 55 tahun bagi masyarakat India (Program Khas Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India-SPUMI).

Selain itu, pemohon juga mesti mempunyai lesen, permit atau daftar perniagaan yang sah (pinjaman bawah RM5,000 tidak perlu pendaftaran perniagaan), mempunyai tempat atau lokasi perniagaan yang khusus atau berniaga secara bergerak (mobile) serta pinjaman perniagaan sedia ada tidak melebihi RM50,000.

 “Antara bidang perniagaan yang boleh diceburi oleh pemohon SPP yang berminat dalam bidang keusahawanan adalah seperti peruncitan, perkhidmatan, pertanian dan akuakultur, pembuatan serta pembinaan kecil,” tambahnya.