Halaman

02 December 2012

Serap 7 rukun kemenangan, Umno kekal memerintah

Oleh: Aida Abd Rahman

Tujuh rukun kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan parti itu kekal memerintah dalam tempoh lima tahun dan mendapat kejayaan besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang digariskan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin :

1) Patuh kepada pemimpin 
2) Mengatur strategi dengan tepat 
3) Faham peranan dan tanggungjawab 
4) Kenali musuh lebih dekat 
5) Kejapkan perpaduan di semua peringkat 
6) Bersiap-siaga fizikal, mental dan rohani 
7) Berjuang habis-habisan

Tan Sri Muhyiddin berkata, patuh terhadap pemimpin merupakan satu perkara yang wajib dilaksanakan di mana setiap ahli harus akur dan menerima setiap keputusan pemimpin berkaitan PRU melibatkan tugas, tanggungjawab serta individu yang bakal dipilih sebagai calon pada PRU13 nanti.

 “Kita patut terima apa jua keputusan daripada pucuk pimpinan, laksanakan tugas dan tanggungjawab atau soal calon pilihan raya atau soal kawasan yang ditandingi di kalangan parti komponen BN.

 “Sebab itu kita perlu dengar dan laksanakan apa jua yang dikehendaki oleh parti. Ini adalah lambang dan keyakinan kita kepada pucuk pimpinan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

Orang nombor dua parti itu turut mengingatkan mengenai cabaran yang harus direntangi semua ahli dalam PRU13 cukup hebat menuntut semua pimpinan dan ahli parti bekerja kuat sekiranya mahu menikmati kemenangan yang lebih besar.

Selaku Pengarah Pilihan Raya BN, beliau juga mengakui semua ahli parti sudah menjalankan tugas dengan komited dan kerja keras bagi merealisasikan hasrat memenangi PRU.

 “Kita sudah berada di peringkat terakhir dan cabaran dalam PRU13 kali ini penting. Selaku pengarah pilihan raya kita telah bekerja dengan begitu keras skali.

 “Saya telah turun di semua negeri untuk lihat apa yang berlaku diperingkat akar umbi. Saya sudah bekerja kuat, tapi saya lihat presiden kita sudah bekerja lebih kuat dan turun padang lebih kerap kepada saya untuk bekerja lebih keras,” katanya.

Beliau juga bertekad mengatur strategi dengan tepat bagi memastikan negeri dan kawasan yang dikuasai Umno kekal di tangan parti, sementara negeri dan kawasan yang tewas akan dirampas semula dengan kemenangan lebih besar.

“Kita perlu pertahan kerusi yang kita menangi, kekalkan kerusi ini ditangan BN. Pada masa sama, kita tebus semula kawasan-kawasan yang kita tewas dalam PRU akan datang.

“Pimpinan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan perlu menyampaikan maklumat dan perkara yang telah diputuskan di peringkat pusat dan negeri disampaikan kepada ahli diperingkat akar umbi bagi memastikan kita raih kemenangan besar dalam PRU13,” katanya.

Tan Sri Muhyddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ahli parti perlu faham dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan serta mengenali musuh supaya musuh tersebut dapat diatasi.

 “Kenali siapakan musuh kita. Kita perlu tahu PAS kuda tunggangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Siapa musuh kita? Musuh kita PKR, DAP yang rasis.

“Selain kita kenali nama mereka, kita perlu tahu pergerakan mereka di peringkat nasional dan bahagian. Jangan benar mereka tembusi kawasan kita. Sebab itu kita perlu ada kubu yang kukuh dan ampuh,” katanya.

 Justeru, beliau mahu pimpinan dan ahli parti rapatkan barisan dengan menyelaraskan tindakan di semua peringkat.

Gesaan itu turut menyentuh supaya semua sayap parti, Pemuda, Wanita dan Puteri melangkah seiringan dan sederap supaya mengeratkan perpaduan dan mengelakkan perbalahan sesame sendiri yang boleh menjejaskan keutuhan parti.

“Pemimpin parti di semua peringkat jangan timbulkan isu-isu baru supaya kita tidak lagi lemah dan pengundi yakin dan lihat Umno dan BN lihat kita sebuah parti yang terus kukuh dan kuat. Kita perlu berpegang teguh dan jangan bercerai berai,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin juga mahu semua pimpinan berada dalam keadaan siap siaga bukan sahaja daripada aspek fizikal tetapi mental dan rohani bagi memastikan setiap tentangan dapat diharungi dengan lancar dan berkesan.

 “Saya percaya PRU 13 lebih besar cabarannya. Persiapan akal fikiran, kesihatan tubuh badan sangat penting dan kita boleh jangka bila pembangkang akan serang kita.

 “Kita perlu pastikan bilik gerakan, di semua peringkat digerakkan bermula pada hari ini hinggalah pilihan raya diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

 Akhirnya, beliau menyeru ahli Umno agar berjuang habis-habisan hingga saat-saat akhir PRU13. Beliau mengingatkan ahli parti bahawa pembangkang juga mula gementar dengan cabaran PRU yang cukup mencabar kerana itu semua ahli parti harus kental dan berani berdepan dengan setiap penjuru PRU13.

Timbalan Presiden Umno itu juga menggesa ahli parti mempertahankan semangat juang yang kental, panji-panji Umno tidak tersungkur sebelum tiba masanya dan panji-panji Umno bangkit dalam menegakkan perjuangan.

 

Berkhidmat untuk memimpin-Tan Sri Salleh

Oleh; Esah Abdullah

Berkhidmat untuk memimpin, suatu kalimah keramat yang tersemat disanubari penerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Universiti Malaysia Terengganu, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor. 72.

 “Kalimah tersebut juga menjadi nadi dan motivasi, terus menuntut dan memanfaatkan ilmu yang ditimba untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui di majlis Konvokesyen Ke-10 UMT baru-baru ini.

Beliau yang pernah menuntut di Maktab Tentera Persekutuan kini dikenali Maktab Tentera Diraja di zaman remaja menjadikan pesan bapa agar tidak mengambil hak orang lain sebgai prinsip hidup dan masih diingati walau kini sudah jauh meniti usia.

Tan Sri Salleh yang berasal dari Kampung Ulu Dengkil Kuala Pilah itu mula menceburi bidang perhutanan dalam pendidikan tinggi di Australia (1960-1964) serta mendapat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan atas tajaan Colombo Plan Scholarship.

Pencarian imu beliau tidak terhenti walaupun sudah bekerja sebaliknya telah menghabiskan 13 bulan di Belanda menambah ilmu perhutanan, kemudian menyambung pengajian di Michigan State Universiti Amerika Syarikat dan menerima Ijazah Sarjana.

 Selama tempoh dua tahun sembilan diambil untuk menyempurnakan kajian dalam PhD dalam Pengurusan Hutan di Malaysia menggunakan model komputer di universiti yang sama.

Katanya, perkembangan teknologi masa kini telah menguasai era globalisasi yang suatu ketika dulu merupakan satu kemewahan tetapi kini suatu kemestian untuk dimiliki di mana semua manusia dari serata pelusuk dunia mampu berhubug dalam sekelip mata.

Tan Sri Salleh terlibat dalam penubuhan Lembaga Pembangunan dan Penyelidikan Perhutanan Malaysia di Kepong dan akhirnya mewujudkan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan beliau dilantik sebagai pengarah (1985) sehingga bersara dalam kerajaan (1995).

Selepas bersara beliau menubuhkan syarikat penyelidikan kontrak swasta TropBio Research Sdn Bhd dan menjadi jururunding kepada projek ‘Taman Rimba Alam’ di Putrajaya, projek iventori hutan dan penyediaan Pelan Pengurusan Hutan di Sabah dan Kalimantan Indinesia.

Bapa kepada tiga anak serta datuk kepada enam cucu ini kini dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Bioetika Kebangsaan dan ahli Nanoberhad dua badan di bawah Kementerian Sains, Tekonologi dan Inovasi (MOSTI).

 Bagi perkhidmatan beliau kepada negara Tan Sri Salleh telah menerima pelbagai anugerah termasuklah Anugerah Tun Razak (2012), Penyelidikan Perhutanan Malaysia Ulung (2009), Anugerah Alam Sekitar Libur (2009), Senir Fellowship membawa gelaran ‘Academician’ ((2004) dan Anugerah Sains Negara (1993).
 

Umno Terengganu kukuh

Pemimpin Umno Terengganu yakin kekuatan parti itu di negeri ini kembali pulih dan mereka kini bersedia untuk menggempur serta mempertahankan Terengganu daripada dikuasai pembangkang selaras dengan hasrat Presiden Parti Datuk Seri Najib Tun Razak agar semua ahli parti bersatu padu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, segala masalah dalaman yang dialami sebelum ini berjaya diatasi dan kesemua ahli serta pucuk pimpinan parti kini menumpukan usaha untuk memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum ke-13.

"Dengan adanya perpaduan di kalangan ahli parti, saya pasti tidak ada masalah untuk mengekalkan kemenangan di Terengganu. "Malah saya menjangkakan kita akan berjaya merampas kembali beberapa kerusi daripada tangan pembangkang," katanya di Kuala Lumpur semalam.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Lapan kerusi DUN yang kini dikuasai Pas ialah Batu Buruk, Ladang dan Wakaf Mempelam (ketiga-tiganya di dalam Parlimen Kuala Terengganu), Bukit Tunggal (Parlimen Kuala Nerus), Sura (Dungun), Rhu Rendang serta Bukit Payung (Marang) dan Manir (Hulu Terengganu).

Kerusi Parlimen yang dimenangi Pas pula ialah Marang yang diwakili Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi pada pilihan raya kecil pada 2009.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kemaman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Umno Terengganu kini memasuki 'gear lima' yang bersedia untuk memecut sebaik sahaja semboyan PRU dibunyikan.

"Jentera parti di pelbagai peringkat telah bersedia...masalah yang berlaku sebelum ini bukan lagi isu kerana kita telah tanganinya dengan baik," katanya.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu Rozi Mamat berkata, perpaduan merupakan kunci kepada kejayaan Umno dan dalam situasi politik pada masa kini, perpaduan di kalangan semua anggota Umno termasuk Umno Terengganu merupakan faktor yang amat penting seperti ditekankan oleh presiden parti.

"Banyak perubahan berbanding dahulu, kini semua pucuk pimpinan Umno Terengganu telah bersatu dan sedia untuk bertempur untuk hadapi PRU nanti," katanya.

Ketua Umno Bahagian Dungun Datuk Dr Rosli Mat Hassan pula berkata, semua kepentingan individu dan kumpulan telah ditolak ke tepi kerana matlamat Umno kini meraih seberapa banyak sokongan pengundi melalui 342 Peti Daerah Mengundi di seluruh negeri itu.

"Jentera kita akan terus setia berkhidmat sehingga ke peringkat akar umbi tanpa mengira jua jawatan yang dipegang dalam Umno negeri untuk membawa kembali kekuatan yang kita ada sebelum ini," katanya.

MB bincang masalah pelajar luar negara

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Dalam kesibukan menghadiri pelbagai program dan Perhimpunan Agung Umno 2012 di Kuala Lumpur, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said, tidak melupakan masalah pelajar Terengganu yang sedang menuntut di luar negara.



Justeru itu, beliau mengambil kesempatan bertemu dengan 10 wakil pelajar yang sedang menuntut di luar negara untuk meninjau pendapat mereka mengenai perkara itu, malam kelmarin.

Tujuh daripada pelajar berkenaan yang kebetulan turut hadir pada perhimpunan itu merupakan pelajar dari Terengganu.

Dalam pertemuan yang diatur di Hotel Hilton Kuala Lumpur, Dato’ Seri Haji Ahmad turut membincangkan mengenai kemajuan yang dicapai di Terengganu sepanjang pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar dan dasar-dasar kerajaan negeri.



Beliau turut bertanyakan para pelajar berkenaan mengenai masalah asrama pelajar yang sedang menuntut di luar negara.

Menteri Besar turut menjelaskan kepada mereka mengenai kejayaan Terengganu di bidang sukan dan langkah-langkah yang bakal diambil bagi meningkatkan mutu sukan, khususnya permainan bola sepak.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid dan Ketua Pemuda umno Kuala Terengganu, Badrulhisham Baharuddin.





Doa Presiden Umno

Doa Presiden Umno ketika ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2012, di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

Ya Allah kuatkan Umno

Ya Allah kuatkan Barisan

Ya Allah kuatkan kami

Ya Allah tolongkanlah kami untuk memelihara agama Islam

Tolonglah kami untuk membela bangsa Melayu dan bangsa lain

Tolonglah kami untuk berlaku adil pada semua

Peliharalah kami dari fitnah manusia

Peliharalah kami daripada kerosakan bangsa

Peliharalah kami daripada kehancuran negara

Ya Allah berilah kemenangan beramal kepada Barisan Nasional

Berilah kemenangan kepada kami demi agama Islam, bangsa dan negara

Ya Allah kabulkan doa dan permohonan kami

Amin ya rabbal alamin..

 

Kesetiaan jadi tunjang kekuatan parti

Oleh: Aida Abd Rahman

Kesetiaan terhadap parti menjadi tunjang utama kepada kekuatan Umno dan juga Barisan Nasional (BN) seterusnya mengekalkan pemerintahan pada Pilihan Raya Umum (PRU13).

Maka, bersandarkan kepada perkara pokok itu, Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meminta kesemua perwakilan Umno 2012 di PWTC, yang berakhir petang semalam `tepuk dada, tanya selera’ sebaik selesai perhimpunan itu, terhadap soalan cepu emas beliau yang berbunyi “Kalau anda tidak terpilih sebagai calon, adakah anda akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih Umno dan BN?”.

Di sebalik soalan itu, beliau seraya menyenaraikan lima kemungkinan jawapan yang sewajarnya dipertimbangkan oleh perwakilan serta ahli Umno, iaitu pertama, akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih parti; kedua, sokong, ketiga, tak bekerja; keempat, sabotaj dan kelima, lompat parti.

Menurut Dato’ Seri Najib `survey’ yang tidak perlu dijawab dalam borang, sebaliknya hanya memerlukan jawapan ikhlas dalam jiwa sanubari setiap ahli Umno itu cukup penting sebagai kayu ukur terhadap kesetiaan ahli Umno memperjuangan kedaulatan parti selama ini.

Sekiranya kesemua ahli parti dan perwakilan seia-sekata memilih jawapan `pertama’, pastinya PRU13 BN mampu mempertahankan mandat rakyat sekali gus memenangi dua pertiga kerusi yang dipertandingkan nanti.

Pun begitu, Perdana Menteri turut meluahkan kegusaran pada pilihan raya nanti, bukan kerana kekuatan pembangkang selain beliau turut meletakkan keyakinan bahawa rakyat sudah mampu menilai parti sebenar yang mampu memperjuangkan nasib bangsa dan agama, tidak lain tidak bukan pastinya Umno dan BN serta mampu memihak kepada parti itu.

Sebaliknya, Dato’ Seri Mohd Najib khuatir jika matlamat sebenar dalam memperjuangkan parti dan mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama Islam, membela nasib Melayu dan negara terjejas ekoran wujudnya rasa kecewa apabila tidak terpilih sebagai calon.

 “Yang saya khuatir sikit saja, soal kita sesama kita. Katakan dengan penuh yakin dan percaya, katakan dari hati dan jiwa kita, demi Islamdemi Melayu, demi Malaysia, demi bumi bertuah kita, demi anak cucu kita, kita mesti setia pada perjuangan umno demi kedaulatan dan kesucian agam Islam kerana Umno mempertahankan Islam.

 “Kita mesti taat kepada pemimpin parti demi kemenangan parti kerana hanya Umno pembela rakyat,” kata Perdana menteri dalam ucapan penggulungan beliau itu lagi.

Selain itu juga, intipati sebalik ucapan penggulungan beliau semalam turut menyentuh mengenai usaha kerajaan yang bakal menubuhkan institusi Umno dalam tempoh terdekat bagi menyediakan barisan kepimpinan generasi baru parti yang lebih ampuh bagi berdepan cabaran akan datang.

Malah, beliau turut mengumumkan had pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia ditambah sekali ganda menjadi RM100,000, berbanding hanya RM50,000 sebelum ini.

Pada masa yang sama, kerajaan akan mengkaji semula Undang-Undang kebangkrapan yang terlalu ketat serta mencari jalan melepaskan mereka yang diisytiharkan muflis.

 Presiden Umno juga meminta semua ahli Umno lebih celik media sosial berikutan kemajuan dunia tanpa sempadan hari ini menyebabkan segala fitnah dilemparkan terhadap parti menerusi medium berkenaan.


Kolej Ketengah ambil 350 pelajar pertama 2013

Oleh; Esah Abdullah

Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mensasarkan 350 orang pelajar cemerlang bagi pengambilan pertama mulai tahun depan (2013).

 Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud berkata, usaha ini dirancang melalui kerjasama strategik antara Ketengah dan MARA untuk pembangunan dalam sektor pendidikan.

“Pelajar terbabit akan melanjutkan pengajian peringkat persediaan A-lever dan International Baccalaureate di kolej ini sebagai persediaan ke universiti terkemuka di luar negara,” katanya.

Katanya, kolaborasi antara dua agensi ini mampu bersaing di peringkat globalisasi di samping membangunkan modal insan yang akan menjadi nadi dalam memacu bidang pendidikan ke tahap global.

“Pendidikan berkualiti bertaraf dunia merupakan satu pelaburan jangka panjang yang berdaya maju dan mampu menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara,” katanya.

Menurutnya, Kolej Ketengah dilengkapi 16 bilik kuliah, sebuah dewan utama dan auditorium, kompleks sukan serta asrama yang selesa serta tenaga pengajar yang professional dan berpengalaman dari MARA.

“Saya yakin pelajar di kolej ini nanti mampu memberi satu pencapaian ampuh dalam memacu kecemerlangan seperti lain-lain pusat pengajian tinggi di negara ini,” katanya

 

695 kes denggi di Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Sebanyak 695 kes denggi dilaporkan di seluruh Terengganu untuk tempoh Januari hingga 28 November lalu berbanding 612 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Anwa Sulaiman berkata, daripada jumlah tersebut, 649 kes yang direkodkan melibatkan demam denggi dan 46 kes melibatkan demam denggi berdarah.

"Walaupun peningkatan kes sebanyak 13.6 peratus namun untuk tahun ini tiada kes kematian akibat denggi dicatat setakat ini berbanding satu kes kematian berlaku pada tahun lepas.

"Berdasarkan kes denggi yang direkodkan oleh JKNT, Kuala Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 255 kes, diikuti Besut (123), Dungun (103), Kemaman (87), Hulu Terengganu (56), Marang (49), dan Setiu (22),” ujarnya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Katanya, salah satu cara untuk mengatasi masalah denggi ialah melalui kesedaran dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat itu sendiri.

"Orang ramai hanya perlu meluangkan masa seminggu sekali dalam tempoh lebih kurang sepuluh minit dengan melakukan pemeriksaan di rumah, kedai, atau premis masing-masing untuk memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk.

"Selain itu, anggota masyarakat juga boleh mengadakan gotong-royong secara berkala mungkin sebulan sekali di taman perumahan atau kawasan pejabat umpamanya demi memastikan kebersihan kawasan terbabit terjamin dan bebas daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk,” ujarnya.

Menurut Dr. Anwa, pihaknya akan mengenakan kompaun sebanyak RM500 sekiranya sesuatu premis itu dikenalpasti sebagai tempat pembiakan nyamuk.

Difahamkan, sehingga kini JKNT telah memeriksa 177,783 premis di seluruh Terengganu dan telah mengeluarkan sebanyak 1068 kompaun kepada premis yang didapati ada tempat pembiakan nyamuk dan berisiko membawa wabak denggi.

 

Taat kepada pemimpin demi kemenangan parti – Najib

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib

Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najid mengemukakan soalan cepumas kepada perwakilan Umno 2012 yang berakhir petang semalam, berbunyi “Kalau anda tidak terpilih sebagai calon, adakah anda akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih Umno dan BN (Barisan Nasional) ?”.

Secara sinis, beliau mengemukakan lima jawapan kepada soalan tersebut untuk dipetimbangkan jawapannya oleh perwakilan dan semua ahli Umno, iaitu akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih, sokong, tak bekerja, sabotaj dan lompat parti.

Dalam hal ini, tentunya jawapan yang paling dikehendaki oleh pucuk pimpinan Umno ialah saya akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih walaupun saya tidak menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) nanti.

Presiden parti menjelaskan ada sedikit kebimbangan di hati beliau iaitu masalah sesama ahli Umno, termasuk kemungkinan berlaku sabotaj jika mereka tidak terpilih sebagai calon.

Ini merupakan masalah yang berlaku sejak dulu dan sering menjadi ‘duri dalam daging’ kepada parti setiap kali menghadapi pilihan raya.

Pada ucapan perasmiannya, Perdana Menteri ada menyebut bahawa pilihan raya kali ini luar biasa dan menuntut komitmen penuh daripada pemimpin dan penyokong Umno bagi menafikan hasrat pembangkang menawan Putrajaya.

Setiap pemimpin dan hali Umno perlu menanam dalam hati mereka jawapan “saya akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih walaupun saya tidak menjadi calon’” bagi memastikan kemenangan calon-calon Umno dan BN.

Mereka perlu berkorban jiwa dan raga, malah harta benda bagi memastikan kemenangan calon Umno dan BN pada PRU 13.

Bak kata Dato’ Seri Mohd Najib pakatan pembangkang tidak kuat dan beliau yakin pengundi akan memihak kepada Umno dan BN pada pilihan raya akan datang.

Ketiga-tiga sayap parti pula, Wanita, Pemuda dan Puteri telah menyatakan komitmen mereka untuk berjuang hingga ke titisan darah terakhir pada PRU 13 bagi memastikan kemenangan Umno dan BN.

Mereka sanggup berada di barisan depan apabila semboyan dibunyikan bagi memanstikan hasrat pembangkang menguasai Putrajaya tidak akan dicapai.

Sekarang ini terpulang kepada para pemimpin Umno dan penyokong mereka untuk membuat keputusan sama ada memilih jawapan yang boleh memenangkan parti atau menjahanamkan parti selepas nama-nama calon dimumumkan nanti.

Kita yakin pemimpin Umno, khususnya di kalangan mereka yang sudah menjadi wakil rakyat sama ada di peringkat DUN atau Parlimen akan memilih jawapan yang memenangkan parti seandainya nama mereka tidak dicalonkan semula pada PRU 13.

Atas semangat cintakan Umno dan BN, mereka tidak akan tergamak mensabotaj parti jika nama ‘tidak naik’ kali ini.

Jika itu jawapan yang pasti, tidak syak lagi Umno dan BN bukan saja akan menang pada PRU 13, tetapi dapat menguasai majoriti dua pertiga.

Mereka perlu menghayati permintaan Presiden Umno yang berbunyi “Demi Islam, demi Melayu, demi bumi bertuah kita, demi anak cucu kita, kita mesti setia pada perjuangan Umno, demi kedaulatan dan kesucian agama Islam kerana Umno mempertahankan Islam.

Kita mesti taat kepada pemimpin parti demi kemenangan parti kerana hanya Umno membela rakyat,”. Kata-kata keramat ini perlu ditanam dalam setiap hati pemimpin, ahli dan penyokong Umno bagi memastikan Umno dan BN menang dalam pilihan raya akan datang.




PM yakin BN dapat majoriti dua pertiga

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) yakin akan memperoleh majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata BN, gagasan yang memerintah dengan Umno sebagai tonggak utama, akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai matlamat itu.

 "Inilah sasaran kami, untuk mencapai majoriti dua pertiga, dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakannya," katanya pada sidang akhbar selepas menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Dato’ Seri Mohd Najib menyuarakan keyakinan bahawa momentum dan semangat parti yang terhasil daripada perhimpunan itu akan dapat dikekalkan sehingga pilihan raya umum.

"Momentum adalah baik dan saya pasti, saya amat yakin bahawa mereka (perwakilan Umno) akan membawa pulang semangat perhimpunan ini...mood perhimpunan keseluruhannya amat bertenaga," katanya dan menambah Umno sedia untuk 'berperang'.

Ditanya bagaimana Umno akan menangani sabotaj dalam parti, Najib yakin anggota Umno akan bertindak rasional dan tidak akan merosakkan parti jika mereka benar-benar sayangkan Umno.

"Kalau dalam hati dia sayangkan Umno dan dalam minda dia tahu bahawa sesuatu perbuatan seperti itu boleh merosakkan parti, merosakkan dia juga, saya percaya dia akan bertindak secara rasional," katanya dalam ucapan penggulungannya,

Najib melontarkan soalan 'cepumas' penuh bermakna bagi menguji tahap kesediaan anggota Umno untuk menyokong parti sekiranya mereka tidak terpilih sebagai calon pilihan raya umum ke-13 nanti.

Lima kemungkinan ditawarkan beliau bagi menjawab soalan cepumas yang sarat dengan mesej itu -- sokong sepenuhnya calon dipilih parti; sokong; tidak bekerja; sabotaj; atau lompat parti.

Dalam ucapannya itu, beliau menyebut terdapat kes menteri dan timbalan menteri yang mengkhianati parti kerana gilakan kuasa setelah tidak lagi diberi jawatan.