Halaman

18 October 2012

Pegawai disaran amal TPP

Oleh: Suriati Ali 
Dato' Haji Mazlan Ngah ketika hadir merasmikan Program Peningkatan Kerjaya & Sukan Pegawai-pegawai Tadbir negeri di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Setiap Pegawai Tadbir Negeri disaran mengamalkan konsep Taqwa, Profesionalisme dan Patriotisme (TPP) sebagai langkah mengatasi masalah tidak puas hati dengan kerjaya masing-masing.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata berdasarkan kajian, seramai 65 peratus Pegawai Tadbir di seluruh Malaysia mengalami masalah itu berpunca daripada pelbagai faktor.

Katanya, golongan itu juga dinasihatkan supaya mengamalkan konsep TPP bagi memastikan masalah mental sebanyak 0.5 peratus dapat dikurangkan selain dapat menjalankan kerja dengan lebih amanah dan cemerlang.


“Konsep itu cukup penting kerana tekanan kerja pada masa kini lebih berat dan memerlukan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tugas,” katanya ketika berucap pada Program Peningkatan Kerjaya & Sukan Pegawai-pegawai Tadbir negeri, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Lebih 800 pegawai tadbir dari empat negeri iaitu Terengganu, Johor, Kedah dan Kelantan pada program yang berlangsung selama empat hari dan berakhir 20 Oktober ini.


Pelbagai pengisian menarik dimuatkan antaranya Seminar Pemantapan Profesionalisme, Transformasi, Budaya Kerja & Pemikiran Pegawai Tadbir bersama Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Aktiviti lain, pertandingan pelbagai jenis sukan, lawatan ke Pasar Besar Kedai dan mengunjungi beberpa tempat menarik di Terengganu.

Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu, dasar kerajaan juga memperkenalkan etika kerja dan dasar pandang ke timur bagi memastikan perkhidmatan cemerlang yang memberi penekanan kepada kualiti, kreativiti dan inovasi dalam memastikan kecekapan perkhidmatan,"katanya.


Katanya, walaupun banyak dasar diperkenalkan namun pegawai tadbir masih lagi berhadapan dengan masalah pandangan daripada orang ramai mengenai ketidakcekapan, tidak amanah, serta kurang mesra.

"Masih ada lagi ruang yang perlu dibaiki bagi memastikan perkhidmatn yang diberikan mampu mencapai kepuasan pelanggan melalui konsep yang diperkenalkan oleh dasar kerajaan dan TPP ini.

"Jika pegawai tadbir mengamalkan konsep ini, maka sudah tentu negara dapat membina generasi pentadbiran yang cemerlang dan memastikan Pegawai Tadbir Negeri terus releven setanding dengan pegawai Pegawai Tadbir Diplomatik,"katanya.

 Katanya, pegawai tadbir yang dilantik perlu ada kecekapan berasaskan ilmu kerana ia akan membawa hasil kerja yang baik, produktiviti seterusnya melahirkan pagawai yang profesional.

 


No comments: