Halaman

19 October 2012

Tulisan jawi adalah alat wacana ilmu

Oleh; Esah Abdullah

Penggunaan tulisan merupakan tahap peningkatan tamadun manusia yang bergerak dari zaman ke zaman dan tulisan Arab telah sampai ke alam Melayu sejak kedatangan Islam serta memberi sumbangan besar terhadap perkembangan bahasa Melayu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda berkata, fungsi tulisan jawi adalah sebagai alat kepada wacana ilmu dalam khazanah penulisan Islam di Nusantara.

“Adalah tidak tepat seandainya tulisan jawi dipandang rendah dengan alasan teks, manuskrip dan kitab-kitab lama yang menjadi khazanah bangsa tidak menawarkan sebarang ilmu yang berunsur sains dan teknologi,”.

 “Tulisan jawi adalah warisan budaya ilmu yang tidak seharusnya dibiarkan lenyap terutama di kalangan generasi baru yang kebanyakannya tidak berpeluang untuk mempelajarinya,” katanya, di majlis perasmian
 Karnival Semarak Jawi Kebangsaan 2012 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Kuala Terengganu hari ini.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Pengarah Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan, Haji Wan Mohd Zaki Wan Abdullah.

Majlis perasmian dilakukan oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Awam Negara Dato’ Raslin Abu Bakar mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Dato’ Sri Kamaruddin Siaraf.

Turut hadir Pengarah Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Haji Mohamad Mat Yasin dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.

“Kita akui kepentingan sains dan teknologi dalam misi pembangunan negara tetapi aspek peradaban dan keilmuan yang berteraskan agama, budaya dan sejarah harus diberi keutamaan,” katanya.

Tambahnya amat malang sekali jika generasi akan datang terpaksa mewarisi satu sistem masyarakat yang maju tetapi dangkal terhadap nilai-nilai peradaban dan budaya bangsa sendiri.

 “Generasi sekarang akan dicap sebagai penderhaka bangsa kerana mengabaikan warisan tulisan jawi yang merugikan kita semua kerana khazanah penulisan pusaka peninggalan nenek moyang kita adalah dalam tulisan jawi,” katanya.

Katanya, masyarakat kini lebih cenderung mempelajari bahasa dan tulisan asing sedangkan tulisan jawi terabai dan seolah-olah dipinggirkan.

“Saya harap agar karnival yang diadakan ini mampu memulangklan impak yang positif kepada semua dalam usaha memertabatkan kembali tulisan jawi sebagaimana era kegemilangannya,” katanya.