Pesta Perayaan Loykrathong kali-13 akan berlangsung di perkarangan pinggir Sungai Ibai, Chendering Kuala Terengganu pada Jumaat ini (19 dan 20 Oktober).
Pengerusi Tetap Persatuan Loykrathong negeri Terengganu, Encik Chan A/L Tom berkata, pelbagai acara menarik disediakan bagi memeriahkan pesta tersebut.
Menurutnya, antara aktiviti menarik sepanjang pesta tersebut ialah pertandingan ratu Loykrathong, kereta berhias, persembahan tarian, nyanyian dan gerai-gerai jualan.
“Saya ingin mengajak semua lapisan masyarakat daripada pelbagai kaum yang ada di negara ini untuk turut serta memeriahkan Pesta Perayaan Loykrathong kali-13 yang diadakan di sini.
“Jika dahulu perlu ke negara Thailand untuk melihat pesta kebudayaan ini, tetapi sekarang tidak lagi perlu ke sana. Pada tahun lepas, lebih 15,000 pengunjung telah datang untuk menyaksikan pesta ini,” katanya.
“Kita menjangkakan, tahun ini lebih ramai pengunjung akan hadir,” katanya pada sidang media sempena Pesta Perayaan Loykrathong di Green Acres Golf and Country Resort, Kuala Ibai.
Menurutnya, beberapa negeri turut mengadakan pesta ini tetapi pengajuran di Terengganu lebih besar dan meriah.