Halaman

18 October 2012

Terengganu tawar produk baru pelancongan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Terengganu menawarkan produk baru untuk bidang pelancongan bagi memberi peluang orang ramai menikmati pengalaman menyeronokkan sambil menjamu selesa dengan pelbagai hidang yang lazat.

Orang ramai boleh menikmati hidangan lazat yang disediakan di atas bot pelancong.
Produk tersebut memberi peluang kepada pelancong untuk menyusuri Sungai Terengganu bersama keluarga atau sahabat handai sambil menikmati keenakan makanan tradisional dan barat di atas bot, dengan harga berpatutan.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Wan Supian Dato’ Wan Ishak, berkata pihaknya menyediakan dua bot yang menyediakan perkhidmatan tersebut di mana pelancong dan orang yang berminat boleh menghubungi pihaknya untuk tempahan.


Melalui pakej terbaru itu pelancong boleh melihat keindahan panorama sepanjang ‘pengembaraan’ mereka, termasuk bangunan sekitar Bandaraya Warisan Pesisir Air, Kampung Cina, Payang Walk dan Taman Tamadun Islam, sama ada waktu siang atau malam.

 “Pada masa ini pihak kami mengadakan promosi dengan kadar harga RM60 seorang bagi program menyusuri Sungai Terengganu beserta hidangan makan malam atau RM15 seorang, tanpa makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membawa rombongan media massa tempatan, pengusaha hotal dan agen pelancongan menikmati sendiri perkhidmatan tersebut, malam tadi.


Wan Supian berkata, pihaknya berharap dengan adanya produk baru itu lebih ramai pelancong datang ke negeri ini untuk bercuti bersama keluarga dan sahabat handai mereka.

“Pakej ini disediakan untuk merangsang kedatangan pelancong ke Terengganu, khususnya bagi menjayakan Tahun Melawat Terengganu 2013,” ujar beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang memberi sokongan kepada pihaknya bagi menjayakan program tersebut, termasuk menyediakan bot bagi perkhidmatan itu.