Halaman

18 October 2012

Velodrom Terengganu mungkin ikut reka bentuk Melbourne

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu bercadang melihat model velodrom di Melbourne, Australia sebelum memutuskan reka bentuk sebenar bagi pembinaan velodrom lumba basikal bernilai RM3 juta di Kampung Balai Besar, Dungun tidak lama lagi.

Veledrom lumba basikal yang akan dibina di Kampung Balai Besar, Dungun, mungkin mengikut model velodrom  di Melbourne, Australia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato’ Za'abar Mohd Adib, berkata kemungkinan pihaknya akan melakukan lawatan ke Melbourne untuk melihat secara dekat reka bentuk velodrom di negara itu sebelum membuat ketetapan dan perkara susulan berhubung perkara itu.

"Kita diberi peruntukan RM3 juta bagi membangunkan projek itu, bagaimanapun peruntukan itu agak rendah dan peruntukan tambahan diperlukan. Bagaimanapun, mungkin kita bina velodrom asas sebelum kemudahan lain ditambah secara berperingkat.

 “ Buat masa ini, kerajaan negeri sedang dalam proses perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai reka bentuk velodrom yang akan dibina,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco negeri, di Wisma Darul Iman, semalam (17 Oktober).

 Dato’ Za’abar berkata, velodrom itu dibina untuk sesi latihan bagi pelumba negeri dan mencungkil bakat baru.