Tahap kecaknaan kerajaan negeri terhadap rakyat telah mencapai tahap maksimum, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, YB Ir Rosli Othman.
Katanya, kedatangan pelabur dari luar negara membawa pelaburan hingga ratusan juta ke negeri ini memberi isyarat jelas akan kebijaksanaan serta wawasan jauh kepimpinan negeri membangunkan negeri dan rakyat.
Dari segi kebajikan kerajaan telah menyediakan pelbagai dana bantuan untuk membantu rakyat yang berpendapatan rendah termasuk bantuan rumah dan juga rumah mampu milik kepada golongan pertengahan.
Bantuan untuk memulakan perniagaan juga disediakan kepada golongan miskin dalam usaha membantu mereka hidup berdikari.
“Kerajaan sentiasa berlaku adil kepada semua kepada semua golongan rakyat termasuk pemberian tanah, rumah, bantuan pelajaran, bantuan sara hidup dan sebagainya.
“Kepimpinan hari ini sangat mengambil berat pemasalahan yang dihadapi semua golongan rakyat tanpa mengira batasan agama dan fahaman politik,” katanya.
Tambahnya, kesungguhan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam usaha memertabatkan bidang pendidikan di negeri ini terserlah dengan menyediakan peruntukan ratusan juta setahun sukar ditandingi oleh negeri-negeri lain.