Halaman

04 January 2013

Buang sikap buruk, elak tanggapan negatif pelancong

Oleh: Suriati Ali

 Pemandu teksi, pengusaha restoran dan mana-mana individu yang terlibat secara langsung dengan pelancong perlu menghentikan tabiat gemar mengenakan bayaran melampau kepada golongan itu.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tabiat buruk ini bukan hanya boleh merugikan dan mencemar pemilik teksi atau pengusaha makanan itu sendiri malah membawa kerugikan besar terhadap industri pelancongan Terengganu.

“Selain itu, ia akan membawa tanggapan negatif dan persepsi buruk pelawat kepada negeri, akhirnya pelawat tidak lagi suka berkunjung ke Terengganu walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri.

 “Maka, timbullan sikap salah menyalah dan tuding menuding yang akhirnya pihak kerajaan juga akan dipersalahkan, kononnya tidak menjalankan usaha untuk menarik pelancong berkunjung ke negeri ini,” katanya.

 Beliau ketika berucap pada Majlis Penyampaian Uniform dan `Kit’ Kepada Pengusaha Kereta Sewa, di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembagunan Usahawan, Encik Azmi Razik dan Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

 Seramai 802 pengusaha kereta sewa dari seluruh Terengganu diagihkan pakaian seragam dan `kits’ TMT 2013, membabitkan peruntukan RM120,000 semata-mata mahu mempromosi Terengganu dan meningkatkan imej sistem pengangkutan di mata pelancong.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dia berharap dengan pemberian pakaian seragam tiada lagi rungutan terhadap pengusaha pengangkutan itu selain perlu bersikap lebih sopan dan pandai menjaga imej Terengganu.

 

Bantuan pakaian sekolah 2013-Terima kasih MB

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Kerajaan Negeri Terengganu merupakan kerajaan yang berkebajikan, mengutamakan rakyat dan merancang melahirkan generasi keluarga berdaya saing serta mampu merubah masa depan keluarga bangsa dan negara, sekaligus melahirkan insan yang mendaulatkan Islam.

Ini terbukti melalui dana-dana yang diwujudkan bagi membantu rakyat negeri Terengganu seperti Dana Bantuan Pakaian Sekolah 2013. Ahli Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zawawi Ismail, hadir menyempurnakan majlis tersebut yang melibatkan 1,323 penerima telah menerima Dana Bantuan Pakaian Sekolah bagi 2,198 kanak-kanak yang bersekolah di kawasan DUN berkenaan.

Dana Bantuan Pakaian Sekolah itu disediakan kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah untuk membeli pakaian dan keperluan persekolahan anak-anak.

Beliau berharap semua penerima dana pakaian sekolah ini terus memberi sokongan kepada barisan kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) agar nikmat negeri dapat diagihkan dengan sempurna demi masa depan rakyat Terengganu.

 “Selain hari raya, waktu menjelang sesi persekolahan juga sering merisaukan saya kerana perbelanjaan meningkat kerana banyak kelengkapan perlu disediakan.

"Syukur ada pihak yang sudi membantu.Ini ditambah tragedi banjir yang telah merosakkan semua barang-barang persekolah yang telah dibeli.

 “Perbelanjaan mana-mana ibu bapa meningkat menjelang musim persekolahan baru ini kerana perlu menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak. Saya juga tidak terkecuali dalam soal ini walaupun kewangan tidak begitu mengizinkan.

“Sumbangan ini pastinya besar maknanya bagi saya sekeluarga. Sekurang-kurangnya, saya boleh gunakan untuk sediakan kelengkapan persekolahan cucu saya yang masing-masing berumur 6 dan 14 tahun. Segala persediaan sebelum ini telah musnah akibat banjir.

“Seperti kanak-kanak lain, mereka juga inginkan kelengkapan baru untuk memulakan sesi persekolahan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga kepada Kerajaan Barisan Nasional Terengganu pimpinan YAB Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said yang prihatin dan cakna rakyat," kata Puan Fatimah yang lebih dikenali sebagai Mok Teh ketika ditemui Teganukita selepas majlis dana kelmarin.



Pantai Air Tawar jadi pilihan pengunjung

 Oleh: Suriati Ali

 Setiap kali tiba cuti umum atau persekolahan, kawasan peranginan seperti pulau dan pantai di Terengganu, pasti menjadi pilihan pelancong luar dan pengunjung tempatan untuk membawa keluarga bersiar-siar.

 Tidak ketinggalan, Pantai Air Tawar, Besut yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandar Jertih, Besut sering menjadi tumpuan orang ramai meluangkan masa bersama keluarga.

 Kadang kala menjadi persinggahan wajib bagi mereka datang secara berkumpulan atau `konvoi’ semata-mata mahu melepaskan penat sambil menikmati bekalan yang di bawa.

 Apabila kembali bertenaga, mereka meneruskan konvoi ke mana-mana destinasi yang ingin di tuju termasuk ke Kelantan atau Perak.

Kemudahan seperti taman permainan, pondok rehat, tapak perkhemahan, tandas, gerai makanan laut dan surau disediakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada pengunjung.

 Bertentangan pantai, tersedia sebuah pentas yang sering menjadi pilihan pelbagai pihak untuk mempersembahkan dikir barat, tarian tradisional, pertunjukkan gendang, nyanyian, wayang kulit dan ucapan tertamu kehormat.

 Bagi mereka yang mementingkan kesihatan pula, trek berjalan kaki dan pelaratan senaman turut disediakan. Langkah itu pasti mengembirakan pengunjung terutama bagi penduduk yang tinggal di luar Terengganu di mana jarang dapat bersiar di pantai sebaliknya hanya mengunjungi taman tema atau pusat membeli belah.

Fiesta Kebudayaan dan Kesenian yang dianjurkan secara tahunan oleh pihak tertentu nyata berbaloi kerana mampu meningkatkan jumlah pengunjung ke lokasi yang cukup mendamaikan itu.

Jika pertama kali, anda ke sana pasti tidak sesat kerana Pantai Air Tawar itu jelas kelihatan jika melalui jalan utama Kuala Besut menghala ke Kelantan. .

 

03 January 2013

Perkhidmatan urut ibu lepas bersalin di HSNZ dapat sambutan

Oleh; Esah Abdullah

Unit Perubatan Tradisional dan Komplementasi (UPTK) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang memperkenalkan satu lagi perkhidmatan baru iaitu amalan perubatan tradisional melayu dalam penjagaan ibu selepas bersalin mendapat sambutan menggalakan daripada orang ramai.

 Perkhidmatan penjagaan ibu selepas bersalin yang mula dibuka pada awal bulan lalu itu dikendalikan empat orang pengamal terlatih yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan tiga petugas HSNZ.

Ketua UPTK, Cik Nor Syukriyah berkata unit ini mempunyai empat bilik rawatan termasuk untuk perkhidmatan urut tradisional melayu dan akupuntur bagi lelaki dan wanita.

Katanya, perkhidmatan akupuntur menerima antara 15 hingga 17 orang sehari manakala urutan tradisional untuk ibu bersalin agak terhad iaitu lapan slot sehari kerana setiap urutan memakan masa satu jam dan operasi UPTK dijalankan waktu bekerja sahaja dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Kriteria pelanggan unit perubatan tradisional ini adalah angin ahmar dan pesakit kronik melebihi tiga bulan manakala ‘kontraindikasi ‘ bagi urutan tradisional melayu ialah jangkitan akut, luka, kepatahan tulang, otot-otot flassid, osteoporosis, skin graft, skin atrophic, inflamed muscle disease dan deep vein thrombosis.

Manakala ‘kontraindikasi’ bagi perkhidmatan akupuntur ialah kes kecemasan perubatan dan pembedahan semasa. Mereka yang boleh menjadi pelangan ialah yang dalam rawatan susulan klinik pakar atau jabatan pesakit luar, klinik kesihatan, hospital daerah yang mempunyai penyakit kronik dan angin ahmar.

Pelanggan yang ingin mendapat rawatan di sini juga perlu mendapatkan surat rujukan dari Pegawai Perubatan dari klinik pakar atau jabatan pesakit luas, klinik kesihatan dan hospital daerah dan temujanji akan diberi.

Perkhidmatan perubatan tradisional ini sentiasa memastikan keselamatan dan kualiti di samping meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelanggan ke arah rawatan tradisional dan komplementari yang berkesan.

Seorang pengamal urutan tradisional melayu Norzulia Ezzati Zuhaimi menyatakan minat setelah mengikuti kursus urutan dan mendapat sijil.

“Saya hantar resume suka-suka saja kerana saranan ibu yang bertugas di HSNZ ini tetapi tidak sangka diterima ,” katanya ketika ditemui di bilik rawatan UPTK HSNZ.

Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh hubungi Unit PTK di talian 09-6212121 sambungan 2394 atau datang sendiri ke unit tersebut semasa waktu bekerja.

 



Pemandu kereta sewa dapat pakaian seragam baru

Menteri Besar menyarung seragam
baru kepada pemandu teksi.
 Oleh: Suriati Ali 

 Pemberian pakaian seragam kepada 1,192 pemandu kereta sewa di Terengganu nyata mengembirakan dan mencetus semangat golongan itu untuk terus meningkatkan imej pengangkutan awam.

Mereka menganggap pengagihan itu mempamerkan sikap tidak jemu dan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu pengusaha teksi menambah pendapatan.

Pengerusi Pemandu Teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Encik Abu Bakar, 64, berkata jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa cakna terhadap kebajikan pemandu teksi.

 Katanya, dia bersama ahli lain akan terus menawarkan perkhidmatan terbaik, di samping mengekalkan imej bersih dan sopan santun supaya pelancong luar tidak serik untuk datang ke Terengganu.

Pemandu teksi meletakkan pelekat promosi Tahun Melawat Terengganu 2013 pada kenderaannya.
Pengerusi Kereta Sewa Besut, Encik Mansor Mat Ali, 60 berkata apa yang diterima itu termasuk pemberian bantuan kewangan RM10,000 untuk meningkatkan imej kenderaan, baru-baru ini sangat dihargai.

“Saya berharap program seumpama ini diteruskan kerana untuk kami membelinya agak sukar kerana pendapatan harian yang diperoleh kurang memuaskan iaitu hanya RM30 saja sehari.

“Tindakan kerajaan negeri mempromosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, nyata melegakan golongan pemandu teksi kerana sudah tentu jumlah pelancong ke Terengganu akan meningkat.

“Apabila ramai pelancong datang untuk ke mana-mana destinasi, termasuk pulau, sudah tentu pendapatan pelbagai pihak termasuk peniaga dan pengusaha teksi akan turut meningkat,” katanya. .


Pemandu teksi perlu jaga imej Terengganu

Menteri Besar bermesra dengan pemandu-pemandu teksi.
Oleh: Suriati Ali

 Pemandu kereta sewa (teksi) di Terengganu diminta menjaga imej negeri dengan memberi layanan terbaik kepada pelancong serta melengkapkan diri dengan pengetahuan am dan isu semasa.

 Pendekatan itu bukan saja mampu menaikkan imej negeri di mata orang luar malah mempertingkatkan mutu perkhimatan pengangkutan awam.

 Menteri Besar, Dato’ Sei Haji Ahmad Said, berkata selaku duta kecil Terenganu yang membawa penumpang terutama pelancong luar Terengganu, peningkatan layanan pelangan dan perkhidmatan wajar diutamakan.

Pemandu-pemandu teksi dari seluruh Terengganu mendengar amanat daripada Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Katanya, jika membawa penumpang jangan hanya memikirkan duit tambang dan membawa pelancong ke destinasi yang ingin dituju saja, pada masa sama perlu memberi pengalaman menyeronokkan.

 “Apa yang dipelajari serta latihan yang diberikan dalam siri program peningkatan imej kereta sewa harus dipratikkan.

 “Perlu difahami setiap pengguna atau pelanggan, mereka akan menilai pelbagai aspek sama ada berkaitan sikap pemandu dan pengalaman yang diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Uniform dan `Kit’ Kepada Pengusaha Kereta Sewa, di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembagunan Usahawan, Encik Azmi Razik dan Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Seramai 802 pengusaha kereta sewa dari seluruh Terengganu diagihkan pakaian seragam dan `kits’ TMT 2013, membabitkan peruntukan RM120,000 semata-mata mahu mempromosi Terengganu dan meningkatkan imej sistem pengangkutan di mata pelancong.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dia berharap dengan pemberian pakaian seragam tiada lagi rungutan terhadap pengusaha pengangkutan itu selain perlu bersikap lebih sopan dan pandai menjaga imej Terengganu.

 

Isteri PM sertai gotong royong bersih rumah kediaman mangsa banjir

Oleh; Esah Abdullah

Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Datin Paduka Seri Rosmah Mansor akan menyertai gotong royong membersih rumah mangsa banjir di Taman Desa Damai, Kampung Gong Badak Kuala Terengganu esok (4 Disember).

Yang Dipertua PPPM Cawangan Terengganu, Datin Seri Tengku Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata, kehadiran Datin Paduka Seri Rosmah adalah untuk menyertai aktiviti khidmat masyarakat persatuan membantu mangsa banjir di negeri ini.

Isteri Perdana Menteri itu akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud jam 11 pagi dan terus ke Taman Desa Damai bertemu penduduk yang baru pulang ke rumah masing-masing setelah tinggal di penempatan banjir.

Terdapat 60 unit rumah di taman berkenaan yang terlibat banjir baru-baru ini dan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak.

“Seramai 500 orang terdiri daripada ahli-ahli PPPM Terengganu serta penduduk tempatan akan bergotong royong membersih rumah kediaman yang baru dilanda banjir,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, Datin Paduka Seri Rosmah kemudiannya akan menyampaikan bantuan wang ehsan kepada 109 keluarga mangsa banjir di kawasan berkenaan dan setiap keluarga akan menerima RM500.

Datin Paduka Seri Rosmah kemudiannya akan berlepas ke Kota Bharu, Kelantan jam 1.30 petang.

 

Teganukita 71


Swasta banyak bantu pasukan bola sepak Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri gembira dengan penyertaan sektor swasta, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil membantu menaja pasukan Terengganu dan T-Team untuk beraksi dalam Liga Super musim ini.

Dato' Seri Haji Ahmad Said menerima replika chek sebagai tanda sumbangan daripada EPIC  untuk pasukan bolasepak  T-Team
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata penyertaan sektor swasta amat diperlukan bagi memajukan bidang sukan di negeri ini kerana ia dapat membantu beban kewangan kerajaan negeri.

“Pada tahun ini banyak syarikat swasta tampil memberi sumbangan dengan menjadi penaja pasukan Terengganu dan T-Team. Saya lihat ini merupakan ‘trend’ baru yang patut menjadi contoh syarikat-syarikat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani kontrak pemain pasukan Terengganu dan T-Team di Primula Beach Hotel, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan YB Dato’ Haji Za’abar Mohd Adib dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Che Mat Jusoh.

Pada majlis itu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) menyampaikan sumbangan RM1 juta kepada pasukan T-Team.

YB Haji Rozi berharap dengan sumbangan yang agak besar dari sektor swasta, prestasi kedua-dua pasukan akan meningkat dan ia berupaya untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Pada tahun 2012 zaman bola sepak di Terengganu agak suram kerana kita tidak menang apa-apa piala. Pada tahun 2011 bola sepak kita agak ceria sedikit kerana kita menang piala,” katanya.







Pasukan bola sepak Terengganu ditagih raih piala

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kerajaan negeri sedia memberi pelbagai bantuan di segi kewangan dan teknikal kepada dua pasukan bolasepak dari negeri ini – pasukan ‘Penyu’ dan T-Team - yang bakal bertarung dalam Liga Super musim ini,bagi meningkatkan prestasi pasukan berkenaan. Sebagai balasan, setiap pasukan berkenaan ditagih merangkul sekurang-kurangnya satu piala musim ini bagi mengembalikan kecemerlangan bola sepak negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Bin Said menyaksikan majlis menandatangani  kontrak pemain  pasukan T-Team
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri mengeluarkan belanja yang besar bagi membangunkan kedua-dua pasukan berkenaan dan berharap pelaburan itu mendapat balasan yang setimpal dengan memenangi piala sama ada Piala FA, Piala Malaysia atau juara liga.

“Terengganu kini cemerlang di bidang sukan dan pendidikan di mana ramai ibu bapa yang berada di luar Terengganu berminat untuk menghantar anak-anak mereka belajar di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani kontrak pemain pasukan Terengganu dan T-Team di Primula Beach Hotel, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan YB Dato’ Haji Za’abar Mohd Adib dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Che Mat Jusoh.

Menteri Besar berkata, sepanjang tahun 2012 pasukan sukan negeri ini mencipta banyak sejarah dengan pasukan hoki memenangi Piala Tun Abdul Razak buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun, pasukan hoki lelaki dan wanita muncul juara Sukan Malaysia (Sukma) dan pasukan takraw johan Piala Emas Khir Johari.

“Saya mahu pada musim ini pasukan Terengganu dan T-Team diurus dengan sempurna dan meraih kemenangan setiap kali beraksi,” katanya.

Pada sidang media selepas itu, beliau berharapa semua pemain pasukan Terengganu dan T-Team menjaga disiplin mereka dan meningkatkan kualiti peramainan bagi merealisasikan impian untuk menang piala musim ini.

Beliau turut meluluskan peruntukan RM15,000 bagi setiap kelab penyokong pasukan Terengganu dan T-Team bagi menjayakan aktiviti kelab berkenaan musim ini.