Halaman

15 October 2012

Pemuda Kuala Terengganu siap siaga

Oleh:Noraini Jusoh 

Walaupun teka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) masih belum terjawab, namun persiapan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu bagi menghadapinya dilihat semakin rancak.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisham Zaki berkata, pihaknya telah merancang dan mengatur strategi yang rapi dalam memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

“Bagi Parlimen Kuala Terengganu, pihak kami telah mengemaskini daftar pemilih di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di DUN Wakaf Mempelam, DUN Bandar, DUN Batu Buruk dan DUN Ladang.

“Dalam proses mengenal pasti pengundi yang menyokong BN di setiap DUN terutamanya yang baru pertama kali mendaftar sebagai pemilih, kebiasaannya telefon digunakan sebagai medium penghubung,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita.

Ketika ditanya mengenai cara yang efektif untuk mendekati golongan muda khususnya, beliau berpendapat pelbagai saluran yang boleh diwujudkan dan dimanfaatkan sebaiknya.

“Antara pendekatan yang digunakan oleh jentera Pemuda Bahagian di sini ialah dengan memperkenalkan Unit Utusan Pemuda (UUP) yang bertanggungjawab untuk mengedarkan risalah-risalah terutamanya kepada pengundi muda.

 “Selain itu, kita juga mempunyai kesatria pemuda dan pemuda bermotor yang bertujuan untuk membantu jentera BN terutamanya dalam soal gerak kerja dan program-program yang dianjurkan,’’ katanya.

Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu juga turut mempunyai kumpulan sukarelawannya yang tersendiri.

Menurut Badrul Hisham, ‘BN Youth Volunteer’ ditubuhkan untuk menarik minat golongan remaja berumur antara 18 hingga 21 tahun yang belum layak mendaftar sebagai pemilih untuk membantu jentera BN dalam menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.