Halaman

03 November 2012

Belanja RM12 juta untuk kanak-kanak TPK

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan membelanjakan kira-kira RM12 juta bagi memberi manfaat kepada hampir 4,000 kanak-kanak Taska Permata Keluarga (TPK) di seluruh Terengganu, bermula tahun depan.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata manakala pada tahun-tahun sebelumnya, kerajaan negeri memperuntukan lebih RM10 juta setahun semata-mata menyediakan pelbagai kelengkapan dan kemudahan pendidikan awal.

Katanya, jumlah TPK di Terengganu adalah sebanyak 84 buah termasuk 66 daripanya adalah milik dan dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

“Jumlah ini menunjukkan betapa serius nya serius kerajaan negeri dalam memastikan setiap kanak-kanak mendapat pendidikan sempurna sejak di awal usia lagi.

 “Kanak-kanak pada usia empat tahun ke bawah mempunyai sikap ingin tahu yang sangat tinggi dan sentiasa teruja dengan perkara baru malah mereka juga mudah meniru apa yang orang dewasa lalkukan,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hafaz Muqaddam Kanak-kanak Taska YPKT, di
Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu.



Hadir sama, Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Morliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa.


Dalam majlis itu, seramai 1,106 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dari Taska Permata YPKT seluruh Terengganu berjaya menghafaz 23 surah muqaddam.

Majlis turut disusuli dengan acara penyampaian sijil hafaz muqaddam dan cenderahati. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu justeru itu, kita perlu membimbing dan mendidik mereka dengan sewajarnya kerana proses pembelajaran perlu dimulakan ketikan ini.

“Dalam erti kata lain segala apa yang dilihat daripada persekitarnya itu merupakan satu proses pembelajaran kepada mereka.



“Apa yang dididik dan diasuh berdasarkan kokurikulum Permata, ia membuktikan bahawa kanak-kanak yang mengikutinya menunjukkan perkembangan positif dan memberangsangkan,” katanya.




Kerjasama Yang Tidak Bertahan Lama

Kerjasama PAS dan DAP ketika ini disifatkan hanya bersifat sementara demi mencapai matlamat politik mereka iaitu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun perjuangan sebenar kedua-dua parti itu adalah jauh berbeza.



Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan berkata, kerjasama yang wujud antara kedua-duanya adalah ibarat topeng untuk menarik perhatian pengundi yang tidak bertahan lama kerana hakikatnya mereka bercakaran sesama sendiri dalam banyak hal.


"Seperti yang semua tahu Pengerusi DAP, Karpal Singh secara terang-terangan menentang perjuangan negara Islam Pas dan memaksa parti itu mengatakan apa yang diperjuangkan adalah negara berkebajikan. "

Begitu juga agihan kerusi antara PAS dan PKR di Terengganu bagi menghadapi pilihan raya umum, setakat ini tidak nampak sebarang kesepakatan antara mereka," katanya dalam ucapan pada majlis perasmian bangunan One Stop Centre Pemuda UMNO Kampung Shukor, Hulu Dungun yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Dato’ Rosli yang juga Pengarah Strategi UMNO negeri berkata, BN menunjukkan realiti berlainan kerana ahli komponennya saling menghormati dalam perkongsian kuasa dan ia tidak mungkin dapat dilakukan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, katanya, rakyat sewajarnya bijak dalam menilai segala tindak tanduk pembangkang terutama segala janji membela nasib rakyat yang ditaburkan sebelum ini masih tidak tertunai di negeri yang mereka kuasai.

"Seandainya mereka memenangi pilihan raya umum akan datang, perpecahan akan berlaku dan rakyat akan menderita. Jadi, kenapa kita harus mempertaruhkan nasib kepada pihak yang terbukti tidak mampu membela nasib kita.

"Lihat sahaja apa yang terjadi di beberapa negeri yang dikuasai pembangkang, pelbagai masalah timbul dan mereka tidak dapat mengatasinya," katanya.




Masyarakat Luar Bandar Sokong BN

Oleh FAUZI MOHD



Masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman perlu memberi sokongan berterusan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.


Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh (gambar) berkata, pelbagai projek telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan yang diberikan selaras dengan pembangunan di negara ini.

“Kalau kita lihat sekarang, kerajaan peka dengan masalah rakyat dan mahu melakukan pembangunan secara menyeluruh termasuk di luar bandar dengan menyediakan pelbagai prasarana.

“Jika dulu kawasan pedalaman kurang kemudahan tetapi hari ini kawasan bandar dan pedalaman boleh dihubungi dengan telefon bimbit,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian bangunan One Stop Centre Pemuda UMNO Kampung Shukor, Hulu Dungun yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.



Jalan Baru Hubung Dungun – Tembeling

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri akan memberi komitmen penuh dalam usaha merealisasikan pembinaan jalan raya baru yang menghubungkan dua negeri antara Hulu Dungun, di sini dengan Hulu Tembeling di Pahang.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, usaha telah digerakkan melalui beberapa siri perbincangan antara beberapa wakil rakyat dari Terengganu dan Pahang.

“Akan ada perbincangan selepas ini sebelum kita mengangkat permohonan kepada Kerajaan Pusat untuk pertimbangan, kajian terperinci dari segi kos pembinaan dan kelulusan.

“Prasarana sejauh 24 kilometer ini mampu memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan pedalaman terutama sektor pertanian dan pelancongan di kedua-dua kawasan,” katanya.



Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan One Stop Centre Pemuda UMNO Kampung Shukor, Hulu Dungun di sini semalam yang turut dihadiri Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh dan Ketua UMNO Dungun, Datuk Rosli Mat Hasan.

Hadir sama, Exco Kerajaan negeri, Datuk Zaabar Mohd Adib, Ketua Pemuda UMNO negeri, Saiful Bahri Baharuddin dan Ketua Pemuda UMNO Dungun, Azhar Jambol.

Dato’ Seri Ahmad memberitahu, jaringan jalan raya berkenaan mampu merancakkan sektor pelancongan kawasan itu seperti tarikan Air Terjun Chemerong, Cengal Besar dan Homestay Pasir Raja.

“Kerajaan negeri sebelum ini telah meluluskan tanah seluas 200 ekar untuk projek nangka madu secara berkelompok di Pasir Raja.

“Kawasan seluas antara 200 hingga 300 ekar lagi akan dipertimbangkan oleh kerajaan negeri bagi rancangan tanah berkelompok untuk pertanian dan penempatan bagi golongan muda,” jelasnya.



Sejurus selepas itu, Ahmad menziarahi bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd. Baru Abas yang keuzuran serta meninjau tempat hakisan banjir di kampung berkenaan.




02 November 2012

Rakyat Sihat,Masyarakat Sejahtera:1MALAYSIA

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Bertemakan “Rakyat Sihat,Masyarakat Sejahtera:1MALAYSIA”, Hospital Hulu Terengganu (HHT) pada hari ini telah berjaya mengadakan Mini Karnival Perubatan 1 Malaysia bertempat di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu ini sebagai satu program yang di adakan bagi memberi peluang kepada masyarakat dan warga hospital berinteraksi secara lebih terbuka dan berkomunikasi dengam lebih dekat lagi.

Program yang julung kali diadakan itu merupakan program bersama Lembaga Pelawat Hospital Hulu Terengganu serta Lembaga Pelawat Psikiatrik HHT dengan kerjasama Majlis Daerah Hulu Terengganu dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu.Program bermula seawal 8.30 pagi yang di rasmikan oleh Yang Berbahagia Encik Yusof Awang Hitam, Pegawai Pembangunan Dun Manir.

Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti pameran,pemeriksaan kesihatan, kuiz, derma darah, pertandingan masakan menu sihat dan sebagainya yang dianggarkan hampir 20 kesemuanya dan berjaya menarik minat orang ramai untuk hadir dan terlibat sama dalam program yang disediakan.

 “Saya mengucapkan tahniah kerana karnival ini telah berjaya dan semoga dijadikan sebagai aktiviti tetap tahunan bagi hospital.Program-program yang di anjurkan pula cukup sesuai dengan tema karnival dan semua peringkat umur.

 “Dan untuk penambahbaikan ,saya cadangkan ianya dibuat di peringkat kampung-kampung di pinggir bandar atau jauh di pendalaman supaya maklumat tentang kesihatan dapat di manfaatkan secara ‘ total ’.Saya berharap pada hari,semua yang hadir dapat mengambil peluang dan bertanya segala kemusykilan dalam setiap ceramah kesihatan yang diadakan untuk membina keluarga yang sihat dan sejahtera” kata Encik Yusof Awang Hitam sewaktu berucap merasmikan Mini Karnival di sini.

 

Pemimpin Barisan Nasional Cakna Ilmu.

Oleh : Amirullah Othman

 “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu”. Itulah yang dapat digambarkan daripada satu Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2012 di Sekolah Kebangsaan Seberang Marang hari ini.

 Pelajar-pelajar di Sekolah Kebangsaan Seberang Marang yang cemerlang dalam akademik dan sukan sangat gembira apabila mendapat pelbagai anugerah daripada pihak sekolah.

 Majlis ini dirasmikan oleh Y.B. Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar Ahli Dewan Negara merangkap Pegawai Pembangunan Parlimen Marang.

Dato’ Abdul Rahman Bakar dalam ucapannya mengharapkan majlis seumpama ini dapat memotivasikan murid-murid untuk kecemerlangan dalam akademik dan bidang sukan.

 Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah dan PIBG kerana telah mengadakan program seumpama ini demi melihat anak bangsa Melayu dan beragama Islam duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain.

Kerajaan negeri Terengganu telah mengadakan pelbagai program dan memberikan banyak bantuan untuk kecemerlangan ilmu dan cemerlang serta mendapat keputusan yang baik.

 Ibu bapa juga hendaklah sama-sama mengembeling tenaga bersama guru-guru supaya kecemerlangan berterusan dapat di capai. Beliau juga mengharapkan para pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh kerana masa depan Negara terletak pada generasi muda yang ada pada masa sekarang.

 

1,000 petugas APMT turun padang beri khidmat



Oleh Mohammad Ishak 

Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) memikul tanggungjawab besar untuk menjadi agen kepada perubahan sikap rakyat negeri ini dengan melaksanakan pelbagai program sosial dan pendidikan.

Pengarahnya,Roshali Taha berkata, APMT yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu kini berperanan sebagai sebuah agensi kerajaan negeri yang diamanahkan untuk membina rakyat terutama dalam menyatupadukan penduduk negeri ini.

Katanya, agensi itu yang kini mempunyai 1,000 petugas sedia menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat dengan mempelbagaikan program dalam usaha menyedarkan orang ramai terhadap pembangunan negeri Terengganu.

Beliau berkata, selain memberi tumpuan kepada masyarakat kampung AMPT juga sering mendekati golongan lain termasuk kumpulan yang menyertai Badan Bukan Kerajaan  (NGO),kakitangan kerajaan,dan swasta.

Malahnya, katanya, APMT juga kini memberi tumpuan untuk memberi penerangan dan menyampaikan maklumat kepada golongan guru mengeni usaha yang sudah dan sedang dilaksanakan kerajaan.

“Ini kerana guru mampu memberi maklum balas kepada kerajaan apa yang baik dan buruk kerana mereka adalah golongan terpelajar dan berpendidikan tinggi,” katanya.

Roshali berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Pemantapan Kepemimpinan ahli Persatuan
Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Negeri Terengganu di Melaka malam tadi.

Kursus tiga hari itu disertai 240 peserta yang juga ahli PPKM negeri ini dari daerah Besut,Kuala Terengganu dan Dungun. Hadir sama Pengerusi PPKM Terengganu,Datuk Syed Abu Bakar Abdullah.

240 ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Cawangan Terengganu ikuti kursus


Pegawai Daerah Besut A Rahim Jusoh melakukan upacara pelepasan peserta kursus ke Melaka

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 240 ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Negeri Terengganu dipilih menyertai kursus Pematapan Kepemimpinan Masyarakat yang berlangsung tiga hari di sebuah hotel di Melaka bermula semalam dan berakhir Sabtu ini.

Kursus yang dikendalikan oleh Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) julung kali diadakan kepada ahli persatuan berkenaan bertujuan memberi pendedahan mengenai pelbagai program kerajaan untuk rakyat.

Peserta kursus mewakil 80 orang dari Daerah Besut,Kuala Terangganu dan Dungun berlepas dengan lapan buah bas yang disempurnakan pelepasannya oleh Pegawai Daerah masing-masing.

Ketika mengikuti kursus sambil melawat itu peserta turut diberi taklimat bermaklumat termasuk daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penerangan isu semasa yang disampaikan oleh Pegawai Khas YAB Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar.

Pengerusi PPKM Terengganu,Datuk Syed Abu Bakar Abdullah berkata, bekas pesara kerajaan negeri Terengganu amat beruntung kerana berpeluang mengikuti kursus yang banyak memberi maklumat selain dapat melawat tempat-tempat menarik di Bandaraya Bersejarah, Melaka.

Katanya, sebelum ini ahli PPKM tidak pernah mengikuti kursus seumpama itu dan peluang yang diberikan akan digunakan sepenuhnya oleh peserta untuk mendapat maklumat mengenai pembangunan negara.

Beliau berkata, selepas Melaka peserta juga akan di bawa melawat Kuala Lumpur dan Pusat Pentadbiran Kerajaan di Puterajaya.

Sementara itu,Pegawai Daerah Besut,A Rahim Jusoh ketika melakukan upacara pelepasan peserta kursus berkata, pesara boleh memainkan peranan untuk membantu kerajaan menjayakan pelaksanaan pembangunan kerana golongan berkenaan juga mempunyai pengalaman luas dalam bidang kerjaya dan pentadbiran.

15,400 pesakit tunggu pemindahan buah pinggang

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 15,400 orang pesakit sedang menunggu pemindahan buah pinggang di negara ini manakala tiga orang menunggu bagi pemindahan jantung dan seorang menunggu pemindahan paru-paru sehingga Julai tahun ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan Terengganu (Bahagian Perubatan), Dr. Mohamad Omar berkata, dalam senarai menunggu itu terdapat kalangan rakyat Terengganu.

“Ada yang menunggu organ ini berbulan-bulan, bertahun dan yang menyedihkan apa yang ditunggu tidak tiba kerana tiada penderma yang sesuai,” katanya di majlis perasmian Minggu Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud telah merasmikan kempen berkenaan. Turut hadir Timbalan Pengarah Klinikal 1, Hospital Sultanah Nur Zahirah )HSNZ), Dr Nor Azimi Yunus dan Pengerusi Tissue and Organ Procurement Team HSNZ, Dr Aisai Abdul Rahman.

Katanya, situasi yang sedih ini dapat diatasi sekiranya kita sama-sama menghulurkan bantuan dengan membuat ikrar pendermaan organ.

Tambahnya, seorang penderma boleh menyelamat beberapa orang pesakit yang berbeza seperti buah pinggang, jantung, hati dan paru-paru yang dapat memberi manfaat kepada kepada mereka yang memerlukan bagi meneruskan kehidupan.

“Setakat 31 Ogos tahun ini seramai 200,796 orang pengikrar penderma organ di negara ini dan dalam tempoh berkenaan sebanyak 378 pendermaan organ telah dilakukan,” katanya.

Beliau seterusnya meminta orang ramai mendapat maklumat dan informasi yang betul berkaitan pendermaan organ di mana Kementerian Kesihatan telah menerbitkan risalah berkaitan pendermaan organ dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga mengedar risalah mengenainya mengikut perspektif Islam.

01 November 2012

Tujuh pelayar negara berentap ke Piala Monsun 2012

Oleh: Aida Abd Rahman

 Tujuh pasukan pelayar negara kini sedang berusaha sedaya upaya merebut peluang ke persaingan terakhir merebut satu slot peserta `wild card’ bagi mewakili Malaysia di kejohanan Piala Monsun, Pulau Duyong, Kuala Terengganu pada 3 hingga 8 Disember ini.

 Bagaimanapun pasukan pelayaran negara perlu melalui siri terakhir Sirkit Match Racing Malaysia (MMRC) yang berlangsung tiga hari bermula 28 November ini bagi meningkatkan mata terkumpul daripada keseluruhan empat sirkit sekali gus menaikkan ranking dunia dan bergelar juara keseluruhan.

 Naib Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia Dato’ Wan Hisham Wan Salleh, berkata tiga nama pasukan pelayaran yang mencipta nama di tiga siri MMRC seperti Jeremy Koo, Hazwan Hazim dan Masyuri Rahmat berpeluang merebut slot wild card negarakerana mereka antara mengumpul mata tertinggi.

"Buat masa ini, saingan masih terbuka dan tertumpu antara mereka bertiga di mana hanya satu pasukan negara yang akan mewakili negara dalam kejohanan berprestij bersama 11 lagi pasukan terbaik dunia.

 "Oleh itu, juara keseluruhan bagi acara MMRC secara automatik akan layak mewakili Malaysia ke acara Piala Monsun 2012," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar pengenalan Piala Monsun 2012 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin ( 30 Oktober). 

Dato’ Wan Hisham yang juga Pengarah T-Best Events untuk penganjuran Piala Monsun 2012 berkata lapan pasukan terbaik dengan tiga lagi wild card dari luar negara akan berkumpul di Pulau Duyong bermula hujung November ini.

 "Kali ini kita menjangkakan seramai 150,000 pengunjung berbanding yang dicapai seramai 140,000 pengunjung pada tahun lepas. Kita (penganjur) akan mengadakan pelbagai aktiviti dan karnival selama seminggu bagi menarik pengunjung seterusnya meningkatkan ekonomi setempat," katanya.

 MMRC telah bermula pada 11-13 Mei di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Tanjung Muroh, Lumut, Perak, diikuti di Marina Jabatan Laut, Pulau Indah, Klang, Selangor pada 29 Jun-1 Julai yang menyaksikan Jeremy dari Koo Racing Team muncul juara pada kedua-dua acara seterusnya mendahului dengan 69 mata.

Ini diekori rapat oleh Masyuri (Royal Malaysian Navy Match Racing Team 1) dengan perbezaan tiga mata (66 mata) yang menjuarai sirkit ketiga di Tanjung Leman, Johor pada 28-30 September lalu sementara Hazwan Hazim (Permai Hotel Match Racing Team) pula di tempat ketiga selepas mengumpul 60 mata.