Halaman

17 October 2012

BN perlu kekal memerintah-Dato' Yahya

Oleh; Esah Abdullah

Dato' Yahya Khatib
Pemimpin boleh bertukar ganti, namun parti Barisan Nasional (BN) perlu kekal sebagai pemerintah di negara ini bagi meneruskan kesinambungan tradisi membela kebajikan rakyat.

 Ketua UMNO Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad menegaskan bahawa jentera BN berjalan lancar serta siap siaga untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pada bila-bila masa sahaja.

“Apabila jentera berada dalam keadaan baik dan teratur ia menggambarkan pemimpinnya seorang yang bagus dan berwibawa,” katanya kepada Teganukita.

Beliau berkata, kepimpinan negeri berjaya memikul amanat presiden parti menjaga kebajikan rakyat dan menggerakkan pembangunan negeri dengan jayanya.

Kerajaan BN sentiasa telus dan fokus membantu golongan masyarakat yang memerlukan tanpa mengira fahaman politik dan warna kulit.

“Pendekatan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang di bawa Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyerlahkan lagi ketrampilan sikap seorang pemimpin yang komited untuk mendekati golongan rakyat pelbagai peringkat.

“Menteri Besar dan saf kepimpinan negeri sentiasa turun padang, amat mudah didekati rakyat dan banyak masalah penduduk tempatan dapat diselesaikan dengan cepat.

 “Rakyat menilai keadaan ini dan mereka tidak akan sewenang-wenangnya mengalih sokongan kepada pembangkang yang hanya pandai menabur janji,” katanya.

Dato’ Yahya Khatib berkata, kini rasa tidak puas hati berkait dengan bantuan dan tidak cakna pemimpin sudah jarang kedengaran kecuali isu yang dipolitikkan oleh pembangkang.

Katanya, ini memberi gambaran baik bahawa BN kini berada di hati rakyat Terengganu dan mereka akan menyokong calon-calon BN pada pilihan raya akan datang.